Sepanjang lapan tahun diadakan, Art of Speed sentiasa membawakan hasil-hasil ‘seni kelajuan’ tidak kira kereta atau motosikal dari luar negara untuk tatapan rakyat Malaysia. Namun kita tidak pernah lagi lihat mana-mana hasil kerja dari Borneo di bawa ke semenanjung semata-mata untuk menyertai acara show & shine seperti ini bukan?

April lalu ketika berlangsungnya Sabah Old School Gathering di Kota Kinabalu, scene kereta lama di Malaysia digemparkan dengan kemunculan sebuah Toyota Corolla generasi ketiga (KE30) yang begitu sempurna tahap restorasinya kepunyaan saudara Au Yong dari Tawau, Sabah.

Tanpa sebarang keraguan, KE30 tersebut telah pun pilih sebagai Art Of Speed Malaysia Pick, membolehkan kereta ini di bawa ke Malaya untuk di pamerkan di Art Of Speed (AOS) 2019 yang berlangsung hujung minggu lalu, dengan kos logistik penghantaran kereta dari Sabah – KL – Sabah dibiayai sepenuhnya oleh pihak AOS.

Kalau anda lihat kereta ini, ia hanyalah model KE30 biasa yang sama dengan kebanyakkan model pasaran Malaysia yang boleh anda temui di atas jalan walaupun sudah berumur lebih 40-tahun. Ia bukan dari spesis Sprinter, malah tiada langsung aksesori OEM JDM seperti gril ‘senyum’ dan bonet hadapan diambil dari model hardtop KE35 atau TE37.

Tetapi, setiap panel badan kereta ini telah direstorasi pada tahap begitu sempurna – semua garis-garis badan sangat tegak, dan pemasangan seperti pintu dan bonet dilakukan dengan gap seakan ia baru keluar dari kilang. Setelah badan kereta disimen dengan baik, badan KE30 disembur dengan warna Green Tea.

Setiap perician luaran juga sangat diberi perhatian. Lampu seal beam hadapan telah ditukar dengan lampu mentol halogen, lampu isyarat hadapan menerima lensa jenis jernih, manakala lampu belakang mungkin telah digantikan dengan unit new old stock yang kelihatan baru. Gril hadapan KE30 masih kekal, begitu juga dengan bampar hadapan dan belakang tetapi kesemuanya telah ditembak dengan warna hitam.

Peralatan aftermarket yang boleh dilihat pada sebelah luar KE30 ini termasuk spoiler ‘sodok’ pada dagu hadapan, cermin sisi ‘tanduk’ bulat Napoleon GT, spoiler ekor itik bersaiz besar pada penutup but belakang serta overfender dengan serlahan skru pengikat pada setiap ruang roda.

Bagi melengkapkan rupa sebuah kereta lumba Jepun, pemiliknya telah memadankan rim Enkei Mosport dengan diameter 13-inci, lebar 8jj dan offset -1. Ia kemudian dibalut dengan tayar Jinyu Extreme bersaiz 215/50R13 bagi membolehkan set roda berkenaan ‘duduk ngam-ngam’ di dalam ruang roda yang kini lebih lebar dari asal.

Kami difahamkan, bagi merendahkan dan juga mendapatkan pengendalian kereta ini dengan lebih baik, set suspensi asal kereta ini telah digantikan dengan set boleh laras dari D2 yang pada asalnya dibuat untuk ‘cucu’ KE30 iaitu Toyota Corolla AE86.

Pada bahagian kabin, anda boleh lihat dengan jelas tempat duduk belakangnya telah dicabut (tetapi kesemua bahagian yang terdedah ditutup dengan panel custom dan turut dibalut dengan upholsteri berwarna hitam) dan juga diberikan rollcage untuk bahagian belakang.

Tempat duduk hadapan pula digantikan dengan tempat duduk perlumbaan old school asli dari TRD, dan dipadankan dengan roda stereng kayu Nardi Classico. Manakala papan pemuka pula masih menggunakan unit asal dari KE30, tetapi direstorasi untuk kelihatan baru.

‘Perut’ kereta ini juga antara aspek yang boleh membuatkan mulut anda melopong. Seperti juga pada badan, firewall dan segenap ruang enjin KE30 tersebut kelihatan seperti baru keluar dari kilang, manakala segala wayar-wayar yang berselirat telah disembunyikan dengan baik membolehkan kita tenang melihat ruang berkenaan.

Ia kini tidak lagi dijana oleh enjin pushroad 8V 1.2 liter 3K karburator, tetapi digantikan dengan enjin yang menghasilkan kuasa sekitar 3-4 kali ganda dari asal iaitu enjin 1.6 liter Twin-Cam 20V 4A-GE “Black Top” dengan empat throttle body bebas yang biasanya boleh dijumpai dalam perut Corolla Levin/Sprinter Trueno AE111.

Istimewanya enjin “Black Top” ini berbanding versi “Silver Top” sebelumnya, sistem four throttle yang diberikan tidak menggunakan air flow meter pada penuras angin, tetapi ia menampilkan sensor Manifold Absolute Pressure (MAP) pada manifold kemasukan – ini bukan sahaja dapat memberikan respon pendikit lebih tajam, malah membolehkan pemilik kereta ini memadankan corong/penapis udara bebas pada setiap mulut throttle, bagi menghasilkan bunyi enjin yang lebih ‘berkahak’.

Menurut spesifikasi yang ditulis yang di letak di sebelah kereta ini, kotak komputer asal tidak lagi digunakan dan pengurusan sistem enjin tersebut kini diambilalih oleh ECU standalone Adaptronic e420 yang boleh ditala semula.

Roda tenaga enjin tersebut diberikan sistem klac dari Ogura Racing, tetapi tidak dinyatakan kotak gear yang digunakan. Namun lazim untuk pengubahsuaian seperti ini, transmisi lima-kelajuan manual Toyota T50 dari AE86 dipilih kerana bellhousing kotak gear berkenaan boleh masuk terus ke enjin 4A-GE tersebut tanpa sebarang masalah.

Ubahsuai lain yang turut diberikan adalah unit LSD diberikan pada gandar belakang, dan sistem brek tangan juga telah diubahsuai menggunakan sistem hidraulik bagi memudahkan tayar belakang dikunci, selalunya bagi tujuan membuat aksi hand brake turn atau memulakan drift.

Sejak kali pertama terlihat gambar kereta ini, saya seperti mahu memberikan tabik hormat di hadapan pemiliknya. Au Yong telah membuktikan bahawa untuk menghasilkan sebuah projek yang sangat hebat, kita tidak perlukan kereta-kereta rare seperti Datsun Bluebird 510 SSS atau Toyota Celica Fastback TA27. Tetapi apa yang penting adalah ‘jiwa’ old school itu sendiri!