Mungkinkah isu teksi motosikal seperti yang dicadangkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ini bakal mengulangi ‘haba panas’ isu perkhidmatan e-hailing seperti Grab? Modus operandi yang sama cuma berbeza medium kenderaannya. Dan isu yang paling panas diperkatakan adalah berhubung keselamatan selain soal agama/syariah.
Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke, keputusan kabinet membenarkan perkhidmatan motosikal e-hailing ini dilihat dari isu keselamatan secara menyeluruh kerana kajiannya nanti akan turut merangkumi aspek yang berkaitan dengan lain-lain perkhimatan penghantaran menggunakan motosikal.
Katanya, walaupun ada pihak yang menyuarakan rasa bimbang dan membantah keputusan itu, tetapi kementeriannya melihat ia dari sudut bahawa ini merupakan satu peluang untuk membuat satu kerangka keselamatan yang dapat mengubah cara menunggang motosikal dengan selamat.
“Ini termasuk penunggang motosikal yang terlibat dengan penghantaran makanan, dokumen dan sebagainya yang selama ini memang mereka tidak ada dikawal. Contohnya penunggang motosikal yang terlibat dalam perkhidmatan penghantaran makanan yang telah ada dalam negara sejak sekian lama, dan tidak pernah ada kerangka keselamatan bagi mengawal mereka.
“Banyak aduan diterima menyatakan mereka ini menunggang motosikal dengan laju dan dalam keadaan merbahaya, kerana dikatakan hendak mengejar masa. Itu sebabnya setakat ini tidak ada apa-apa kerangka keselamatan dan peraturan yang mengawal penunggang motosikal ini. Jadi, apabila kerajaan membuat keputusan untuk membenarkan perkhidmatan motosikal e-hailing ini, kita akan mengambil peluang ini untuk merangka satu peraturan baharu,” katanya seperti yang dilaporkan Bernama.
Oleh demikian, pihak Kementerian Pengangkutan akan membincangkan perkara ini bersama dengan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Kita akan menggunakan peluang ini untuk mengawal selia dengan lebih baik dan kita harap ini akan dapat mengubah sikap penunggang motosikal ini,” tambahnya lagi.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.