Dalam usaha untuk mengembalikan keuntungan di Eropah, Ford merancang untuk mengurangkan lebih 5,000 tenaga kerja di Jerman. Pengeluar kereta US tersebut juga akan membuat tindakan yang sama di UK dan menawarkan program pemberhentian sukarela untuk pekerja di kedua-dua negara, katanya dalam satu kenyataan.

“Menerusi program sebegini dan inisiatif lain, Ford Jerman menjangkakan untuk mengurangkan 5,000 pekerjaan, termasuk kakitangan sementara,” ujar syarikat terbabit, sambil menambah jumlah yang bakal terjejas di Britain hanya akan ditentukan kemudian.

Pengeluar kereta Detroit, yang menjual model popularnya Focus dan Fiesta hatchback di Eropah, juga mengumumkan bahawa ia akan menyelaraskan barisannya dengan “meningkatkan atau keluar dari barisan kenderaan yang kurang menguntungkan,” walaupun ia tidak mengulas lanjut tentang model mana yang akan digugurkan.

Langkah ini adalah sebahagian daripada pelan pemulihan yang diumumkan oleh Ford pada bulan Januari yang melibatkan ribuan pengurangan pekerjaan dan kemungkinan penutupan kilang dan barisan kenderaan yang dihentikan pengeluarannya.

Menurut Reuters, Ford Eropah juga telah mengalami kerugian bertahun lamanya dan tekanan untuk penstrukturan semula operasi ini dipertingkatkan sejak General Motors meningkatkan keuntungan dengan menjual jenama Opel-Vauxhall kepada Groupe PSA, pengeluar Peugeut dan Citroen. Pelan pemulihan Ford mensasarkan margin operasi 6% di benua.

Baru-baru ini,Ford telah menyertai pakatan dengan Volkswagen, walau pun perkongsian itu tidak melibatkan cross-ownership seperti model Renault-Nissan.