Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), selaku pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di Malaysia, telah berjaya menduduki tangga teratas bagi Kepuasan Servis Selepas Jualan mengikut Kaji Selidik Indeks Perkhidmatan Pelanggan Malaysia (Pasaran Massa) J.D. Power 2019. MMM berjaya memperoleh sejumlah 791 mata dan ini merupakan tahun kedua berturut-turut jenama kenderaan dari Jepun ini menerima pengiktirafan yang sama.

Manakala Toyota pula di tempat kedua dengan 788 mata, Mazda di kedudukan ketiga dengan markah 785 mata dan Honda di tempat ke-empat dengan sejumlah 768 mata.

MMM kini memiliki 54 bilik pameran (48 daripadanya adalah pusat 3S) dan 55 pusat servis di seluruh Malaysia. Manakala di Malaysia Timur, MMM mempunyai 15 bilik pameran iaitu tujuh di Sarawak dan lapan di Sabah.

Kaji Selidik Indeks Perkhidmatan Pelanggan Malaysia (Pasaran Massa) J.D. Power 2019 adalah berdasarkan maklum balas daripada 2,644 pemilik kenderaan, yang menerima kenderaan baharu mereka antara Februari 2016 dan Jun 2018 dan pernah membawa kenderaan mereka untuk diservis di pengedar atau pusat servis bertauliah pada bulan Februari 2018 hingga Jun 2019. Kaji selidik ini dilaksanakan dari Februari hingga Jun 2019.

Selain itu, ia juga menyukat keseluruhan kepuasan servis dalam kalangan pemilik yang menghantar kenderaan mereka ke pusat servis bertauliah dengan menilai prestasi pengedar berdasarkan lima faktor (mengikut urutan keutamaan), kualiti servis (25%), pengambilan kenderaan siap diservis (21%), inisiasi servis (20%), fasiliti servis (17%), dan penasihat servis (16%). Keseluruhan kepuasan bagi industri adalah pada purata 761 mata.