Volvo XC40 telah dinobatkan Kereta Tahunan Eropah 2018, selepas beberapa bulan pengeluar kereta Sweden itu diangkat sebagai Kereta Tahunan Jepun 2017-2018 bagi model XC60. Pertama kali Volvo mendedahkan SUV kompak ini pada September tahun lalu, dan baru-baru lebih banyak perkembangan diberikan.

“Memenangi anugerah ini bagi XC40 baharu kami memang waktu yang tepat. Kini Volvo mempunyai tiga SUV di peringkat global untuk pertama kalinya. XC40 akan menjadi penyumbang yang utuh untuk perkembangan seterusnya, membawa kami ke segmen SUV yang lebih kecil,” Håkan Samuelsson, presiden dan CEO bagi Volvo Cars.

XC40 mewakili model pertama bagi Volvo, sebagai model pertama yang menggunakan Compact Modular Architecture (CMA) yang dibangunkan secara kerjasama dengan Geely. Malah, SUV ini juga yang pertama yang ditawarkan perkhidmatan langganan Care by Volvo termasuk pengkongsian kenderaan.

Menurut Volvo, tempahan awal bagi model ini kini telah melebihi 20,000 unit bagi Eropah dan Amerika Syarikat. XC40 juga akan diperkenalkan di China tidak lama lagi, di mana syarikat ini menjangkakan ia menerima minat yang tinggi. Bagi Malaysia, mungkin model ini akan diperkenalkan pada suku ketiga tahun ini.

Bagi Kereta Tahunan Eropah 2018 ini, XC40 bersaing dengan finalis lain termasuk Alfa Romeo Stelvio, Audi A8, BMW 5 Series, Citroen C3 Aircross, Kia Stinger dan Seat Ibiza.

GALERI: Volvo XC40