Dalam pembentangan Belanjawan 2020 oleh menteri kewangan Lim Guan Eng petang tadi, ada satu berita yang mungkin akan memberikan kelegaan kepada mereka di Johor Bahru yang berkerja di seberang tambak – kerajaan telah bersetuju untuk mengeluarkan belanja sebanyak RM85 juta bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor.

Dengan jumlah perbelanjaan tersebut, kerajaan bakal membuka 50 kaunter tambahan untuk penunggang motorsikal. Selain itu, operasi kaunter imigresen dan juga kaunter PLUS juga bakal ditambah baik.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2020 ini juga, Lim turut mengesahkan bahawa projek Rapid Transit System Link (RTS) antara Johor Bahru dan Singapura turut akan diteruskan, namun tiada sebarang anggaran masa bila ia akan disambung semula.

RTS adalah projek rel sepanjang 4km yang akan dibina untuk laluan rentas antara Bukit Chagar di Johor Bahru hingga ke Woodlands di Singapura, dengan kapasiti penumpang seramai 10,000 dalam masa satu jam.

Pembinaan asalnya dijadualkan bermula pada tahun ini dan dijangka siap pada Disember 2024. Namun pada Mei lalu, Malaysia dan Singapura bersetuju untuk menangguhkannya bagi membuat kajian untuk menurunkan kos projek tersebut.