Bentley Bentayga V8 Design Series baharu telah pun didedahkan secara rasminya, yang pada dasarnya adalah versi Crewe bagi model SUV yang paling mewah. Berdasarkan Bentayga V8, varian ini menampilkan beberapa sentuhan yang unik untuk memberikan imej yang lebih menyerlah.

Ia bermula dengan pakej Blackline yang didatangkan secara standard, di mana apron bawah pada bampar hadapan sama dengan warna badan dan didatangkan juga dengan paip belakang berkembar hitam berkilat. Selain itu lencana Design Series ditempatkan pada bawah pintu hadapan.

Tidak cukup dengan itu, roda Mulliner Paragon dengan rekaan tujuh-jejari dan kemasan Palladium Grey metalik gelap. Ia turut menampilkan Mulliner Self Levelling Wheel Badges, dengan lencana ‘B’ kekal pada posisi asalnya.

Ciri dalaman juga kekal seperti sebelum ini, dan pembeli boleh memilih salah satu daripada empat tema yang ditampilkan –Pillar Box Red, Orange, Mulliner White dan Klein Blue – dengan upholstery kulit Beluga.

Design Series memperkenalkan rekaan sentuhan kontras baharu, yang boleh dilihat di sekeliling konsol dan bahagian bawah papan pemuka. Corak gentian karbon juga diaplikasikan pada pemuka dan pintu, sementara kemasan hitam berkilat kelihatan di serata tempat.

Tiada perubahan di bawah hud, masih mengekalkan enjin 4.0 liter turbo-berkembar V8 yang mampu meledakkan kuasa 550 PS (542 hp) dan tork 770 Nm, dipadankan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan dan pacuan semua-roda.