Divisi pembangunan enjin Volvo, Geely disatukan; bekal enjin untuk Proton & semua jenama bawah ZGH

Divisi pembangunan enjin Volvo, Geely disatukan; bekal enjin untuk Proton & semua jenama bawah ZGH

Tahun lalu Volvo telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan lagi menghasilkan enjin-enjin pembakaran dalaman (petrol dan diesel) untuk generasi seterusnya dan hanya akan menumpukan terhadap pembangunan unit janakuasa elektrik. Kini, mereka telah mengumumkan satu lagi strategi baharu; divisi pembangunan enjin konvensional dari Volvo dan Geely bakal disatukan tidak lama lagi, dan entiti baharu tersebut akan membangunkan enjin-enjin serta sistem hibrid generasi seterusnya, bagi digunakan untuk semua model-model di bawah kumpulan Zhejiang Geely Holding Group (ZGH) termasuk Volvo, Geely Auto, Proton, Lotus, London Electric Vehicle Company dan Lynk & Co.

Malah menurut ZGH, enjin-enjin petrol dan diesel serta unit janakuasa hibrid yang dibangunkan tersebut bukan hanya akan digunakan oleh semua jenama di bawah payungnya, mereka turut akan membekalkannya kepada pihak ketiga yang berminat. Menerusi langkah ini, Volvo boleh terus menumpukan usaha mereka bagi menghasilkan kereta-kereta elektrik sepenuhnya, selari dengan sasaran mereka bagi mengutamakan kemampanan pada asas operasinya.

Sebelum ini juga Volvo telah menyatakan bahawa mereka menjangkakan menjelang 2025 nanti, separuh dari model-model jualannya di seluruh dunia adalah dijana oleh elektrik sepenuhnya (EV), dan selebihnya adalah model-model yang diberikan sistem hibrid elektrik.

Ketika bercakap kepada Automotive News Europe, presiden dan CEO Volvo Cars, Håkan Samuelsson menjelaskan bahawa divisi baharu yang akan ditubuhkan ini akan mengurangkan tekanan jurutera-jurutera Volvo bagi terus menghasilkan enjin pembakaran dalaman ketika syarikat sedang mengutamakan pembangunan kereta elektrik sepenuhnya.

Rancangan ini turut akan membantu mengurangkan kos kerana Volvo mensasarkan untuk menghasilkan kereta dalam jumlah yang lebih banyak. Jenama Sweden tersebut telah menjual sebanyak 642,253 pada tahun 2018, dan berharap akan mencapai angka 800,000 menjelang 2020. Perkongsian teknologi antara Volvo dan Geely juga sudah pun berlangsung secara besar-besaran, dan entiti baharu ini kelak akan menyatukan bekalan enjin pembakaran dalaman kepada hanya satu pembekal.

Walaupun Volvo kini sedang menumpukan kepada teknologi EV, mereka masih lagi percaya bahawa teknologi elektrik akan menular dalam industri automotif secara berperingkat, dan permintaan untuk unit janakuasa hibrid masih lagi mempunyai permintaan disamping penawaran teknologi elektrik sepenuhnya. “Kereta hibrid memerlukan enjin pembakaran dalaman yang terbaik. Unit (enjin) baharu tersebut akan mempunyai sumber, skala dan kepakaran untuk dibangunkan dengan kos yang efisien,” kata Samuelsson.

Menurut Volvo, perniagaan baharu ini dijangka akan mengambil sekitar 3,000 pekerja Volvo dan sekitar 5,000 pekerja Geely dari unit operasi enjin pembakaran dalaman masing-masing, dan tiada pengurangan tenaga kerja akan dilakukan.

“Kami mempunyai kelebihan dengan membuat penstrukturan semula asas ini secara sangat awal kerana pasaran untuk enjin pembakaran dalaman tidak akan membesar pada masa akan datang. Kami lakukan perkara yang sangat tepat, yang menggunakan sinergi. Ini yang perlu anda lakukan dalam pasaran yang sedang mengecil,” jelas Samuelsson lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • hassan seth on Oct 10, 2019 at 8:57 pm

    Woww.. Volvo spt tidak terkesan dgn pembelian saham majoriti oleh Geely dlm syarikat tersebut.. Terus menerus memberi kenyataan media seolah syarikat induknya Geely tidak dpt membuat keputusan bg pihaknya utk perancangan masa dpn syarikat tersebut.. Sebelum ni memberitahu media bahawa enjin yg digunakan model Geely adalah hasil rekabentuk dan teknologi yg disumbangkan Volvo walaupun sebelumnya Geely mendakwa ia adalah hasil usahasama Geely dan syarikat tersebut.. Sapa yg bos ni??

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required