Model elektrik penuh pertama Porsche iaitu Taycan kini mendapat satu lagi varian iaitu Taycan 4S. Ia diletakkan di bawah model Taycan Turbo S dan Taycan Turbo, sebagai model permulaan. Ia ditawarkan dengan dua spesifikasi bateri iaitu Performance dan Performance Plus.
Taycan 4S yang menggunakan pek bateri Performance mempunyai kapasiti 79.2 kWh, untuk menghasilkan kuasa 530 PS dan penggunaan kuasa 24.6 kWh/100 km sementara bateri Performance Plus pula menawarkan kuasa 571 PS dan penggunaan kuasa 25.6 kWh/100 km. Jarak gerak yang ditawarkan pula adalah 407 km untuk Performance dan 463 km untuk Performance Plus.
Catatan ini sekaligus menjadikan Taycan 4S sebagai varian Taycan yang menawarkan jarak gerak paling jauh, dengan kapasiti mengecas pula terletak pada 225 kW untuk Performance dan 270 kW untuk Performance Plus. Prestasi kedua-dua varian ini adalah sama iaitu 4.0 saat untuk pecutan 0-100 km/j dan laju maksimum 250 km/j.
Sama seperti varian Turbo dan Turbo S yang diperkenalkan sebelum ini, kedua-dua versi Taycan 4S adalah menggunakan pacuan semua roda, dengan terdapat motor pemacu di setiap gandar dan gandar belakang mempunyai transmisi dua kelajuan.
Kecekapan daya rintangan angin Taycan 4S adalah sama dengan Taycan Turbo, iaitu 0.22 dan ini mungkin kerana badannya tidak berubah banyak, kecuali kemasan pada bawah bampar, rear diffuser dan side sill yang diwarnakan hitam.
Dalam keadaan standard Taycan 4S datang dengan rim Taycan Aero 19 inci dengan di sebaliknya terdapat cakera brek cast iron yang berukuran 360 mm serta angkup enam piston di hadapan dan cakera 358 mm serta angkup empat piston di belakang. Sama seperti Taycan Turbo dan Turbo S, Taycan 4S ini juga datang terus dengan suspensi udara adaptif yang dipadankan bersama sistem elektronik Porsche Active Suspension Management (PASM).
Pada bahagian dalam, kebanyakan bahagian Taycan 4S dibalut dengan kulit campuran, termasuk tempat duduk pemandu yang boleh dilaras secara elektrik lapan arah. Sama seperti Taycan Turbo dan Turbo S, Taycan 4 S ini juga ada ditawarkan dengan kemasan bebas kulit, bagi pencinta haiwan dan diganti dengan bahan kitar semula.
Papan pemuka Taycan 4S adalah sama sahaja seperti Taycan Turbo dan Turbo S, berserta panel instrumen digital penuh di hadapan pemandu dan panel paparan infotainmen 10.9 inci di bahagian tengah. Di bawah sedikit terdapat panel sesentuh 8.4 inci untuk mengawal fungsi pendingin hawa.
Porsche Taycan ditawarkan di Eropah dengan harga 105,607 Euro (RM487,993), dan dijangka tiba di wakil pengedar menjelang Januari 2020.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.