Volvo XC40 Recharge diperkenal – SUV elektrik penuh dengan kuasa 408 PS, 660 Nm tork, jarak gerak 400 km

Volvo XC40 Recharge diperkenal – SUV elektrik penuh dengan kuasa 408 PS, 660 Nm tork, jarak gerak 400 km

Apa yang anda saksikan ini adalah Volvo XC40 Recharge, iaitu model elektrik penuh pasaran awam pertama Volvo dan model pertama yang menggunakan jenama baru Recharge. Ia sebenarnya adalah versi elektrik penuh bagi XC40 dan menunjukkan sasaran syarikat itu pada masa hadapan.

Memandangkan platform Compact Modular Architecture (CMA) yang digunakan pada XC40 sudah sememangnya dicipta dengan mengambil kira penjana elektrik, XC40 Recharge masih menggunakan platform sama dan baterinya diletakkan dalam lantai. Dengan ini, beratnya bertambah 400 hingga 500 kg berbanding XC40 biasa, dengan catatan keseluruhan sekitar 2,150 hingga 2,250 kg, bergantung kepada kelengkapan.

Demi mematuhi tahap keselamatan tinggi yang dimahukan, Volvo telah meletakkan pelindung keselamatan pada bateri kenderaan ini, yang terdiri daripada batang aluminium yang dilekatkan pada struktur badan kenderaan. Selain daripada itu, ketiadaan enjin sebagai zon remuk juga memerlukan jurutera Volvo mereka semula struktur depan supaya menjadi kukuh.

Volvo XC40 Recharge diperkenal – SUV elektrik penuh dengan kuasa 408 PS, 660 Nm tork, jarak gerak 400 km

Pakej kuasa P8 AWD pada XC40 Recharge ini terdiri daripada dua motor – satu untuk setiap gandar – dan mampu menghasilkan 402 hp (408 PS atau 300 kW) dan 660 Nm tork. Melihat kepada prestasi, kenderaan elektrik ini boleh melakukan pecutan 0-100 km/j daam masa 4.9 saat dan mencecah kelajuan maksimum 180 km/j.

Hasil daripada penggunaan bateri lithium ion 78 kWh, pengguna boleh bergerak sehingga 400 km dengan satu cas penuh mengikut kitaran WLTP. Sekiranya bateri tersebut habis, ia akan mengambil masa selama 7.5 jam untuk dicas penuh, menggunakan sambungan AC Type 2 dan pengecas three-phase 11 kW.

Untuk lebih cepat, pemilik boleh menggunakan pengecas DC sehingga 150 kW dengan sambungan CCS, di mana ia cuma akan mengambil masa 40 minit untuk dicas dari kosong ke 80% – soket pengecas terletak di sebelah kiri kenderaan. Volvo juga ada menawarkan elektrik percuma selama setahun untuk merangsang penggunaan kenderaan elektrik, yang diberikan secara pulangan balik bergantung kepada kos elektrik purata sepanjang tempoh itu.

Anda boleh mengenali XC40 Recharge ini secara mudah dengan melihat kepada gril hadapan yang tertutup penuh kerana ia tidak memerlukan udara sebagai penyejuk di bahagian tersebut. Selain daripada itu, kebanyakannya adalah sama seperti XC40 biasa, dan apabila diperhatikan lebih dekat barulah anda boleh lihat perincian kecil seperti tulisan Recharge pada C-pillar dan lencana namanya.

Memandangkan Volvo tidak meletakkan tempat mengecas di depan seperti kenderaan elektrik lain, bahagian itu menjadi semakin luas dan memberikan pengguna ruang simpanan 31 liter, sebagai tambahan kepada 413 liter yang terdapat di belakang. Bahagian dalam juga sama seperti XC40 biasa, tetapi dibezakan dengan kehadiran panel instrumen digital 12.3 inci untuk memerhati status operasi penggerak elektriknya.

XC40 Recharge juga adalah model pertama Volvo yang menggunakan sistem infotainmen baru berasaskan Android Automotive OS yang menggantikan sistem Sensus. Melaluinya pengguna dapat menikmati pelbagai servis dan aplikasi Google daripada Play Store dan ia disepadukan sekali dengan platform servis sambungan digital Volvo On Call.

Volvo XC40 Recharge diperkenal – SUV elektrik penuh dengan kuasa 408 PS, 660 Nm tork, jarak gerak 400 km

“Kami telah memberitahu perkara ini beberapa kali sebelum ini: bagi Volvo Cars, masa hadapannya adalah elektrik. Hari ini kami mengambil langkah penting ke arah itu dengan pelancaran XC40 elektrik penuh dan barisan model Recharge,” kata CEO Volvo Cars, Håkan Samuelsson.

XC40 Recharge adalah sebuah kenderaan yang penting bagi syarikat itu kerana menjelang tahun 2025, mereka mensasarkan 50% daripada jualan global mereka adalah daripada kereta elektrik penuh, dan selebihnya adalah hibrid. Menurut Volvo, bermula tahun ini, setiap kenderaan yang mereka lancarkan bakal mendapat kuasa elektrik, manakala dalam masa lima tahun lagi, mereka merancang untuk melancarkan kereta elektrik penuh setiap tahun.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required