Land Rover Defender generasi baharu muncul di Frankfurt 2019 – padat dengan segala teknologi terkini

Land Rover Defender generasi baharu  muncul di Frankfurt 2019 – padat dengan segala teknologi terkini

Selepas pelbagai teaser disiarkan, akhirnya Land Rover Defender 2020 didedahkan secara rasmi di Frankfurt Motor Show 2019. Seperti juga versi asal, Defender generasi baharu ini hadir dalam dua bentuk – jarak roda panjang Defender 110 dan jarak roda pendek Defender 90. Namun ketika pelancaran ini, versi Defender 110 didedahkan terlebih dahulu, dan model Defender 90 akan membuat kemunculan kemudian.

Pasti ramai yang tertanya-tanya, adakah Defender baharu ini masih menggunakan casis ladder frame bagi berhadapan terus dengan Mercedes-Benz G-Wagen? Menurut Land Rover, Defender 2020 tidak menggunakan casis tradisional tersebut, tetapi diasaskan dari platform D7x Jaguar Land Rover.

Land Rover mengesahkan bahawa kerangkan monocoque aluminium sepenuhnya itu mempunyai ketegaran torsi 29,000 Nm untuk setiap darjah, atau tiga kali lebih keras dari kerangka ladder frame. Seperti juga model sebelumnya, Defender 110 hadir dengan lima pintu, manakala Defender 90 yang lebih sporty menampilkan rekaan hanya tiga pintu.

Land Rover Defender generasi baharu  muncul di Frankfurt 2019 – padat dengan segala teknologi terkini

Defender versi moden ini tidaklah dihasilkan ‘sebijik’ seperti model klasik, tetapi ia masih mengekalkan elemen-elemen utama seperti bentuk yang berpetak, tayar gantian yang disangkut pada pintu tailgate belakang, manakala lampu hadapannya diberikan gelang LED nyalaan siang yang diinspirasikan dari lampu bulat pada model klasik.

Land Rover turut menghasilkan pelbagai ciri tambahan yang mirip seperti Defender asli, antaranya bumbung dan kerangka tingkap sisi diwarnakan putih, kemasan-kemasan checkered plate pada bahagian seperti bahagian sisi penutup bonet depan dan sekeliling lampu belakang, tangga sisi untuk memanjat bumbung, storan tambahan pada tingkap sisi belakang, unit snorkel untuk ‘menyelam’ menyeberangi sungai dan pelbagai lagi.

Versi 110 dihasilkan dengan dimensi 5,018 mm panjang (termasuk tayar gantian di belakang), 1,967 mm tinggi, 2,105 mm lebar, jarak roda 3,022 mm, manakala lebar trek roda hadapan dan belakang pula adalah masing-masing 1,704 mm dan 1,699 mm. Defender 110 ini juga boleh menyelam pada kedalaman 900 mm, dan ia direka dengan sudut approach, rampover serta berlepas masing-masing 38, 28 dan 40 darjah.

Model lebih pendek Defender 90 pula ia direka dengan dimensi 4,583 panjang (juga bersama tayar gantian), 2,105 mm lebar dan jarak roda 2,587 mm. Model ini hadir dengan dua pilihan suspensi – sama ada menggunakan spring udara atau spring gegelung tradisional. Model yang diberikan spring udara mempunyai ketinggian 1,969 dan trek roda hadapan 1,706 mm, dan versi spring biasa pula mempunyai ketinggian 1,974 mm dan trek roda hadapan 1,704. Trek roda belakang pula adalah sama untuk kedua-dua versi suspensi iaitu 1,702 mm.

Defender 90 yang diberikan spring udara mampu untuk menyelam pada kedalaman 900 mm, manakala versi spring gegelung pula hanya boleh meredah air pada kedalaman 850 mm. Sudut approach, rampover, dan berlepas untuk model shorty ini pula adalah masing-masing 38, 31 dan 40 darjah.

Ketika pelancaran ini Defender 110 ditawarkan dengan dua enjin diesel dan dua enjin petrol. Untuk versi diesel, kedua-duanya adalah dalam bentuk 2.0 liter empat silinder turbo tetapi dihasilkan dalam dua talaan kuasa – model D200 menghasilkan 200 PS/430 Nm, manakala varian D240 menghasilkan 240 PS/430 Nm.

Bagi model petrol, dua versi tersebut adalah P300 dan P400. Varian P300 diberikan enjin 2.0 liter empat silinder turbo berkuasa 300 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 1,500 rpm hingga 4,000 rpm. Manakala model paling berkuasa sebenarnya dilengkapi janakuasa hibrid ringkas, menggandingkan enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris bagi menghasilkan kuasa 400 PS pada takat 5,500 rpm dan tork maksima 550 Nm bermula 2,000 rpm hingga 5,000 rpm.

