Bagi tempoh separuh pertama (1H) tahun 2019, sebanyak 281,527 kes kemalangan jalan raya telah dicatatkan di seluruh negara. Ia menunjukkan peningkatan sebanyak 2.5% berbanding 274,556 bagi tempoh sama pada tahun lepas.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias, kes berkenaan meliputi kemalangan maut, kemalangan yang membawa cedera parah dan cedera ringan.

“Daripada jumlah itu, Selangor merupakan negeri penyumbang tertinggi kes kemalangan iaitu sebanyak 83,607 kes (29.7%), diikuti Johor 41,161 kes (14.6%) dan Kuala Lumpur di tempat ketiga dengan 36, 288 kes (12.9%),” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Tambahnya lagi, bagi kes kemalangan maut, Selangor dan Johor menjadi penyumbang tertinggi dengan 482 kematian direkodkan, diikuti Perak dengan 302 kematian.

“Penunggang motosikal pula kekal mendahului senarai penyumbang kematian paling ramai dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini dengan 1,984 kes kematian direkodkan, diikuti dengan kereta (580 kematian) dan pejalan kaki (220 kematian) dan selebihnya adalah lain-lain kenderaan,” katanya.