Mercedes-Benz G-Class 2018 – serba baru luar dalam

Mercedes-Benz G-Class 2018 – serba baru luar dalam

Selepas beberapa teaser, spyshot dan gambar yang bocor, Mercedes-Benz G-Class baru akhirnya dipersembahkan secara rasmi di pameran North American International Auto Show (NAIAS) 2018 di Detroit. Model ikonik yang turut digelar sebagai Geländewagen ini telah dibangunkan semula serba baru luar dan dalam, sekaligus menjadikan ia lebih gagah.

Walaupun begitu, G-Class sekarang lebih kepada satu pernyataan gaya berbanding sebuah kenderaan yang dibelasah ke mana sahaja. Oleh itu, pereka yang terlibat tidak mahu banyak mengubah rekaannya, di mana bentuk berkotak masih lagi dikekalkan, tetapi muka hadapannya lebih licin.

Lampu hadapan berbentuk bulat padanya sebagai contoh kini menggunakan jenis LED penuh, dengan lampu siang berbentuk gelung di sekeliling. Bampar hadapan dan belakangnya juga kini disepadukan lebih serasi dengan rekaan keseluruhan, serta juga lengkuk tayar berpetaknya. Menurut Mercedes, rekaan ini tidak lagi nampak seperti bahagian yang ditambah kemudian. Turut diperbaiki adalah ruang antara panel dan kualiti permukaan.

Lain daripada itu, ia masih lagi menggunakan rekaan yang sama seperti sebelum ini, termasuk jalur getah pelindung di sekeliling kenderaan, engesel pintu dan bonet yang boleh dilihat, tayar simpanan yang dilekatkan pada pintu bonet belakang, penunjuk arah di atas fender hadapan, pemegang pintu yang besar, malah juga bunyi apabila pintu ditutup yang sama.

Walaupun sebegitu, jangan pula fikirkan ini bukan model G-Class yang serba baru, kerana daripada ukurannya, ia kini 53 mm lebih panjang dan 121 mm lebih lebar berbanding sebelum ini. Ini seterusnya dikatakan memberi ruang kaki, ruang bahu serta ruang siku lebih baik, dengan secara khususnya, penumpang belakang menerima 150 mm ruang tambahan di lutut.

Di dalam, G-Class baru ini menggunakan banyak barang seperti model kenderaan penumpang jenama sama. Sementara beberapa bahagian seperti pemegang pintu dan butang konsol tengah masih lagi sama seperti sebelum ini, ia turut diberi suntikan moden seperti roda stereng dengan pad sesentuh dan corong pendingin udara bentuk turbin seperti E-Class Coupe.

Turut diambil daripada E-Class adalah panel paparan yang terletak di hadapan pemandu. Secara standard, panel ini datang dengan tolok analog berkembar dan skrin di tengah, tapi pembeli boleh memilih sehingga Widescreen Cockpit penuh, dengan skrin 12.3 inci berkembar.

Tempat duduk standard pada G-Class baru ini menampikan fungsi memori bagi bahagian pemandu, dan fungsi pemanas di hadapan dan belakang. Apabila memilih Pakej Active Multicontour Seat, anda akan mendapat bonjolan sokongan, fungsi mengurut dan liang pengudaraan. Satu lagi ciri yang diambil daripada model kenderaan penumpang adalah sistem Dynamic Select dengan mod Eco, Comfort, Sport dan Individual.

Mercedes-Benz G-Class 2018 – serba baru luar dalam

Di sebalik panelnya, G-Class baru ini menampilkan badan yang dibuat daripada gabungan besi pelbagai kekuatan, manakala aluminium pula digunakan untuk bonet, fender dan pintu. Oleh itu, beratnya kini 170 kg kurang berbanding sebelum ini, dan ketegaran pula ditingkat sebanyak 55%. Menurut Mercedes, ini membantu meningkatkan kendalian dan pemanduan kenderaan, selain mengurangkan bunyi dan gegaran.

Bagi meningkatkan kelincahan atas jalan biasa dan kemampuan di atas jalan offroad, G-Class baru ini dilengkapi dengan suspensi yang direka semula, dan dibangunkan bersama Mercedes-AMG. Tetapan yang diguna adalah termasuk suspensi double wishbone yang dipasang terus pada ladder frame, yang membolehkan bahagian hadapan menjadi lebih keras, dengan tambahan pendakap di bahagian atas penyerap.

Sementara itu, gandar belakang tetap padanya kini dikawal menggunakan empat trailing arm pada setiap bahagian dan rod Panhard untuk meningkatkan keselesaan. Stereng juga telah ditukar kepada rack-and-pinion kuasa elektromekanikal demi memasukkan sistem bantuan pemandu seperti Parking Assist.

Mercedes-Benz G-Class 2018 – serba baru luar dalam

Dengan jarak dari tanah 270 mm di hadapan dan 241 mm di belakang, G-Class baru ini boleh meredah pelbagai bentuk jalan, dengan sudut menjunam 31 darjah, sudut break-over 26 darjah, sudut mendongak belakang 30 darjah dan kemampuan mendaki curam sehingga 45 darjah. Kedalaman air yang boleh diredah juga bertambah tinggi 100 mm, menjadi 700 mm.

Untuk lebih lagi kekuatan di jalan offroad, terdapat pilihan G-Mode baru, yang diaktifkan apabila differential terkunci atau gear jarak rendah digunakan. Ia melaras penyerap adaptif, stereng dan tindak balas pendikit untuk dipadankan dengan bentuk permukaan dan mengelakkan penukaran gear yang tidak sepatutnya.

Apabila dilancarkan nanti pada bulan Jun, G-Class baru ini akan ditawarkan dengan hanya satu varian sahaja iaitu G 500, dikuasakan oleh enjin V8 4.0 liter biturbo. Kuasa yang mampu dijana adalah 422 hp dan 610 Nm tork, dihantar ke semua empat tayar melalui transmisi automatik sembilan kelajuan 9G-Tronic.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required