Kesemua unit janakuasa ini dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik. Tidak lengkap sebuah Defender jika tidak diberikan sistem pacuan semua roda bukan? Ia dilengkapi dengan sistem ‘jantan’ menggandingkan transfer case dua-kelajuan, serta ciri opsyen locking differential pada bahagian tengah dan gandar belakang.

Menurut Land Rover, model diesel D200 dan D240 menggunakan bahan api 7.6 l/100 km dan kadar emisi CO2 pula adalah 199 g/km. Kadar emisi CO2 model petrol P300 pula adalah 227 g/km, manakala versi P400 MHEV mempunyai penggunaan bahan api 9.6 L/100 km dan kadar emisi CO2 220 g/km; kesemua bacaan ini adalah kitaran gabungan NEDC.

Land Rover Defender generasi baharu  muncul di Frankfurt 2019 – padat dengan segala teknologi terkini

Untuk suspensi pula, kedua-dua Defender 110 dan Defender 90 dibekalkan dengan suspensi jenis SLA (short-long arm atau dikenali juga sebagai double wishbone dengan ukuran lengan tidak sama) pada bahagian hadapan serta sistem multilink di belakang. Bagi model yang dibekalkan dengan sistem suspensi udara, ia bertindak balas berdasarkan situasi sehingga 500 kali setiap saat.

Suspensi udara tersebut akan meninggikan lagi Defender ini sehingga 75 mm apabila anda memilih mod off-road, dan tambahan 70 mm lagi (145 mm keseluruhan) bila diperlukan. Ia juga dibekalkan dengan fungsi Elegent Arrival yang boleh merendahkan jentera ini sehingga 50 mm bagi melepasi mana-mana tempat dengan had bumbung lebih rendah.

Defender 2020 ini turut dilengkapi dengan Terrain Response 2, memberikan enam mod pemanduan – Normal, Mud and Ruts, Grass/Gravel/Snow, Sand, Rock Crawl dan Wade – bagi mengawal aliran kuasa ke kesemua roda. Wade adalah mod terbaharu di mana dalam mod ini, ia akan membantu pemandu dengan memberikan respon pendikit lebih lembut, melaras HVAC bagi mengalirkan air, meninggikan badan kereta dalam larasan off-road serta mengunci setiap differential untuk meredah air sehingga kedalam 900 mm yang disebutkan tadi.

Land Rover Defender generasi baharu  muncul di Frankfurt 2019 – padat dengan segala teknologi terkini

Jika anda rasa preset pada setiap enam mod dalam Terrain Response 2 tersebut tidak sesuai dengan situasi yang anda alami, anda turut boleh menghasilkan empat lagi mod custom yang boleh dibuat dan disimpan dengan menala semula respon pendikit dan kotak gear, steering serta traction control.

Sistem Terrain Response 2 ini juga dibekalkan dengan mod Auto, dimana ia akan mengesan dan membuat penilaian, dan kemudian memilih sendiri mod yang sesuai untuk permukaan jalan yang sedang dilalui.

Untuk kemampuan menerima beban pula, Defender 110 mempunyai kadar kapasiti menunda 3,500 kg (3,720 kg untuk pasaran Amerika Syarikat), manakala bumbungnya pula mampu menahan beban dinamik 168 kg; beban statik untuk bumbung adalah 300 kg.

Perlukan winch? Anda tidak perlu untuk mencari jenama aftermarket kerana Defender turut hadir dengan winch opsyenal. Winch berkenaan adalah dari jenis elektrik dan boleh dioperasikan dengan kawalan jauh dalam jarak 45 m. Ia hadir dengan tali sintetik sepanjang 40 meter, dan mampu menghasilkan kuasa tarikan maksimum 4,536 kg.

Jika Defender klasik lebih ringkas dan rugged, Defender 2020 ini pula diberikan kabin yang seiring dengan SUV-SUV mewah terkini. Defender 110 mempunyai kapasiti ruang 646 liter di belakang tempat duduk baris kedua hingga ke garis pinggang (464 liter untuk konfigurasi tempat duduk 5+2), 1,075 liter hingga ke garis bumbung (916 liter untuk 5+2), dan sehingga 2,380 liter hingga baris bumbung apabila tempat duduk baris kedua direbahkan (2,233 liter untuk 5+2); model 5+2 juga mempunyai kapasiti 231 liter sehingga garis bumbung sekiranya tempat duduk garis ketiga ditegakkan.

Juga tidak seperti model klasik yang sangat mekanikal, Defender generasi baharu ini diberikan sistem elektronik terkini Land Rover dikenali sebagai Electronic Vehicle Architecture (EVA) 2.0. Menerusi sistem ini, ia menyokong kemaskini perisian over-the-air (SOTA), dan menyokong sistem infotainmen Pivi Pro baharu. Hab pusat mengawal 85 buah kotak komputer (ECU), dan ia sentiasa berhubung dengan jaringan 4G serta bersedia dengan pembangunan 5G – membolehkan sebarang kemaskini perisian dilakukan tanpa pemilik perlu ke pusat servis.

