Malaysia terpilih sebagai lokasi pertama untuk Asia Tenggara mempertontonkan Mercedes-Benz EQC di khalayak umum. SUV ini merupakan kenderaan elektrik (EV) pertama di bawah produk EQ dan berkongsi asas yang sama dengan model GLC kerana mempunyai persamaan kuasa bateri. Untuk pasaran global, EQC hadir dengan varian EQC 400 4Matic yang menawarkan dua kemasan iaitu Electric Art dan AMG Line.
Model yang dipertontonkan hari ini juga merupakan unit dengan versi pemanduan sebelah kiri (untuk pasaran global) dengan kemasan Electric Art. SUV elektrik ini memiliki dimensi 4,761 mm panjang, 2,096 mm lebar dan 1,624 tinggi, dengan jarak roda 2,873 mm, juga lebih kurang sama dengan model GLC.
Mempertaruhkan portfolio elektrik baharu dengan ‘rupa-elektro’ yang berbeza, bahagian hadapannya dihiasi gril radiator berwarna hitam yang bersaiz besar, ditawarkan dengan dua gaya iaitu unit multi-louvre bagi Electric Art dan kepingan-berkembar untuk kemasan AMG Line. Malah tema hitam menjadi pilihan bagi lampu utama Multibeam LED dengan perumah dan tiub dalaman juga menerima sentuhan yang digelapkan.
Manakala pencahayaannya pula menampilkan warna biru sebagai identiti bagi EQ. Malah gambaran yang lebih terang turut ditampilkan menerusi garisan melintang yang merentasi bahagian atas gril, memberikan pencahayaan yang berterusan dari jaluran lampu nyalaan siang pada lampu utama. Roda aloi AERO lima-jejari bersaiz 19-inci turut menyerlahkan lagi gaya SUV EV ini.
Melewati bahagian belakangnya pula, lampu berbilang-seksyen ditampilkan dengan cermin tema jalur cahaya mendatar. Lampu-lampu ini sedikit kecil hasil daripada pemantul yang berada di bahagian bampar, menampakkan hujungnya yang lebih menarik dan sporty. Untuk menyerlahkan lagi peralihan reka bentuk dengan EQ, model ini turut mendapat tipografi khusus dengan spesifik EQ.
Menjengah bahagian kabinnya dilengkapi dengan elemen rekaan yang agak familiar, ini termasuklah konsol tengah dan paparan dwi-segi empat tepat, dengan sambungan dua kluster instrumen 10.25-inci dan skrin paparan media yang dihadirkan bersama gaya ‘free-standing’ dan corong udara AC dengan bentuk-kunci, kemasan kayuan berwarna coklat, roda stereng sport pelbagai fungsi dengan balutan kulit Nappa menjadi pilihan untuk kemasan Electric Art.
Selain itu, ciri lain yang turut ditampilkan termasuklah pakej Multicontour Seat, fungsi haba panas bagi tempat duduk hadapan dan belakang, kawalan suru automatik THERMOTRONIC, tempat duduk hadapan dengan larasan elektronik bersama fungsi memori, cermin pandang belakang anti silau automatik dan banyak lagi.
Untuk paparan informasi pula, tiga gaya berlainan ditawarkan – Modern Classic, Sport dan Electric Art, yang mana pilihan terakhir itu boleh menukar tona persembahan dari Rose Gold bagi mod pemanduan ke putih, dan Electric Blue ketika pemulihan tenaga, dengan beberapa tahap (low, medium, high, coasting). Bagi mod pemanduan, ia menawarkan lima program iaitu Comfort, Eco, Sport, Individual dan Max Range.
Elemen lain yang ditampilkan termasuklah sistem multimedia Mercedes-Benz User Experience (MBUX) baharu, yang menampilkan ciri spesifik EQ termasuk paparan jarak pacuan, status pengecasan dan aliran tenaga. Sebagai tambahan, EQ turut mengoptimakan navigasi, mod pemanduan, pengesan semasa dan juga masa ketibaan yang boleh dikawal dan ditetapkan menerusi MBUX.
Ia turut hadir dengan kawalan suhu pra-kemasukan, yang mampu menyediakan suhu yang diperlukan untuk ruang dalaman, dan diprogramkan menerusi MBUX atau aplikasi Mercedes Me, sama ada masa ketibaan individu atau tetapan secara mingguan.
Selain itu, sistem penggerak juga diutamakan. EQC menampilkan penjana kuasa elektrik – yang disambungkan pada motor elektrik, transmisi nisbah-tetap, sistem penyejukan dan elektronik kuasa pada perumah yang sangat kompak – pada setiap gandar. Motor elektrik hadapan berfungsi ketika muatan rendah dan peluncuran, sementara motor elektrik di belakang pula beroperasi ketika memacu prestasi dan dalam kelajuan yang tinggi.
Hasil gabungan itu, motor ini mampu menawarkan kuasa hingga 300 kW (atau 402 hp) pada 5,500-6,000 rpm dan tork puncak 765 Nm. Jentera ini mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.1 saat, dengan kelajuan maksimum 180 km/j dan boleh mencapai jarak sehingga 417 km bagi pengecasan penuh, berdasarkan kitaran ujian NEDC. Bukan itu sahaja, ia juga mampu memberikan penggunaan kuasa sekitar 22.2 kWh/100 km, juga mengikut NEDC.
Bateri lithium-ion berkuasa 80 kWh turut diberikan bagi menjana kedua-dua motor elektrik. Unit modular 650 kg, yang dibangunkan oleh Daimler anak syarikat Deutsche Accumotive, menampilkan 384 sel (dua modul dengan 48 sel bagi setiap satunya dan empat dengan 72 set setiap satunya) dan voltan maksimum sehingga 405 voltan bersama kapasiti nominal sekitar 210 Ah.
Selain itu, EQC juga dilengkapi dengan pengecas onboard berkuasa 7.4 kW bersama penyejukan-air, juga sesuai untuk pengecasan AC di rumah atau di stesen pengecasan awam. Pengecasan menerusi Mercedes-Benz Wallbox pula adalah tiga kali lebih pantas berbanding menggunakan soket kuasa domestik. Menurut jenama premium ini, EQC juga boleh dicas dengan kadar sehingga 110 kW di stesen pengecasan yang bersesuaian, bergantung pada SoC (status pengecasan), dengan data pendedahan bagi bateri yang boleh dicas dari 10% hingga 80% dalam sekitar 40 minit.
Antara aspek keselamatan yang diberikan termasuklah kamera 360°, Active Distance Assist DISTRONIC, Active Speed Limit Assist, KEYLESS-GO dan PRE-SAFE® system . Mercedes-Benz Malaysia (MBM) memaklumkan model EQC ini bakal dibuka untuk tempahan pada tahun hadapan untuk pasaran tempatan dengan harga anggaran yang diumumkan ialah bermula RM600,000.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.