SPYSHOT: SUV Volvo XC40 dijumpai di Malaysia – dengan lencana T5 dan kemasan luaran R-Design

SPYSHOT: SUV Volvo XC40 dijumpai di Malaysia – dengan lencana T5 dan kemasan luaran R-Design

Anda sedang menunggu ketibaan SUV kompak Volvo XC40 ke Malaysia? Ini mungkin petanda awal bahawa tempoh menunggu tersebut semakin hampir kerana dua orang pembaca kami – Amirul dan SK Teoh – telah terserempak dengan crossover berkenaan di Ipoh. Bukan hanya sebuah, tetapi sekurang-kurangnya tujuh unit dalam pelbagai warna serta telah didaftarkan dengan nombor pendaftaran ‘V’ baharu.

Berdasarkan pelekat nombor yang ditampal pada sudut cermin hadapan, kesemua SUV tersebut mungkin sedang digunakan untuk sesi pandu uji untuk media atau pelanggan yang diaturkan oleh Volvo Car Malaysia (VCM) sendiri. Ini juga mungkin petanda paling jelas bahawa ia akan dilancarkan pada pasaran tempatan tidak lama lagi.

Set imej ini juga mungkin memberikan petanda barisan model XC40 yang akan ditawarkan di sini. Kesemua SUV berkenaan nampaknya diberikan dengan kemasan R-Design, dikenalpasti menerusi gril hadapan berwarna hitam kilat, tip ekzos berkembar dan juga spoiler bumbung pada pintu tailgate belakang. Ia juga dipadankan dengan rim 18-inci lima jejari berkembar, bersama lencana T5 di belakang.

Volvo XC40 T5 dijana oleh enjin petrol empat silinder 2.0 liter turbo Drive-E yang menghasilkan 247 hp dan tork maksima 350 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan Geartronic, dengan sistem pacuan semua roda ditawarkan sebagai opsyen. Walau bagaimanapun, untuk model yang ditemui ini masih belum jelas adakah ia dari versi pacuan semua roda atau AWD.

Setakat ini untuk pasaran global, hanya model T4 dan T3 hadir tanpa pilihan sistem AWD. Volvo juga sebelum ini telah mendedahkan model XC40 yang dijana unit plug-in hybrid T5 Twin Engine, tetapi masih lagi belum jelas sama ada ia akan di bawa ke Malaysia atau tidak.

Jika dilihat dari trend strategi yang digunakan oleh VCM sebelum ini, setiap model baharu akan ditawarkan dalam bentuk unit CBU yang diimport sepenuhnya, kemudian versi CKD pemasangan tempatan akan tampil selepas itu. SUV yang telah meraih anugerah Kereta Tahunan Eropah 2018 ini bakal memberikan cabaran kepada BMW X1 dan Mercedes-Benz GLA dan kami jangkakan ia akan dijual pada harga bermula RM250k hingga RM300k.

GALERI: Volvo XC40 T5 pasaran Singapura

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required