Selepas pembentangan Belanjawan 2020 Jumaat lalu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berharap agihan bagi subsidi petrol bersasar bukan hanya kepada kumpulan B40 dan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH), tetapi turut melibatkan kelompok berpendapatan pertengahan M40 sekali.
Ia berikutan pengumuman yang disempurnakan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengenai kelompok yang tidak tergolong di dalam B40 juga turut boleh menikmati subsidi berkenaan melalui Kad95 yang akan diberikan kepada mereka yang layak – berpendapatan kurang RM4,000, tetapi tidak tersenarai dalam BSH. Agihan kad berkenaan akan dijalankan secara berperingkat tahun depan.
Susulan daripada itu, Lim berkata, kerajaan akan mengumumkan hasil kajian mengenai mekanisme subsidi petrol bagi golongan M40 pada tahun hadapan.
“Kerajaan masih dalam peringkat meneliti mekanisme tersebut. Di mana kajian membabitkan M40 itu dijangka siap pada Mac dan kita akan membuat pengumuman selepas itu,” katanya menurut laporan yang disiarkan oleh Bernama.
Menurut Menteri KPDNHEP Datuk Seri Saifuddin Nasution pula, kementeriannya akan membincangkan secara lanjut perkara itu dengan Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan bagi merangka mekanisme untuk mengenal pasti hanya mereka yang benar-benar layak dapat menikmati manfaat itu.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.