TUNGGANG UJI: BMW F750 GS – varian paling asas masih sesuai untuk ramai, boleh redah offroad ringan

TUNGGANG UJI: BMW F750 GS – varian paling asas masih sesuai untuk ramai, boleh redah offroad ringan

Apabila disebut tentang motosikal jenis adventure, nama BMW GS sememangnya tidak asing lagi. Ramai yang memandang tinggi model ini, sehinggakan ada masanya mereka seakan tidak terfikir untuk membandingkannya dengan model keluaran jenama lain.

Berada paling atas dalam barisan model GS sekarang adalah R 1250 GS, yang baru saja dilancarkan untuk pasaran Malaysia Jun lalu dengan harga bermula RM116,500. Tapi, bukan semua orang mahu berbelanja sehingga lebih RM100k untuk sebuah motosikal dan pilihan seterusnya adalah GS yang menggunakan enjin 853 cc – jika mereka masih mahukan sebuah GS.

Dalam barisan model GS pertengahan ini pula kemudiannya ada tiga pilihan iaitu F850 GS Adventure yang paling tinggi dengan harga RM88,500, F850 GS pada harga RM79,500 dan F750 GS pada harga RM71,500. Lebih mahal harganya, sudah tentu anda akan menerima lebih kelengkapan dan ciri, tapi kalau anda merasakan tidak perlu untuk memiliki pelbagai kelengkapan, model paling asas, F750 GS boleh diambil sebagai pilihan.

Nama model itu memang menunjukkan nombor yang rendah (750 berbanding 850), tetapi anda harus tahu sebenarnya ia masih menggunakan asas yang sama, termasuklah enjin iaitu unit dua silinder selari 853 cc dengan empat injap bagi setiap silinder dan dua camshaft. Kalau dibandingkan pula dengan F800 GS sebelumnya, enjin ini juga melibatkan banyak pembaharuan yang membantu menjadikannya lebih baik.

Cumanya kuasa enjin untuk F750 GS ini telah dikurangkan sedikit berbanding F850 GS menjadi 77 hp pada 7,500 rpm dan 83 Nm tork pada 6,000 rpm (F850 GS mampu menghasilkan 95 hp pada 8,250 rpm dan 92 Nm tork pada 6,250 rpm). Antara penyebab kepada jumlah kuasa yang lebih rendah ini adalah cam serta talaan elektronik yang berbeza.

Memanglah, lebih tinggi kuasa sesebuah motosikal, lebih seronok untuk ia dinikmati tapi ini tidak bermakna F750 GS membosankan. Kuasa yang dihasilkan sebenarnya sudah cukup untuk pelbagai keadaan. Anda boleh merasakan kepadatan kuasa daripada enjin dua silinder waktu berada dalam rpm rendah dan kalau ada pun kekurangannya cuma pada waktu kelajuan tinggi melebihi 180 km/j.

Tetapi, dengan motosikal seperti ini, kami tidak merasakan seperti ingin pergi laju sepanjang masa. Kelajuan yang selesa atas lebuh raya adalah sekitar 150 km/j, dan anda boleh lebih menikmati perjalanan dan tidak terlalu berhadapan dengan tekanan.

Satu lagi penambah baikan yang dilakukan pada enjin ini adalah pemasangan counter balancer shaft, sekaligus menjadikan ia lebih lancar dan kurang gegaran. Ia tidaklah lancar sehingga menyamai enjin empat silinder dan masih boleh terasa dalam tahap rpm bawah 3,000, tetapi masih lagi kurang berbanding enjin dua silinder biasa.

Walaupun secara amnya F750 GS ini adalah versi asas, kelengkapan yang diberikan adalah berbeza mengikut negara, bergantung kepada pengedar rasminya. Apa yang boleh dilihat untuk model pasaran Malaysia, ia masih adalah versi paling asas.

Bermakna, model ini cuma mempunyai dua mod tunggangan iaitu Road dan Rain, dan kekurangan banyak kelengkapan seperti yang terdapat dalam pakej Select dan Premium yang disediakan bagi F750 GS ini bagi pasaran tertentu. Walaubagaimanapun, anda boleh berbincang dengan wakil jualan untuk mendapatkan pakej tambahan ini yang boleh menjadikan F750 GS lebih lengkap menyamai seperti F 850 GS Adventure.

TUNGGANG UJI: BMW F750 GS – varian paling asas masih sesuai untuk ramai, boleh redah offroad ringan

Semua ini bergantung kepada penunggang, dan bagi kami keadaan asas yang disediakan pada F750 GS pasaran Malaysia sudah mencukupi. Salah satu sebabnya adalah ia masih lagi diberi dengan Automatic Stability Control (ASC) serta sistem brek anti kunci ABS. Dua sistem keselamatan elektronik ini juga datang dengan butang khas di sebelah kanan untuk menutupnya apabila perlu (seperti memasuki jalan offroad).

