Subsidi RON95 akan diperluas kepada kelompok M40

Subsidi RON95 akan diperluas kepada kelompok M40

KPDNHEP berharap akan dapat melaksanakan agihan subsidi petrol bersasar bukan hanya kepada kumpulan B40 dan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH), tetapi turut melibatkan kelompok berpendapatan pertengahan M40 sekali, bermula Januari tahun depan.

Dalam Belanjawan 2020 yang dibentangkan minggu lalu, kelompok yang tidak tergolong di dalam B40 juga turut boleh menikmati subsidi berkenaan melalui Kad95 yang akan diberikan kepada mereka yang layak – berpendapatan kurang RM4,000, tetapi tidak tersenarai dalam BSH. Agihan kad berkenaan akan dijalankan secara berperingkat tahun depan.

“Selepas pengumuman berkaitan subsidi petrol bersasar Isnin minggu lalu, kementerian menerima banyak maklum balas, antaranya untuk memasukkan sekali kelompok M40 sebagai penerima bantuan berkenaan,” ujar Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail seperti dilaporkan The Sun.

Beliau menambah, KPDNHEP akan berbincang dengan Kementerian Kewangan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Tenaga Nasional untuk memperoleh data mereka-mereka yang layak serta untuk memperhalusi mekanisme terlibat.

Subsidi RON95 akan diperluas kepada kelompok M40

“Berdasarkan pembentangan minggu lalu, kerajaan telah memperuntukkan RM2.2 bilion untuk skim subsidi petrol bersasar ini yang akan memberi manfaat kepada lapan juta pengguna. Dan, tidak termasuk 2.9 juta penerima dari kelompok B40, sekitar lima juta pengguna lain dari kelompok M40,” jelas beliau.

Bagi mereka yang tidak tergolong di dalam dua kelompok ini, tiada lagi subsidi yang akan diberikan dan harga runcit bahan api akan bergantung kepada kaedah apungan bermula Januari tahun depan. Berdasarkan kadar terkini pengiraan Automatic Price Mechanism (APM), RON95 sepatutnya dijual pada harga RM2.37 seliter sekiranya had RM2.08 dihapuskan.

Berikut senarai kelayakan yang diperlukan bagi penerima-penerima subsidi petrol bersasar selepas ini:

  • Subsisi hanya akan diberikan kepada pemilik kenderaan, dan hanya terhad kepada satu kenderaan sahaja bagi setiap penerima. Jika mereka memiliki sebuah kereta dan sebuah motosikal, maka subsidi akan diberikan untuk nilai yang paling besar, iaitu untuk kereta. Dan, kenderaan perlulah didaftarkan di atas nama penerima.
  • Jumlah subsidi dihadkan kepada RM30 sebulan bagi kereta, manakala bagi motosikal pula RM12.
  • Kerajaan akan membayar subsidi berkenaan setiap empat bulan sekali. Maka, pemilik kereta akan menerima RM120, manakala pemilik motosikal pula akan menerima RM48 dalam tempoh itu. Bagi penerima BSH, jumlah berkenaan akan dikreditkan ke dalam akaun mereka. Pembayaran pertama dijangka pada April 2020.
  • Pendapatan isi rumah tidak lebih daripada RM4,000 sebulan.
  • Mereka yang layak hanya boleh memiliki maksimum dua kereta dan dua motosikal dalam satu masa untuk satu isi rumah.
  • Bagi kereta, ia perlulah berkapasiti 1,600 cc ke bawah; bagi yang lebih besar dari itu pula kereta perlulah berusia 10 tahun ke atas. Manakala bagi motosikal, perlulah kurang daripada 150 cc, atau yang berusia tujuh tahun ke atas.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required