Kia Stinger 2018 bakal terjah pasaran Amerika – hadir dengan enjin 2.0L Turbo 255 hp dan 3.3L V6 365 hp

Kia Stinger 2018 bakal terjah pasaran Amerika – hadir dengan enjin 2.0L Turbo 255 hp dan 3.3L V6 365 hp

2018 Kia Stinger GT2 RWD

Setelah didedahkan pada awal tahun ini, kini Kia Stinger telah bersedia untuk mendarat di Amerika Syarikat pada Disember akan datang. Sebelum ia dilancarkan secara rasmi pada pasaran berkenaan, Kia terlebih dahulu menyiarkan galeri kereta sport (yang benar-benar sport) pacuan roda belakang, empat pintu terbaharu mereka ini.

“Tidak seperti mana-mana Kia yang hadir sebelum ini, Stinger benar-benar kereta idaman untuk kami dan selepas komitmen dan kerja keras sekumpulan pereka, jurutera dan eksekutif seluruh dunia selama berberapa tahun, impian berkenaan kini menjadi kenyataan. Dari model asal GT Concept sehingga talaan dan diperhalusi selama berberapa tahun di litar lagenda Nürburgring, tiada perincian yang terlalu kecil untuk ditaksubkan, dan hasilnya adalah sangat mengkagumkan,” kata Orth Hedrick, naib presiden perancang produk Kia Motors America.

Model GT Concept yang dinyatakan oleh Hedrick berkenaan adalah model konsep yang didedahkan pada Frankfurt Motor Show 2011. Kereta berkenaan mungkin dianggap sebagai angan-angan dari sebuah jenama mampu milik seperti Kia, namun hakikatnya GT Concept tersebut telah “menimbulkan keghairahan yang mencetuskan semangat di dalam organisasi”. Sebaik sahaja projek Stinger diberikan lampu hijau, GT Concept terus dijadikan rujukan sepanjang pembinaannya.

Sasaran pembinaan ini adalah untuk mengahsilkan sebuah kereta dengan rekaan yang garang, lincah dan laju dalam masa yang sama mewah dan senyap, dan perlu mencapai keseimbangan yang sempurna antara keselesaan dan pengendalian dengan lima-tempat duduk bersama ruang kargo yang memuaskan.

Kia Stinger 2018 bakal terjah pasaran Amerika – hadir dengan enjin 2.0L Turbo 255 hp dan 3.3L V6 365 hp

Bagi menterjemahkan model konsep kepada model produksi sebenar menjadi tugas besar buat pereka Peter Schreyer bersama pasukan studio rekaan Kia Frankfurt. Gregory Guillaume, ketua pereka di Kia Motors Europe menghasilkan rekaan akhir yang cukup sempurna.

“Gran Turismo sebenar, kereta yng direka untuk pemanduan jarak jauh, ia bukan berkisar tentang kuasa, dinamik bersudut keras dan penggayaan yang ganas, semuanya dialirkan pada kemewahan, keselesaan dan anggun. Stinger bukan direka untuk sampai dahulu ke destinasi – kereta ini berkisar tentang perjalanan. Ia berkenaan semangat,” katanya.

Kia Stinger direka untuk menyerlahkan bahawa ia sebuah kereta pacuan belakang; bahagian muncung yang panjang bersama overhang hadapan yang pendek, jarak roda yang dipanjangkan, serta overhang belakang yang panjang bersama garis bahu yang kelihatan gagah. Stance kereta ini juga secara keseluruhannya nampak lebar, bersama garis badan dengan pekali seretan 0.30 Cd.

Menurut Kia, jarak roda Stinger ini adalah lebih panjang dari Audi A5 Sportback, BMW 4 Series Gran Coupe dan Infiniti Q50 – kesemua ini adalah model yang disasarkan sebagai pesaing terdekatnya di Amerika. Jarak 2,905 mm berkenaan juga sebenarnya adalah lebih panjang dari jarak roda Mercedes-Benz CLS.

Kia Stinger 2018 bakal terjah pasaran Amerika – hadir dengan enjin 2.0L Turbo 255 hp dan 3.3L V6 365 hp

2018 Kia Stinger GT2 RWD

Seperti juga model-model Hyundai dan Kia yang dibina di Eropah yang lain, Stinger menghabiskan masa yang lama di litar Nürburgring ketika peringkat prototaip. Menurut Kia, para jurutera menghasilkan Stinger dari ujian pemanduan lasak dengan jarak minima 480 lap (10,000 km) di litar berkenaan bagi menilai kualiti, keboleh harapan, dan juga ketahanan. Pembangunan Stinger juga melibatkan ujian jalan raya sejauh 160,000 km termasuk situasi sukar di litar ‘The Green Hell’ tersebut.

