Perodua Axia 2019 versi facelift terbaru telah dilancarkan. Semuanya ada enam varian, dan harga jualan masih dikekalkan, bermula dari RM24,090. Ini merupakan facelift kedua yang diberikan kepada Axia, yang pertama kali diperkenalkan pada 2014 dan kemudiannya menerima kemaskini pertama pada Januari 2017.

Perodua Axia 2019 bagaimanapun masih menggunakan enjin berkapasiti sama 1.0 liter SOHC VVT-i 1KR-VE dari Bezza, sama seperti versi 2017 yang diperkenalkan sebelum ini dengan janaan kuasa sebanyak 67 hp pada 6,000 rpm dan 91 Nm tork pada 4,400 rpm. Enam varian yang dimaksudkan terdiri daripada Axia E, Axia G, Axia GXtra, Axia SE, varian terbaharu Axia Style dan spesifikasi tertinggi Axia Advance atau AV.

Perodua telah mengambil langkah yang lebih besar dengan menawarkan sistem kawalan kestabilan kenderaan (VSC) untuk Axia GXtra dan varian lain di atasnya. Malahan varian Advance yang paling tinggi juga dilengkapi dengan ciri keselamatan Advanced Safety Assist (ASA) 2.0, sama seperti SUV Aruz. Sistem tersebut merangkumi Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC) – semuanya berfungsi dengan bantuan kamera pada cermin utama.

Jika anda ingin melihat sendiri perebazaan antara varian yang ada, tonton video yang kami sediaka ini. Ia merangkumi keseluruhan enam varian yang ada, serta mempamerkan kelainan serta tambahan kelengkapan yang ditawarkan bagi setiap varian yang berbeza.

GALERI: Perodua Axia Style 2019