Toyota rai Jubli Emas CKD di Malaysia – bermula dengan Corolla KE10, kini pasang Yaris di Bukit Raja

Selain dari Volvo yang telah memulakan pemasangan tempatan (CKD) pada tahun 1967 di Malaysia, Toyota juga antara jenama awal yang mula bertapak di sini, iaitu pada 1968 dengan membina kilang mereka di Seksyen 15, Shah Alam – hanya berberapa ratus meter dari kilang Volvo. Hari ini, UMW Toyota dengan gahnya meraikan ulang tahun ke-50 pemasangan CKD mereka di Malaysia, dengan majlis yang diadakan di kilang baharu mereka yang jauh lebih besar, terletak di Bukit Raja, Klang.

Majlis tersebut dihadiri oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, bersama Tengku Permaisuri Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor. Antara VIP lain yang turut memeriahkan acara ini termasuk Menteri Besar Selangor YB Tuan Amirudin Shari dan Duta Jepun ke Malaysia Dr Makio Miyagawa, serta wakil-wakil Toyota sendiri seperti CEO Toyota Motor Corporation Japan untuk rantau China dan Asia, Tatsuro Ueda dan Pengerusi UMW Toyota, Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah bin Che Othman.

Dalam ucapan Tan Sri Dato’ Sri Hamad Kama Piah, beliau menzahirkan penghargaannya kepada kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan atas sokongan padu yang diberikan sepanjang operasi UMW Toyota di Malaysia. “Kami mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pelanggan Toyota dan rakyat Malaysia atas sumbangan anda dan sokongan sepanjang 50 tahun, membolehkan kami berada di mana kami berada sekarang,” tambahnya lagi.

Toyota rai Jubli Emas CKD di Malaysia – bermula dengan Corolla KE10, kini pasang Yaris di Bukit Raja

Menurutnya lagi, kilang baharu UMW Toyota dengan pelaburan sekitar RM2 bilion ini telah membawa sekali teknologi pengilangan maju terkini, automasi tahap tinggi, rekaan inovatif, dalam masa yang sama menggalakkan penggunaan tenaga yang efisien di Malaysia.

“Dalam masa yang sama, kami tidak lupa terhadap alam sekitar dan keselamatan; kilang kami telah dibina sebagai kilang Peduli-Masyarakat yang lebih senyap dan ia beroperasi dengan pelbagai inisitaif tenaga boleh diperbaharui dan juga dengan penghasilan karbon rendah,” jelas Pengerusi UMW Toyota itu, dan menegaskan bahawa dengan pembangunan modal insan, akan melahirkan lebih ramai rakyat Malaysia yang berkemahiran tinggi dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja dari luar.

Meyingkap semula pemasangan tempatan Toyota di Malaysia, kilang pertama mereka di Shah Alam pada awalnya dikenali sebagai kilang Champion Motor, diberi kepercayaan untuk memasang Corolla KE10, hanya dua tahun selepas model generasi pertama berkenaan di perkenalkan di Jepun. Kilang berkenaan kemudiannya dikenali sebagai Assembly Services Sdn Bhd pada tahun 1975.

Pada tahun 1982, menerusi kerjasama Toyota Motor Corporation, Toyota Tsusho Corporation dan United Motor Works (UMW), Sejati Motor telah diwujudkan. Kilang di Shah Alam berkenaan kemudiannya berjaya mencatatkan produksi ke-300,000 unit pada tahun 1990, dan selepas modenisasi yang dilakukan pada tahun 1996, angka produksi mencecah 500,000 unit dapat dicapai menjelang tahun 2000.

Toyota rai Jubli Emas CKD di Malaysia – bermula dengan Corolla KE10, kini pasang Yaris di Bukit Raja

Ketika tahun 2011, Toyota Camry dicatatkan sebagai model yang mencapai jumlah produksi tertinggi dengan rekod 83,000 unit. Pada tahun yang sama juga, kilang berkenaan telah mencapai produksi melebihi 1 juta unit.

UMW Toyota kemudiannya mengambil keputusan untuk membina sebuah lagi kilang baharu yang terletak di Bukit Raja, di mana pembinaannya telah dimulakan pada tahun 2017. Kilang tersebut mula beroperasi untuk memasang Vios generasi terkini, dan kini ia telah beroperasi sepenunhya dengan kapasiti 50,000 unit setahun dan turut memasang hatchback segmen-B, Toyota Yaris.

Dalam majlis untuk meraikan sambutan Jubli Emas ini, UMW Toyota turut menyerahkan sebuah Toyota Yaris kepada Komuniti Belia Selangor (SAY) untuk mereka gunakan dalam program-program membabitkan golongan belia. Kereta berkenaan diserahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk badan yang dinaungi oleh anakdanya, Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafudin Idris Shah.