Untuk sistem Pro Pivi pula, ia boleh dioperasikan menerusi skrin sesentuh utama bersaiz 10-inci. Skrin berkenaan boleh diolah sendiri oleh pengguna, dan menurut Land Rover jumlah cara kerja untuk mengoperasikan sistem tersebut adalah 50% kurang dari sistem sebelumnya. Ia turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto dan boleh menghubungkan dua telefon pintar menerusi Bluetooth dalam satu masa.

Land Rover Defender generasi baharu  muncul di Frankfurt 2019 – padat dengan segala teknologi terkini

Sistem navigasi pada Defender ini mampu untuk belajar sendiri dan ia bersifat dinamik bagi mengoptimakan laluan, dan suara navigasi pintar Smart Voice pada sistem tersebut akan diam sendiri setelah mengetahui pemandu telah biasa dengan kawasan yang dilalui. Peta juga akan sentiasa dikemaskini menerusi sistem SOTA. Pemandu pula menerima paparan interaktif 12.3-inci yang akan memberikan sama ada paparan instrumen tradisional atau paparan navigasi penuh 3D, atau kombinasi kedua-duanya.

Selain itu, pemandu turut diberikan paparan head-up TFT berwarna penuh, manakala sekeliling kereta akan dipantau menerusi 3D Surround Camera yang akan memberikan visual pada skrin dalam mod Tow Sensing dan Wade Sensing.

Satu lagi teknologi yang menakjubkan pada Defender ini adalah teknologi Clearsight Ground View. Menerusi teknologi ini, pemandu akan dapat melihat keadaan di bawah hadapan kereta seolah-olah padangan bonet hadapan telus ke bawah menerusi skrin, membolehkan pemandu mengetahui apa yang terjadi di bawah terutamanya ketika memandu pada kawasan off-road.

Land Rover Defender generasi baharu  muncul di Frankfurt 2019 – padat dengan segala teknologi terkini

Teknologi Clearsight Rear View juga hadir pada Defender ini di mana ia akan memberikan pandangan belakang seolah-olah tiang-tiang bumbung serta tayar gantian di belakang dilenyapkan. Sistem bantuan pemanduan lain yang turut dilengkapkan termasuk brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, pengenal tanda trafik, cruise control dan pengehad kelajuan, paparan keadaan pemandu dan juga penderia parkir hadapan dan belakang.

Pelbagai konfigurasi sistem audio ditawarkan – versi asas diberikan enam-pembesar suara, manakala dan versi pertengahan dan tertinggi pula menerima sistem 10- dan 14-pembesar suara dari Meridian, bersama subwoofer dan amplifier berkuasa 700 W. Setiap baris tempat duduk diberikan dua soket kuasa 12V dan dua port USB, manakala pada bahagian kargo, satu lagi soket 12V diberikan, bersama satu soket domestik 230-volt membolehkan anda menggunakan peralatan elektrik rumah ketika di dalam hutan.

Defender juga diberikan Activity Key selain dari kunci biasa. Activity Key tersebut adalah kunci yang berbentuk seperti jam tangan, membolehkan anda mengunci atau membuka kunci dengan hanya mengoncangkan tangan – memudahkan akses kepada kereta terutama ketika anda dalam keadaan kotor atau basah kerana melakukan aktiviti di kawasan luar bandar.

Land Rover Defender generasi baharu  muncul di Frankfurt 2019 – padat dengan segala teknologi terkini

Aksesori untuk Defender 2020 ini dibahagikan kepada empat pek iaitu Adventure, Country, Explorer dan Urban. Kesemuanya disediakan dalam semua enam varian iaitu model Asas Defender, S, SE, HSE, First Edition dan versi tertinggi Defender X. Model ini juga merupakan model pertama Land Rover yang hadir standard bersama filem pelindung satin, yang boleh dibuka bila-bila masa bagi memudahkan proses mengecat semula berbanding kemasan cat biasa.

Menurut Land Rover, lapisan satin tersebut diasaskan dari bahan polyurethane, bebas solven dan tidak mengandungi sebatian organik yang tidak stabil. Lapisan berkenaan ditawarkan pada warna Indus Silver, Gondwana Stone dan Pangea Green. Dua warna terakhir tersebut hanya unik ditawarkan pada Defender, bersama pilihan warna lain terdiri dari Tasman Blue, Fuji White, Eiger Grey dan Santorini Black.

Land Rover Defender 110 dijual pada harga bermula £45,240 (RM233,612) untuk pasaran UK, manakala Defender 90 pula dijangka akan dijual pada harga sekitar £40,000 (RM206,540). Seperti Defender klasik yang popular digunakan oleh badan seperti Polis, Jabatan Kesihatan dan juga Felda, model generasi baharu ini turut akan hadir dalam versi kenderaan komersial, bakal diperkenalkan ketika pendedahan Defender 90 kelak, dan dijangka akan dijual pada harga bermula £35,000 (RM180,723).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required