Pembuat peralatan berprestasi tinggi untuk sistem transmisi dan suspensi dari Jepun, Carrosser Co. Ltd atau lebih dikenali sebagai Cusco telah mengumumkan mereka kini dalam fasa akhir pembinaan kereta rali dengan spesifikasi AP4 diasaskan dari SUV segmen-B, Toyota C-HR.

Jentera berkenaan agak unik kerana tidak banyak SUV digunakan untuk perlumbaan rali kategori tersebut (Mitsubishi Indonesia telah menghasilkan jentera rali Xpander AP4, tetapi masih dalam bentuk konsep), dan dipercayai jentera rali pertama diasaskan dari sebuah model yang menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA).

Menurut Cusco, kereta ini masih menggunakan enjin 8AR 2.0 liter dengan suapan pengecas turbo binaan Toyota Racing Development (TRD) dan kotak gear sequential lima-kelajuan dari Drenth, sama seperti jentera rali Yaris AP4 Cusco sebelum ini.

Namun, kerangka C-HR ini telah dibina semula oleh Cusco, dilengkapkan dengan rollcage penuh serta peralatan perlumbaan lain yang memenuhi undang-undang AP4. Cusco turut memadankan sistem suspensi serta gandar belakang rekaan mereka sendiri kepada Toyota C-HR AP4 ini.

Mungkin disebabkan ruang roda C-HR ini sememangnya sudah besar, tiada pengubahsuaian ekstrem dilakukan pada bahagian tersebut seperti hatchback biasa. Sistem suspensi dengan jarak pergerakan tinggi nampaknya diletakkan dengan selesa pada ruang roda yang nampak hampir standard tersebut – mungkin ini salah satu kelebihan untuk membina kereta rali berasaskan model crossover.

Kereta ini bukan hanya dibina untuk digunakan oleh pasukan rasmi Cusco World Rally Team dalam Kejuaraan Rali Asia Pasifik (APRC), malah ia turut akan dijual kepada pasukan lain yang berminat. Sesi shakedown dan juga ujian terhadap C-HR AP4 berkenaan telahpun bermula bulan ini, dan harga sebuah kereta rali lengkap tersebut akan diumumkan kemudian.

Sedikit pencerahan kategori AP4 ini – ia adalah kategori dengan tahap yang sama dengan kategori R5 dan dibuat khas hanya untuk APRC, tetapi tidak boleh bertanding dalam WRC. Walaupun spesifikasinya hampir sama dengan jentera R5, kereta-kereta AP4 ini tidak memerlukan homologasi yang ketat dari FIA seperti R5, membolehkan kos untuk menghasilkannya lebih murah dan ia boleh di bina oleh mana-mana bengkel.

Secara asasnya, kereta-kereta kategori AP4 ini perlu dilengkapi dengan enjin 1.6L dengan unit restrictor pada pengecas turbo berdiameter 34 mm, serta berat minimun dibenarkan adalah 1,250 kg. Namun disebabkan C-HR ini menggunakan enjin 2.0L, ia perlu dipadankan dengan unit restrictor lebih kecil iaitu 33 mm untuk mengehadkan kuasanya, serta berat minimanya juga dinaikkan.