Memperkukuhkan lagi jenamanya di negara Asia, Oktober tahun lalu, Hyundai Tucson facelift tiba di pasaran Malaysia. Ia ditawarkan dengan dua varian; 2.0L Elegance dan 1.6L Turbo. Kami sempat menghabiskan masa cuti panjang hujung minggu lalu untuk melenjan Tucson 2.0L Elegance.

Walau pun tidak sepopular model pesaingnya termasuk Honda CR-V 2.0, dan Mazda CX-5 2.0, namun Tucson 2.0L Elegance tetap ada peminatnya yang tersendiri. Jenama dari Korea ini memang tidak gentar untuk terus bersaing dengan pengeluar automotif Jepun, malah tetap diterima di pasaran dunia.

Kalau anda dambakan imej SUV ini seseksi Blackpink, kumpulan penyanyi wanita dari Korea yang turut mencetus fenomena di Malaysia, lupakanlah niat itu. Biarpun ia diberikan sedikit sentuhan kosmetik yang lebih segar untuk bahagian hadapan luarannya ia masih kekal ringkas. Tidak ada penampilan fancy, futuristik atau pun ranggi. Bagi yang sukakan kesederhanaan, mungkin Tucson ini lebih sesuai untuk anda.

Tucson facelift ini ditampilkan dengan bampar baharu dengan gril perak metalik dan dipadankan bersama lampu utama projektor halogen dengan lampu posisi. Jika model sebelum ini, lampu nyalaan siang (DRL) direka sejalur di bawah lampu kabus, kini ia tampil berbentuk-L sebelah lampu yang sama.

Pemilihan rim aloi 17-inci yang dibaluti tayar profil 225/60 R17 juga membantu memantapkan lagi pengendaliannya. Di belakangnya, rekaan lampu masih kekal sama, melainkan lampu kabus yang sedikit kecil dalam bentuk jaluran. Selain itu, elemen yang masih dikekalkan termasuklah lampu kabus hadapan dan belakang dan lampu belakang dengan unit mentol.

Dimensinya juga masih dikekalkan iaitu 1,850 mm bagi lebar, panjang 4,480 mm, tinggi 1,655 mm dan jarak roda pula 2,670 mm. Jika dibandingkan dengan CX-5 2.0, Tucson lebih lebar sebanyak 10 mm (CX-5 = 1,840 mm) dan 25 mm lebih tinggi (1,675 mm) . Tetapi lebih pendek sebanyak 20 mm (CX-5 = 4,550 mm) dan jarak roda juga lebih pendek sebanyak 30 mm iaitu CX-5 dengan 2,700 mm.

Tapi apa pun, dimensi Tucson dan CX-5 tidak boleh menandingi pendahulu di bawah segmen yang sama, CR-V, kerana SUV Honda ini memiliki ukuran 4,596 mm bagi panjang, lebar 1,855 mm dan tinggi 1,679 mm tetapi jarak roda lebih pendek iaitu 2,660 mm (hanya lebih 30 mm berbanding Tucson).

Tetapi berbanding CX-5, Tucson memiliki ruang kargo berkapasiti 488 liter, iaitu lebih 46 liter daripada SUV keluaran Mazda (442 liter) itu. Sekali lagi CR-V menang bagi bahagian ini kerana menampilkan ruang kargo berkapasiti 522 liter.

Menjengah kabinnya, juga tidak ketinggalan dari menampilkan rekaan yang lebih segar. Ia melibatkan papan pemuka yang direka semula termasuk menampilkan paparan infotaimen ‘freestanding’ tujuh-inci (dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay) yang diposisikan di atas corong udara juga dengan rekaan baharu.

Walau bagaimana pun, bahagian rak tengahnya tiada perubahan, masih kekal dengan kawalan suhu dwi-zon, USB dan auxiliary inputs, serta soket 12-volt. Tempat duduknya juga masih kekal dengan material balutan kulit, selain elemen lain termasuk kluster 3.5-inci Mono TFT LCD, brek parkir tangan, dan pencucuh kunci penghidup enjin konvensional (tiada push start button disediakan).

Sifat sederhana itu turut mempengaruhi prestasi dan karakteristik pengendaliannya. Masih mengekalkan enjin petrol yang sama iaitu 2.0 liter Mpi NU dengan hamburan kuasa 155 PS pada takat 6,200 rpm dan tork maksimum 192 Nm pada takat 4,000 rpm, ia turut dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan yang memacukan kuasa ke roda hadapan.

Untuk penjana kuasa ini, prestasi yang mampu diberikan oleh Tucson juga bersahaja. Biar pun pedal minyak dikerah lebih sewaktu mahu memotong kenderaan lain atau pun ingin meningkatkan daya pecutan, ia agak sedikit lambat untuk memberikan prestasi yang diingini. Apatah lagi pada rpm pertengahan, enjinnya seakan mengambil masa sebelum mengekalkan momentum bila sudah mencapai kelajuan yang diingini. Begitu juga ketika merentasi laluan berbukit, usah mendambakan ia mampu bertindak lebih cemerlang, tetapi tidaklah begitu mendukacitakan.

Walau bagaimana pun, kotak gearnya boleh dianggap cemerlang kerana ia berupaya memberikan penukaran gear yang lebih baik dan lancar. Sekaligus mempercepatkan enjin memberikan kuasa yang diingini.

Bagi penggunaan bahan apinya, Tucson mencatatkan sekitar 7.9 liter bagi setiap 100 km untuk pemanduan kombinasi di bandar dan lebuhraya. Dengan kapasiti tangki bahan api 62 liter atau lebih kurang 11.7 liter bagi setiap 100 km.

Bagi sistem suspensinya, Tucson dipadankan dengan topang McPherson untuk hadapan dan multilink di belakang. Kalau diikutkan, suspensi ini terasa akan lembut bagi menyalurkan keselesaan lebih optimum kepada pemandu dan penumpang. Dalam erti kata lain, ia juga mampu menyerap hentakan dengan lebih baik.

Walau bagaimana pun, suspensi yang boleh dikatakan agak lembut ini tidak begitu memberikan keseronokan dalam pengendaliannya. Terutamanya bila melayan selekoh atau jalan berliku. Malah pengendaliannya tidak begitu lincah dan sedikit manja. Jangan berani ambil risiko memandu dalam kelajuan tinggi sewaktu di selekoh, kerana Tucson dirasakan tidak begitu ‘berani’ dalam kondisi sebegitu.

Namun dua ciri keselamatan yang ditampilkan iaitu Kawalan Stabliti Elektronik (ESC) dan Sistem Pengurusan Stabiliti Kenderaan (VSM) secara standard untuk memastikannya kekal melekat pada permukaan jalan.

Selain itu, ciri keselamatan standard lain yang turut diberikan termasuklah ABS dengan EBD, Kawalan Mula Mendaki, Kawalan Brek Turun Bukit, Bantuan Brek, dua unit beg udara dan pengesan parkir belakang.

Jika dibandingkan dengan dua pesaingnya dari Negara Matahari Terbit itu, Tucson disifatkan jauh lebih murah iaitu berharga RM119,188 (tanpa insurans). Manakala harga bagi CX-5 pula antara RM132k-RM149k, dan CR-V pula RM138,308. Dengan ciri yang diberikan dan juga prestasi yang ditawarkan, jika anda seorang yang tidak kisah dengan kesederhanaan pada Tucson, mungkin SUV perisa kimchi ini boleh dijadikan pilihan.