Selain mempertontonkan SUV mewah, Mercedes-Benz GLE 450 AMG Line, di Festival Hungry For Adventure, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) juga melancarkan model terkini bagi crossover pemasangan tempatan, Mercedes-Benz GLC 300 Coupé AMG Line C253, sebagai memantapkan lagi posisi sebagai pendahulu segmen SUV premium di Malaysia.

Mercedes-Benz GLC 300 Coupé AMG Line C253 kini dijanakan oleh enjin 2.0 liter turbo empat-silinder ini mampu meledakkan kuasa sehingga 245 hp pada 5,500 rpm dan tork 370 Nm dari 1,300-4,000 rpm, yang dipadankan bersama transmisi automatik 9G-TRONIC 9-kelajuan dengan pacuan semua-roda 4MATIC®. Sekaligus membolehkan SUV ini untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat dan kelajuan maksimum yang boleh dicapai ialah 236 km/j.

Sistem Dynamic Select turut didatangkan seperti sebelum ini, menawarkan lima mod operasi (Eco, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual) dan juga suspensi talaan sport.

Elemen standard yang didatangkan bagi GLC 300 ini termasuklah kit luaran AMG Line, yang merangkumi gril radiator berlian (kemasan krom untuk pin), pakej Night dan apron yang bergaya untuk hadapan dan belakang.

Turut ditampilkan ialah lampu utama LED Intelligent Light System dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, sentuhan aluminium, spoiler belakang dan roda aloi-ringan pelbagai-jejari 20-inci.

Untuk bahagian dalamannya pula, ia hadir dengan kulit upholstery Artico, pedal sport AMG, kemasan black piano lacquer atau light longitudinal-grain aluminium, roda stereng sport AMG, tempat duduk larasan kuasa (dengan sokongan belakang dan fungsi memori untuk penumpang hadapan), bumbung matahari panoramik, COMAND Online, pencahayaan ambien, dan sistem bunyi Burmester, selain Akses Bebas Tangan untuk kemudahan yang lebih selesa.

Untuk sistem bantuan pemandu dan keselamatan, GLC 300 miliki ciri yang sama dengan GLC X253, termasuk pakej Lane Tracking, yang merangkumi Blind Spot Assist dan Active Lane Keeping Assist. Lain-lain ciri yang turut ditampilkan termasuk Collision Prevention Assist Plus dan Attention Assist.

Menurut MBM, GLC 300 4Matic Coupe ini adalah model pemasangan tempatan (CKD) tidak seperti model terdahulu, GLC 250. Ia ditawarkan dengan harga jangkaan RM399,888 atas jalan tanpa insurans. Ia menjadikannya lebih murah berbanding GLC 250 (RM445,888) yang merupakan model import sepenuhnya (CBU).

Sama seperti model Mercedes-Benz yang lain, program Agility Financing turut ditawarkan, dengan tempoh tiga-tahun dan bayaran muka 25%, bayaran bulanan untuk GLC 300 ini ialah RM3,998. Pelan kewangan turut termasuk dua pakej penyelenggaraan komprehensif percuma, tetapi ia ditawarkan sehingga 30 April 2019 sahaja.