Sistem JPJeBid diperluaskan di Kedah pula – siri KET sudah boleh dibida mulai hari ini hingga 15 Julai 2019

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah memaklumkan, pelaksanaan sistem bidaan nombor pendaftaran kenderaan dalam talian JPJeBid diperluaskan ke Kedah untuk bidaan bagi siri KET.

Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, bidaan bagi nombor pendaftaran KET dibuka bermula hari ini (11 Julai) selama lima hari.

“Harga bidaan menerusi JPJeBid adalah mengikut harga minimum yang ditetapkan iaitu RM20,000 bagi nombor bernilai utama, RM3,000 bagi nombor utama, RM800 bagi nombor popular dan RM300 bagi nombor biasa. Tawaran bidaan terbuka kepada warganegara Malaysia dan penduduk tetap berumur 18 tahun ke atas serta syarikat berdaftar,” ujarnya.

Kaedah pembayaran bidaan menerusi sistem ini boleh dibuat menggunakan kad kredit atau kad debit tempatan sahaja.

Beliau berkata pembida boleh membida seberapa banyak nombor yang diminati dengan bayaran fi perkhidmatan RM10 bagi setiap nombor yang dibida namun setiap individu hanya layak memenangi maksimum tiga nombor kenderaan manakala bagi syarikat pula tidak lebih lima nombor kenderaan sahaja.

Projek rintis sistem JPJeBid dilaksana bagi nombor pendaftaran khas untuk Putrajaya iaitu FC pada April lepas. Sistem itu membolehkan pemilik kenderaan membida nombor plat pilihan tanpa perlu ke pejabat JPJ dan bertepatan dengan tema Hari Ulang Tahun Penubuhan JPJ ke 73 – ‘Digitalisasi Ke Arah Integriti’.

Nak jual kereta anda? Jual dengan myTukar.