Di Frankfurt hari ini, Mercedes-Benz memperkenalkan satu lagi model dari barisan kenderaan elektrik EQ mereka; kali ini dengan Mercedes-Benz Vision EQS, sebagai model flagship untuk sedan elektrik jenama itu.

“S” dalam namanya membawa maksud model elektrik ini setaraf dengan S-Class, dan dibangun menggunakan platform modular bagi EV bersaiz medium dan besar, dengan gabungan besi, aluminium serta gentian karbon dalam binaannya. Rekaan yang unik dan profil “seketul” memberikan imej yang berbeza, ditambah dengan penggunaan roda saiz besar menjadikan kenderaan ini nampak begitu besar.

Dari depan, pendekatan grafik yang digunakan pada model EQ yang lain sebelum ini dapat dilihat dengan jelas. Dengan gril yang “tertanam” di dalam kaca, ia bersambung dengan lampu utama Digital Light yang lengkap dengan lensa holografik berkembar. Gril ini dicahayakan oleh 188 unit LED individual, guna untuk berkomunukasi dengan pengguna jalan yang lain.

Dua tona warna digunakan untuk kereta ini; hitam untuk bahagian atas garis bahu dan perak untuk bahagian bawahnya. Ia dilingkari pula dengan jalinan lampu di sekeliling badan kereta. Lampu belakang sebenarnya terdiri daripada 229 nyalaan bentuk bintang bucu tiga, menyerupai hiasan grafik yang digunakan pada jentera F1 W10 EQ Power+ yang bersaing dalam F1 musim ini.

Ruang dalamannya mengambil ilham dari sentuhan mewah pada kapal layar. Ia terdiri daripada empat tempat duduk saiz besar yang dibalut dengan gentian mikro Dinamica dan kulit buatan, terpisah antaranya oleh konsol tengah yang juga sangat besar. Rekaan papan pemuka serta kemasan panel hitam berkilat membuatkan seolah-olah semuanya dirangkumkan dengan kemas.

Skrin sentuh apungan menjadi elemen utama pada papan pemuka, yang dihubungkan sekali kepada Mercedes-Benz User Experience (MBUX); ini mungkin juga akan digunakan pada S-Class terbaru nanti.
Stereng juga lain macam, dalam bentuk segi empat memanjang. Mercedes-Benz memaklumkan, kereta ini akan dilengkapi dengan fungsi pemanduan semi-autonomous tahap 3. Sistem sensor modularnya dikatakan boleh dinaiktaraf untuk membolehkan keupyaan pemanduan autonomous penuh di masa hadapan.

Dari sudut kuasa, ia datang dari sepasang motor yang menyediakan sebanyak 350 kW (470 hp) dan 760 Nm tork kepada semua roda, membolehkan Vision EQS memecut dari 0-100 km/j dalam masa kurang 4.5 saat. Bateri lithium-ion besar diletakkan di bawah lantainya, memberikan jarak perjalanan sehingga 700 km dalam ujian kitaran WLTP. Ia boleh dicas sehingga 80% dalam masa hanya 20 minit menggunakan stesen pengecas pantas 350 kW.