Skim subsidi bersasar bagi RON95 yang menjadi tanda tanya sejak diumumkan ketika Bajet 2019 yang dibentangkan kira-kira setahun lalu kini terungkai; kerajaan hari ini telah mendedahkan perincian bagaimana ia akan dijalankan serta dijangka mula dilaksanakan pada Januari 2020 nanti.

Pertama sekali, siapa yang akan menerima subsisi bersasar ini? Syarat pertama sekali ialah mereka-mereka yang namanya tersenarai sebagai penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) sahaja akan menerima subsisi petrol secara bersasar selepas ini. Perlu juga diketahui bahawa kaedah subsidi terbaru ini hanya layak untuk mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah kurang daripada RM4,000 sebulan.

Selain itu, hanya pemilik-pemilik kereta dan motosikal sahaja layak menerima subsidi ini; mereka yang memiliki tidak lebih daripada dua kereta dan dua motosikal dalam satu-satu masa. Kelayakan bagi kereta pula adalah seperti berikut; kapasiti enjinnya di bawah 1,600 cc, atau bagi yang melebihi 1,600 cc usia kenderaan perlu lebih daripada 10 tahun.

Bagi motosikal pula, kapasiti enjin mestilah kurang daripada 150 cc. Bagi enjin 150 cc ke atas pula, hanya yang usia motosikalnya melebihi tujuh tahun layak menerima. Kemudian, bagaimana cara subsidi ini diagihkan atau dibayar kepada mereka yang layak menerima?

Kerajaan akan membayar semula jumlah subsidi yang terlibat ke dalam akan bank berdaftar penerima dengan kekerapan sekali setiap empat bulan. Sebagai contoh, bagi pemilik kereta, RM30 merupakan jumlah subsidi yang terlibat setiap bulan (bagi sebuah kereta), maka RM120 akan dimasukkkan ke dalam akaun mereka.

Begitu juga dengan pemilik motosikal. Mereka yang layak akan menerima subsidi RM12 setiap bulan bagi satu motosikal, maka RM48 akan dimasukkan ke dalam akaun mereka setiap empat bulan. Kerajaan menjangkakan bakal mula melaksanakan kaedah ini bermula tahun depan, dengan subsidi bagi kumpulan pertama akan diagihkan pada Januari 2020.

Lain pula ceritanya di Sabah dan Sarawak. Tiada skim subsidi akan dilaksanakan, tetapi harga RON95 akan ditetapkan pada RM2.08 (termasuk Wilayah Persekutuan Labuan), seperti yang diumumkan oleh Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu sidang media hari ini.

Beliau juga berkata, seramai 2.8 juta warga Malaysia akan mendapat manfaat daripada skim subsidy bersasar ini, menjadikan kos yang perlu ditanggung oleh kerajaan ialah sekitar RM65.4 juta sebulan, lapor The Star.

PROGRAM SUBSIDI PETROL (PSP)

Yang dinanti – nantikan telah tibaProgram Subsidi Petrol (PSP)

Posted by KPDNHEP-Laman Rasmi on Isnin, 7 Oktober 2019