Casis Stinger dibina dengan 55% keluli berkekuatan-tinggi yang lebih maju, memberikan pengendalian dan pemanduan yang lebih baik serta mengurangkan NVH. Sistem suspensi Topang McPherson diberikan pada bahagian hadapan dan juga sistem multi-link di bahagian belakang. Kia turut memperkenal penyerap hentak boleh laras elektronik buat pertama kali menerusi Stinger, di gelar Dynamic Stability Damping Control.

Penyerap hentak berkenaan memberikan lima mod talaan berbeza untuk Stinger, membolehkan pemandu memilih untuk menggunakan mod Eco, Sport, Comfort, Smart atau Personal. Kereta sport empat pintu ini juga diberikan sistem stereng elektrik yang diletakkan pada rak, bagi memberikan respon stereng yang lebih baik serta mengurangkan gegaran yang tidak diperlukan.

Stinger pasaran Amerika ditawarkan dengan dua enjin berbeza iaitu enjin 2.0 liter empat-slinder turbo berkuasa 255 hp pada takat 6,200 rpm serta tork maksima 353 Nm bermula 1,400 hingga 4,000 rpm, dan juga enjin V6 3.3 liter turbo berkembar Lambda II berkuasa 365 hp pada takat 6,000 rpm dan juga tork maksima 510 Nm bermula 1,300 hingga 4,500 rpm – jelas lebih berkuasa dari Audi S5 Sportback and BMW 440i Gran Coupe.

Kia Stinger 2018 bakal terjah pasaran Amerika – hadir dengan enjin 2.0L Turbo 255 hp dan 3.3L V6 365 hp

2018 Kia Stinger GT2 AWD

Kedua-dua enjin ini hanya akan dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan yang dibina oleh Kia sendiri. Ia turut hadir bersama pedal penukar gear serta torque converter jenis Centrifugal Pendulum Absorber (CPA) pertama dari Kia untuk mengurangkan getaran kilasan pada sistem transmisi.

Ini membolehkan model 2.0 liter turbo memecut dari 0-60 bsj (0-96 km/j) dalam masa 5.9 saat, manakala model 3.3 liter V6 pula mampu memecut dalam jarak yang sama dengan catatan 4.7 saat – lebih laju dari catatan masa yang direkodkan oleh Porsche Panamera V6. Untuk versi Amerika Syarikat, Stinger tidak diberikan model 2.2 liter turbodiesel seperti yang diterima di Eropah.

Stinger merupakan sedan pacuan roda belakang, namun untuk pasaran Amerika, ia turut ditawarkan bersama sistem pacuan semua roda dengan agihan tork lebih ke bahagian belakang bersama sistem Dynamic Torque Vectoring Control yang beroperasi bersama sistem brek. Tork boleh dibahagikan ke bahagian hadapan sehingga 50%, dan ketika menggunakan mod Sport, kuasa akan dialirkan ke gandar belakang sehingga 80%. Bagi model pacuan roda belakang sepenuhnya pula, ia turut diberikan LSD mekanikal yang dibekalkan secara standard.

Menurut Kia, Stinger melakukan ujian brek menurun bukit pada jalan berbukit Grossglockner High Alpine yang terletak di Banjaran Alps – tempat biasa pembina brek terkenal – Brembo – untuk melakukan ujian. Sedan ini dilengkapi dengan angkup brek aluminium monoblok empat omboh di hadapan dan dua omboh di belakang yang dibekalkan oleh Brembo. Ia turut diberikan cakera brek 350 mm di hadapan dan 340 mm di belakang.

Bagi membezakan kedua-dua versi enjin, model 2.0 liter turbo diberikan rim berdiameter 18-inci bersama tayar 225/45R18, manakala model V6 pula diberikan rim 19-inci bersama tayar Michelin Pilot Sport 4 – 225/40R19 di hadapan dan 255/35R219 di belakang.

Bagi ciri keselamatan, Stinger pasaran Amerika diberikan pakej keselamatan aktif Multiple Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) yang terdiri dari sistem Kia Driver Attention Warning, