Proton telah melancarkan pusat 3s baharu yang terletak di Jalan Air Itam, Pulau Pinang. Pusat 3S yang diubahsuai dan dinaiktaraf ini dikendalikan oleh Autobinee Oriental Sdn Bhd (Autobinee), dan ia merupakan cawangan 3S pertama di negeri tersebut yang mempamerkan identiti baharu Proton. Autobinee adalah antara pengedar terawal Proton dan telah beroperasi sejak 1989.

Dirasmikan oleh Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, pusat 3S yang melibatkan pelaburan sebanyak RM1 juta ini berada di kawasan seluas 703 meter persegi serta dilengkapi empat ruang servis dan empat pengangkat.

Menurut Yeap Teow Teong, Pengerusi Autobinee Oriental Sdn Bhd, “Penambahbaikan cawangan adalah penting kerana kami mengutamakan para pelanggan. Apabila mereka melangkah masuk ke bilik pameran atau ketika menghantar kereta mereka untuk diservis, kami mahu mereka berasa gembira dan seperti dialu-alukan. Cawangan ini juga menyediakan kemudahan seperti WiFi percuma, ruang minuman dan ruang menunggu serta tapak parkir yang banyak untuk keselesaan mereka”.

Wilayah Utara adalah salah satu penyumbang utama kepada jumlah keseluruhan jualan Proton. Dari Januari sehingga Julai tahun ini, wilayah ini telah mengutip jualan lebih daripada 9,800 kereta, peningkatan sebanyak 36% berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Bagi negeri Pulau Pinang sahaja, peningkatan lebih daripada 38% telah dicatatkan berbanding tempoh sama tahun lepas. Hampir keseluruhan daripada jumlah ini disumbangkan oleh penjualan Saga, Persona dan X70.

“Pasaran di bahagian wilayah utara adalah penting. Pulau Pinang khususnya, adalah negeri yang mempunyai pembeli yang mempunyai cita rasa tinggi. Untuk memenuhi jangkaan mereka, kami faham bahawa produk yang hebat perlu disokong oleh pengalaman pelanggan yang sama hebat. Inilah yang telah menjadi teras kepada strategi rangkaian kami dalam pelan rancangan pertumbuhan Syarikat,” kata Radzaif.

Penambahbaikan rangkaian cawangan dan peningkatan kualiti produk telah menyumbang kepada pertumbuhan yang sangat memberangsangkan pada tahun 2019. Sehingga kini, jenama ini telah menjual sebanyak 52,269 unit kereta, peningkatan 47% berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Kami telah mula melihat hasil dari usaha kami. Prestasi positif yang dapat dilihat tahun ini adalah gabungan hebat dari kepelbagaian produk, kawalan kos yang baik, peningkatan kualiti dan strategi baharu bagi rangkaian cawangan Syarikat. Usaha ini semua telah membawa Proton menduduki tempat kedua dari segi jualan kereta di Malaysia. Walau bagaimanapun, ini hanyalah permulaan kerana terdapat banyak lagi yang perlu dilakukan dan kami komited untuk memastikan jenama ini terus meningkat naik,” ujar Radzaif lagi.