Dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan pembinaan projek laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura akan diteruskan.
Walau bagaimana pun, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, buat masa ini tiada maklumat lanjut mengenai projek terbabit kerana cara pelaksanaannya hanya akan diputuskan di Kabinet dalam masa terdekat ini.
“Dalam Belanjawan 2020, Menteri Kewangan Lim Guang Eng sudah menyatakan hasrat kerajaan untuk meneruskan RTS. Itu petanda awal sokongan kerajaan terhadap projek ini tetapi saya tidak boleh beri maklumat lanjut sebab ia akan dibawa dan diputuskan dari segi cara pelaksanaan di Kabinet dalam seminggu dua ini,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.
Menurut Loke lagi, selepas diluluskan Kabinet, beliau akan menghubungi rakan sejawatnya, Menteri Pengangkutan Singapura Khaw Boon Wan memandangkan projek tersebut melibatkan hubungan dua hala kedua-dua negara.
“Selepas itu, kita (kerajaan pusat) yakin bahawa satu pengumuman rasmi akan dapat dibuat menjelang akhir bulan ini. Kita komited dengan tarikh akhir 31 Oktober, maka, satu pengumuman rasmi dapat dibuat menjelang tarikh itu,” katanya sambil menambah beliau juga akan mencadangkan kepada Khaw supaya pengumuman terbabit dilakukan di bandar raya ini.
Sebelum ini, Malaysia dan Singapura secara rasmi menandatangani perjanjian tambahan (SA) untuk menangguh pembinaan RTS sehingga 30 September tahun ini. Malah Loke juga dilaporkan berkata, Malaysia akan membayar balik sebanyak RM2 juta kepada Singapura pada 31 Julai 2019, sebagai kos kegagalan yang ditanggung akibat daripada penggantungan selama enam bulan.
Pada bulan lalu, Malaysia memohon tempoh lanjutan sehingga 31 Oktober ini untuk keputusan terhadap projek yang akan mengatasi kesesakan lalu lintas untuk perjalanan ulang-alik antara keduda-dua negara itu setiap hari.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.