Elenvi Otomotif Sdn Bhd dengan kerjasama Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) dijangka bakal membentangkan pelan pembangunan kereta elektrik (EV) kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, tidak lama lagi.

Menurut Pengerusi MIER, Tan Sri Dr Kamal Salih, pengeluaran kereta elektrik itu akan melibatkan kos kira-kira RM5 bilion akan dibiayai oleh pelabur tempatan menerusi Elenvi Otomotif, yang merupakan sebuah syarikat tujuan khas (SPV).

“Kami akan membentangkan pelan perniagaan, pelaburan dan kewangan (kereta elektrik) kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Dana (RM5 bilion) sudah ada, pelancarannya dijangka Oktober ini,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

Adakah EV ini akan menjadi kereta nasional ketiga negara?

Beliau turut berkata, sama ada projek kereta elektrik itu akan menjadi kereta nasional ketiga rasmi, hanya kerajaan yang akan menentukannya. “Sekiranya kereta elektrik yang dikeluarkan oleh Elenvi Otomotif itu tidak menjadi kereta nasional ketiga yang rasmi, syarikat berkenaan akan tetap mengeluarkan kereta elektrik itu,” ujarnya lagi dalam sidang media selepas pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara MIER dan rakan kongsi strategiknya termasuk Elenvi Otomotif.

Difahamkan, kos RM5 bilion itu turut membabitkan pembangunan kilang pengeluaran pintar kenderaan elektrik di Taman Perindustrian Enstek, Negeri Sembilan. Kereta elektrik itu akan direka dan dikeluarkan untuk pasaran tempatan dan luar negara.

Kemudahan pengeluaran kereta elektrik itu membabitkan kawasan seluas kira-kira 160 hektar di Taman Perindustrian Enstek, yang mana ia akan mematuhi standard Industri 4.0 dengan penggunaan maksimum robotik dan kecerdasan buatan (AI) daripada peringkat reka bentuk sehingga jualan dan pemasaran. Fasiliti terbabit difahamkan akan dipacu modul fotovoltaik solar yang akan dipasang di atas bumbung seluas lapan juta kaki persegi.