Seperti yang kita telah maklum, pembentangan Belanjawan 2020 akan berlangsung petang ini, 11 Oktober 2019 bermula jam 4 petang. Ia akan disampaikan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Parlimen. Untuk itu, kami akan membawakan terus perkara-perkara dari pembentangan ini yang berkaitan industri automotif serta pengangkutan awam kepada anda.

Ikuti ringkasan kemaskini semasa melalui artikel ini dan juga perincian setiap satunya di dalam pecahan artikel lain yang bersangkutan di paultan.org. Teruskan bersama kami.

    Jalanraya & lebuhraya

  • Pengurangan purata caj tol sekitar 18% bagi semua lebuhraya kendalian PLUS bermula 2020 untuk mengurangkan beban tol pengguna. Ini akan membolehkan pengguna jimat sekitar RM1.13 bilion untuk tahun 2020, dan 43 bilion sepanjang tempoh konsesi yang akan tamat pada 2038 nanti.
  • Cadangan pengambil alihan empat lebuhraya di Lembah Klang – terdiri dari pada KESAS, LDP, Sprint dan Terowong SMART – akan dilakukan melalui pinjaman yang dijamin oleh kerajaan. Caj kesesakan yang bakal diperkenalkan akan diturunkan sehingga 30% daripada kadar tol semasa ketika ini ketika waktu puncak dan tempoh biasa. Digabung dengan caj percuma di luar waktu puncak, pengguna akan jimat sekitar RM180 juta setahun, atau RM2 bilion sehingga tempoh konsesi asal masing-masing tamat.
  • Peruntukan RM1 bilion disediakan untuk pembinaan jalanraya di kawasan pedalaman seluruh negara. Ini termasuk peruntukan RM326 juta untuk Sabah dan RM224 juta untuk Sarawak.
  • Kerajaan juga telah dapat menjimatkan sejumlah RM1.2 bilion dari projek pembinaan lebuhraya Pan Borneo.
  • Peruntukan RM50 juta akan diberikan untuk tujuan memperbaiki dan menambahbaik jalanraya di sekitar atau menuju ke Port Klang untuk menyokong pertumbuhan operasi perdagangan.
  • Kadar tol di Jambatan Kedua Pulau Pinang juga diturun dan diselaraskan kepada RM7, bukan lagi RM8.50. Bermula 1 Januari 2020.
  • Untuk mengurangkan kesesakan di Tambak Johor, peruntukan RM85 juta disediakan untuk melancarkan aliran trafik kenderaan. 50 kaunter baru akan dibuka untuk motosikal, serta kaunter imigresen dan PLUS juga akan ditambahbaik.
  • Pengangkutan awam

  • Kerajaan juga berhasrat untuk meneruskan projek Rapid Transit System (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura. Bagaimanapun, belum ada jangka masa ditetapkan untuk ini.
  • RM50 juta diperuntukkan untuk menaik taraf landasan keretapi Gorge Line antara stesen Halogilat ke stesen Tenom di Sabah.
  • Kerajaan akan menyediakan 500 unit bas elektrik melalui peruntukan RM450 juta untuk dimanfaatkan sektor pengangkutan awam di bandar-bandar terpilih di seluruh negara.
  • RM146 juta diperuntukkan untuk pengusaha bas untuk sambungan last-mile di kawasan luar bandar dan bandar.
  • Subsidi RON95

  • Bagi pengguna bukan dari kelompok penerima BSH tetapi masih layak menerima subsidi ini (pendapatan kurang RM4,000, serta menepati kriteria lain sama seperti yang dikenakan kepada penerima BSH), mereka akan menerima KAD95, dengan kadar subsidi yang sama, 30 sen seliter. Ini melibatkan had maksimum 100 liter petrol bagi kereta, dan 40 liter bagi motosikal setiap bulan. Ini akan dijalankan secara berperingkat.
  • Biodiesel B20

  • Biodiesel B20 akan mula dilaksanakan bagi sektor pengangkutan menjelang hujung tahun 2019. Jumlah penggunaan kelapa sawit dijangka 500,000 tan setahun.