Mizuki – Mini berenjin Suzuki Hayabusa pertama di Asia Tenggara, hadiah untuk pengunjung AOS 2019

Mizuki – Mini berenjin Suzuki Hayabusa pertama di Asia Tenggara, hadiah untuk pengunjung AOS 2019

Pelbagai gaya restorasi dilakukan oleh peminat-peminat kereta klasik di seluruh dunia. Selalunya, kereta-kereta mewah dan ‘classy’ akan dibina semula kalau boleh dengan spesifikasi yang sama ketika ianya dibuat di kilang. Tetapi kereta yang kaya dengan sejarah sukan permotoran seperti Ford Escort Mk1 dan Mk2 atau Toyota Corolla AE86, ia akan direstorasi semula dan diberikan pelbagai ubahsuai prestasi yang biasanya dipanggil ‘restomod’.

Model Mini asli iaitu Mini Mk1 hingga Mk VII juga antara kereta yang sangat popular untuk dibina semula dengan konsep restomod. Pelbagai gaya ditampilkan – ramai yang masih menggunakan enjin asal yang ditingkat taraf, dan ada juga menggunakan enjin-enjin lebih moden seperti B16A DOHC VTEC dari Honda.

Mini VTEC sudah ada di Malaysia, tetapi anda pernah lihat Mini dengan enjin superbike Suzuki Hayabusa depan mata di sini? Kalau nak tengok, jangan lupa datang ke Art of Speed (AOS) 2019 yang akan berlangsung di MAEPS, Serdang bermula 27 hingga 28 Julai ini, kerana Mini dengan enjin Hayabusa yang dipercayai unit pertama yang dihasilkan di Asia Tenggara akan membuat penampilan sulung dikhalayak ramai.

Mizuki – Mini berenjin Suzuki Hayabusa pertama di Asia Tenggara, hadiah untuk pengunjung AOS 2019

Mini yang diberi nama “Mizuki” (Mini Suzuki) tersebut bukan hanya untuk dipertontonkan, tetapi dengan pembelian tiket berharga serendah RM20 ke AOS 2019, anda mungkin pemenang cabutan bertuah yang akan membawa pulang kereta berkenaan!

Seperti juga hadiah utama cabutan bertuah AOS 2017 “Yamaha RXZ Twin Boss” dan AOS 2018 “Papa Jahat“, Mizuki ini juga adalah hasil seni kejuruteraan Mohamad Irwann bin Mohd Azlan atau lebih dikenali sebagai Cheng, 29 tahun dari FNG Works Ipoh. Jika sebelum ini Cheng hanya melakukan kerja-kerja custom ini sebagai punca pendapatan sampingan, kami diberitahu bahawa alumni UiTM Shah Alam dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal berkenaan telah melepaskan jawatan juruteranya di sebuah kilang, dan kini hanya menumpukan tugasnya di FNG Works.

Cheng tidak keseorangan dalam menghasilkan Mizuki ini di mana dia mendapat bantuan dan sokongan dari pelbagai pihak yang pakar dalam bidang masing-masing seperti Saidi Racing Fabrication atau SRF (lagenda pembina kerangka kereta-kereta lumba tempatan antaranya Proton Satria Fatboy Racing di pandu oleh Aliff Hamdan yang berjaya mencatatkan masa 2 minit 19 saat di Sepang dalam siri perlumbaan MSF) dan juga alat-alat ganti dari individu-individu pemilik Mini.

Mizuki – Mini berenjin Suzuki Hayabusa pertama di Asia Tenggara, hadiah untuk pengunjung AOS 2019

Berbeza dengan projek-projek Mini Hayabusa di Eropah yang sering digunakan sebagai senjata dalam perlumbaan litar dan Hill Climb, Mizuki pula menerapkan konsep kereta drag klasik era 70’an.

Badan Mini Cooper 1976 ini juga adalah sumbangan dari pemilik enjin asal Hayabusa sebagai hadiah ketika membeli enjin tersebut. Ia tidaklah dalam keadaan yang baik ketika diterima, dan kerja-kerja membuang karat serta mengganti lantai-lantai baharu perlu dibuat terlebih dahulu.

