Bulan Mac lalu menyaksikan jualan kenderaan di Malaysia kembali rancak dengan 54,776 unit kenderaan terjual. Ini mewakili peningkatan sebanyak 14,938 unit, atau 37.5% berbanding jualan pada bulan Februari 2019.

Dengan ini, kebanyakan jenama kenderaan penumpang rata-ratanya mencatatkan prestasi jualan yang positif. Sebagai contoh, jenama yang berada di kedudukan lima teratas semuanya menyaksikan peningkatan, dengan Perodua mendahului dengan 23,286 unit – tambahan 35%. Ini diikuti oleh Honda dengan 8,677 unit (+44.7%), Proton dengan 6,136 unit (+16.1%), Toyota dengan 5,899 unit (+25.8%) dan Nissan dengan 2,050 unit (+85.0%).

Beberapa jenama lain yang mencatatkan kenaikan yang agak ketara juga adalah Mazda (+45.1%), Mitsubishi (+77.6%) dan Isuzu (+71.7%). Kenaikan yang lebih tinggi daripada ini direkodkan oleh Volkswagen (+90.9%) dan Hyundai (+115.4%). Jangan terkejut pula dengan peratusan jualan yang dicapai Renault, dengan kenaikan sebanyak 1,262.5%.

Segmen kenderaan premium juga mengikut corak yang sama. Pendahulu, Mercedes-Benz menyaksikan kenaikan 131.4%, diikuti oleh Lexus (+62.9%), Volvo (+47.9%) dan BMW (+8.9%). Rujuk jadual lengkap yang disediakan untuk maklumat lanjut.