Satu masalah kami dengan sistem ini adalah ia sukar untuk difahami bagaimana untuk menutup fungsi ASC serta ABS secara pantas. Walaupun sudah bersama motosikal ini selama beberapa hari kami masih tidak dapat memahami turutan tekanan butang yang diperlukan untuk menutup kedua-dua fungsi. Ada kalanya jadi, ada kalanya pula sampai kami putus asa.

Mungkin ada yang bertanya, kenapa mahu menutup dua sistem ini sedangkan F750 GS kelihatan seperti disediakan untuk kegunaan atas jalan bertar sahaja? Memang betul, model ini datang dengan rim aluminium 19 inci di hadapan dan 17 inci di belakang (F850 GS datang dengan rim spoked 21 dan 17 inci) serta jarak gerak suspensinya lebih rendah iaitu 151 mm di hadapan dan 177 mm di belakang (F850 GS 204 mm dan 219 mm), tetapi anda tidak perlu takut apabila mahu meneruskan perjalanan walaupun sudah sampai ke penamat jalan berturap.

Satu perkara yang anda perlu beri perhatian sudah tentu, rim aluminium ini tidak selasak rim spoked pada F850 GS. Jadi, selagi jalan itu tidak mempunyai batu-batu besar dan tidak membawanya terlalu laju, anda masih boleh selamat. Kami sendiri sempat berseronok dengan motosikal ini atas jalan tanah merah, berpasir dan batu kerikil.

Pengendalian F750 GS juga adalah mudah. Semasa baru mencubanya dan bertukar daripada sebuah kapcai, kami masih tidak merasakan beban yang keterlaluan apabila meredah jalan sesak di ibu kota. Bagi penunggang baru ataupun mereka yang rendah, anda juga pasti akan lebih senang dengan F750 GS ini kerana tempat duduknya lebih rendah, iaitu 815 mm, berbanding 860 mm pada F850 GS. Tapi sebenarnya, apa model pun yang anda pilih, pilihan tempat duduk yang lebih rendah atau lebih tinggi masih ada disediakan oleh BMW Motorrad.

Pada bahagian hadapan, suspensi F750 GS ini cuma menggunakan fork teleskopik 41 mm di hadapan (tanpa sebarang pelarasan), namun ia masih boleh dipuji kerana mempunyai keseimbangan yang baik antara keselesaan dan prestasi. Turut menyumbang kepada stabilitinya adalah pemasangan steering damper yang tersembunyi di bahagian tengah fork.

Untuk bahagian belakang pula, anda boleh melaras pra beban monoshock secara mudah bergantung kepada beban yang dibawa dengan menggunakan tombol yang terkeluar di tepi dan mudah dicapai.

Apabila diperhatikan, anda boleh nampak angkup brek hadapan Brembo pada F750 GS ini nampak kecil sahaja kerana ia adalah unit dua piston bersama cakera 305 mm. Walaupun begitu, ia datang dalam tetapan berkembar (2 unit) dan mampu memberikan kuasa henti yang mencukupi bagi motosikal ini. Bahagian belakang pula menggunakan angkup brek Brembo satu piston, dengan cakera 265 mm.

Kelengkapan lain yang diberikan pada F750 GS adalah termasuk tangki bahan api 15 liter (sudah dialih ke hadapan dan boleh bertahan sehingga lebih 300 km), panel skrin TFT, soket pengecas 12V, lampu jenis LED, tapak yang sedia disambungkan kepada beg barangan dan tayar Michelin Anakee III.

TUNGGANG UJI: BMW F750 GS – varian paling asas masih sesuai untuk ramai, boleh redah offroad ringan

Sejujurnya semasa melihat model ini buat pertama kali di depan mata, kami merasakan ia seperti nampak kurang lengkap terutamanya kerana penghadang angin hadapan terlalu pendek. Kemudiannya, saiz ekzos asal motosikal ini juga agak besar, dan ia seperti tergantung dengan jarak yang besar daripada tempat duduk. Visualnya tidak begitu dapat menawan hati kami.

Satu lagi perkara yang kami perasan adalah tempat letak kakinya sedikit kurus. Walaupun ia mempunyai pelapik getah, apabila anda berdiri, ia menyebabkan tapak kaki sedikit tidak selesa. Bila duduk ia tidak begitu terasa. Model F850 GS juga mempunyai tempat letak kaki yang sama, dan cuma F850 GS Adventure sahaja yang mempunyai tempat letak kaki lebar.

Bagi penggemar jenama dari Jerman ini yang memikirkan kedudukannya, harga F750 GS mungkin boleh diterima. Tapi, mereka yang lebih banyak berkira mungkin boleh nampak satu lagi model iaitu Triumph Tiger 800 XR yang merupakan versi paling asas bagi model adventure jenama itu cuma ditawarkan pada harga bermula RM56,900.

Sekali lagi, ini semua bergantung kepada individu, tapi daripada pemerhatian kami, penggemar BMW ramai yang taksub dengan jenama ini dan sukar untuk beralih pandangan kepada model lain.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required