Kemudian, untuk meletakkan enjin Hayabusa generasi pertama tersebut di sebelah belakang, kerangka space frame perlu dibina sendiri oleh Cheng dan ia hasilkan bersepadu dengan rollcage sebelah belakang kereta ini. Tidak ada pengubahsuaian dilakukan kepada enjin 1.3 liter berkenaan, tetapi agak bertuah ia sudahpun dilengkapi dengan aci sesondol dengan durasi lebih tinggi dari asal.

Enjin tersebut masih beroperasi dengan kotak komputer asal, tetapi talaannya akan dibuat semula menggunakan komputer piggy back Apexi Power FC Commander. Jadi boleh dijangka enjin ini akan mengekstrak lebih kuasa berbanding kuasa asal 173 hp seperti yang di dakwa Suzuki.

Kotak gear asal Hayabusa masih digunakan dan Cheng akan membina tuil penukar gear yang membolehkan pemandu menukar gear seakan transmisi sequential. Dan untuk mengalirkan kuasa ke roda belakang Cheng tidak memilih gandar hidup, tetapi sebuah gandar solid yang diambil dari van Perodua Rusa digunakan bagi melengkapkan rupa sebuah kereta klasik.

Gandar tersebut telah pun diubahsuai bagi membolehkan ia menggalas tugas berat ini – syaf serta perumah kiri dan kanan perlu dipendekkan terlebih dahulu bagi memuatkan rim besi 13-inci custom dengan lebar 10-inci dibaluti tayar drag sebenar.

Mizuki – Mini berenjin Suzuki Hayabusa pertama di Asia Tenggara, hadiah untuk pengunjung AOS 2019

Kemudian gear akhir asal pada unit differential Rusa tersebut telah dicabut, dan digantikan dengan sprocket yang dibuat sendiri bagi membolehkan kuasa dari kotak gear dipindahkan menggunakan rantai seperti motosikal. Menurut Cheng, dia telah membuat sprocket itu dengan nisbah gear akhir yang hampir sama seperti pada Hayabusa sebenar.

Ada LSD ke? Tiada, tetapi unit differential asal tersebut sudahpun dikunci bagi membolehkan tork sentiasa diberikan pada kadar 50:50 pada roda kiri dan kanan. Selain dari lengan pada bahagian bawah, gandar tersebut turut ‘disangkutkan’ pada bar atas space frame ruang enjin Mizuki dengan penyerap hentak dan spring gegelung D2 Motorsport boleh laras sepenuhnya bagi menghasilkan sistem suspensi jenis ladder bar.

Pengubahsuaian lain yang dibuat termasuk penggunaan tangki bahan api Mooneyes yang akan dipasang pada gril hadapan, pedal box rekaan khas Cheng sendiri dan juga sepasang tempat duduk aloi custom yang dihasilkan dan disumbangkan oleh SRF.

Mizuki – Mini berenjin Suzuki Hayabusa pertama di Asia Tenggara, hadiah untuk pengunjung AOS 2019

Asep (kiri) bersama Cheng di FNG Works, Ipoh

Rupa akhir Mizuki ini anda boleh bayangkan seperti lukisan illustrasi di atas. Namun tidak seperti Twin Boss dan Papa Jahat yang hadir dalam bentuk lengkap ke AOS, Mizuki akan membuat kemunculannya dalam keadaan hampir sama seperti yang anda lihat pada gambar-gambar ini iaitu hanya sekitar 50% siap.

Menurut pengasas AOS, Asep Ahmad Sastrawidjaja, ini kerana bukan hanya disebabkan projek untuk menghasilkan sebuah kereta adalah lebih lama berbanding projek-projek motosikal, ia sebenarnya turut membolehkan pemilik baru (di baca pemenang cabutan bertuah AOS 2019) untuk memilih sendiri warna badan Mizuki ini kelak.

Asep juga berharap pemilik Mizuki ini nanti akan membawanya ke litar untuk menikmati hasil karya FNG Works ini, berbanding dua hadiah sebelumnya yang ‘senyap’ setelah diterima pemilik baharu tanpa kelihatan beraksi di mana-mana litar.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required