Volvo XC40 dilancarkan di Malaysia – varian tunggal T5 AWD R-Design, CKD pada harga RM255,888

Volvo XC40 dilancarkan di Malaysia – varian tunggal T5 AWD R-Design, CKD pada harga RM255,888

Volvo XC40 menjadi antara model yang paling mendapat perhatian meluas serta ditunggu-tunggu, terutama selepas dinobatkan sebagai Kereta Tahunan Eropah 2018, kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan. Model ini pernah dilihat diuji di sini Ogos lalu. Ia merupakan “adik” terbaru dengan saiz yang lebih kecil kepada model-model SUV Volvo XC90 dan XC60 sebelum ini.

Sebagai permulaan, hanya ada satu varian sahaja ditawarkan di sini, iaitu spesifikasi XC40 T5 AWD R-Design dan dijual pada harga RM255,888 atas jalan, tidak termasuk insurans. Volvo Car Malaysia (VCM) akan mula menyerahkan XC40 kepada pelanggan bermula Januari 2019 nanti, dan merupakan versi pemasangan tempatan (CKD).

XC40 terbaru ini dibangun menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) yang direka oleh Volvo sendiri. Ia mempunyai dimensi binaan seperti berikut; 4,425 mm panjang, 1,863 mm lebar dan 1,655 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,702 mm. Sentuhan ke permukaan jalan dibahagian tayar belakang pula 25 mm lebih lebar berbanding di depan.

Volvo XC40 dilancarkan di Malaysia – varian tunggal T5 AWD R-Design, CKD pada harga RM255,888

Bagaimanapun, rekaan keseluruhan yang diterapkan pada XC40 bukanlah jelmaan yang sama dari model-model SUV jenama ini yang lebih besar – ia merupakan rekaan serba baru dengan tumpuan kepada imej dan praktikaliti penggunaan warga kota yang moden. Wajah depannya menggunakan imej yang sudah sinonim dengan Volvo ketika ini, dengan lampu DRL LED Thor’s Hammer, rekaan pintu yang lebih rendah, garis badan sisi yang lebih menonjol serta bumbung dengan kesan terapung.

Selain itu, XC40 dilengkapi dengan lampu utama LED sepenuhnya dengan ciri Active High Beam serta Active Bending Lights. Turut melengkapi bahagian berkenaan ialah pembersih lampu utama bertekanan tinggi dan lampu kabus LED yang mengikut arah input stereng.

Perincian R-Design menyerikan lagi penampilan model ini dengan gril hitam berkilat, bampar rekaan lain (bahagian belakang bersepadu dengan bukaan hujung ekzos) serta tulisan R-Design pada tiang belakang. Landasan atas bumbung, skid plate dan perumah cermin sisi juga dalam warna hitam berkilat.

Volvo XC40 dilancarkan di Malaysia – varian tunggal T5 AWD R-Design, CKD pada harga RM255,888

Model ini antara lain akan dilengkapi rim 19-inci lima jejari berkembar dengan dua tona lengkap dengan tayar bersaiz 235/50 sebagai standard. Namun, terdapat lagi empat rim sebagai pilihan, termasuk saiz 21-inci dan 22-inci. Pilihan warna badan pula ada empat; Bursting Blue, Fusion Red, Cyrstal White dan Osmium Grey.

Ruang kabin XC40 pula sangat menyerlah dengan rekaan yang berbeza. Antara perkara yang diberi perhatian khusus ialah bagaimana untuk mewujudkan lebih banyak ruang simpanan barangan yang praktikal dan berfungsi sebaiknya.

Antara yang dilakukan ialah mengalihkan pembesar suara dari pintu dan mencipta kedudukan sub-woofer yang ditempatkan pada bahagian papan pemuka, menjadi pendekatan yang pertama seumpamanya. Ruang pada pintu kini boleh menampung simpanan laptop atau tablet, atau beberapa botol minuman.

Dalam ruang perehat lengan, tersedia ruang yang cukup besar untuk meletakkan cawan serta boleh memuatkan saiz satu kotak tisu. Turut ada ialah tong kecil yang boleh dicabut untuk memudahkan pengguna membuang sisa. Satu cangkuk boleh lipat pula ada dalam glove box. Di bawah tempat duduk pemandu pula tersedia ruang yang boleh memuatkan tablet.

Kelengkapan R-Design lainnya pada ruang kabin terdiri daripada tema hitam secara keseluruhannya; rekaan stereng unik tiga jejari balutan kulit, tombol gear, pedal sport, karpet khas serta tempat duduk kulit dan Nubuck R-Design. Terdapat juga kluster instrumen digital 12.3-inci, skrin sentuh Sensus Connect 9.0-inci serta pengecas tanpa wayar.

Lain-lain ciri termasuk sistem pendingin hawa dua-zon dengan Clean Zone, sistem bunyi lapan pembesar suara 250W, sistem tunjuk arah, Apple CarPlay dan Android Auto serta bukaan pintu kargo tanpa kendalian tangan.

Volvo XC40 dilancarkan di Malaysia – varian tunggal T5 AWD R-Design, CKD pada harga RM255,888

XC40 T5 AWD dikuasakan oleh enjin 2.0 liter empat-silinder turbocas Drive-E dengan janaan 252 hp dan 350 Nm tork dari 1,800 rpm hingga 4,800 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan, mampu mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.4 saat dan laju maksimum 230 km/j. Kadar penggunaan minyak dapat memberikan 7.7 liter bagi setiap 100 km.

Tidak ketinggalan ialah ciri keselamatan dan bantuan pemandu. Antara yang tersenarai adalah seperti Pilot Assist (pemanduan semi-autonomous), City Safety generasi terbaru (menghindari dan mengelak perlanggaran secara autonomous, termasuk terhadap pejalan kaki, pengayuh basikal dan haiwan besar), Run-off Road Protection and Mitigation, Cross Traffic Alert with Auto Brake dan banyak lagi.

Volvo XC40 terbaru ini juga dilengkapi dengan beg udara sepenuhnya – dua di depan, sisi, tirai dan juga lutut pemandu. Isofix turut ada pada tempat duduk belakang. Aksesori lain turut ditawarkan, sebagai contoh rak basikal kepada pelanggan yang berminat. Untuk mendapatkan perincian lanjut berkaitan model ini, layari CarBase.my.

Volvo XC40 di Malaysia

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required