Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menyeru agar pengguna mendapatkan alternatif dari syarikat e-hailing lain sekiranya berdepan dengan kenaikan tambang.

Katanya terdapat 31 Syarikat Perniagaan Pengantaraan (EHO) yang menawarkan perkhidmatan e-hailing sekali gus memberi pilihan kepada pengguna bagi mendapatkan tambang lebih murah.

“Pengguna harus membuat pilihan secara bijak. Jika berlaku kenaikan kadar tambang, mereka ada pilihan untuk mengguna perkhidmatan e-hailing lain yang menawarkan tambang yang lebih murah. Kita juga tidak mahu industri ini ada unsur monopoli dan harus ada persaingan. Kalau ada persaingan maka tambang tersebut menjadi murah dan tiada syarikat e-hailing sesuka hati menaikkan harga mereka,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Tambahnya lagi, terdapat syarikat-syarikat yang menawarkan harga yang kompetitif dan pengguna boleh menilai sendiri syarikat dan aplikasi yang mereka pilih.

Loke turut berkata mana-mana syarikat e-hailing yang beroperasi tanpa lesen yang sah bakal berhadapan dengan tindakan tegas, dan pemandu yang belum mendapatkan lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV), mempunyai tempoh tambahan selama tiga bulan untuk berbuat demikian sebelum peraturan ini dikuatkuasakan sepenuhnya.

Kerajaan telah menetapkan 12 Julai sebagai tarikh akhir pemandu e-hailing mengambil lesen PSV. Sehingga 11 Julai lalu, sebanyak 17,596 permit kenderaan e-haling (EVP) telah dikeluarkan, di mana 13,380 daripadanya untuk kenderaan persendirian dan 4,216 untuk teksi.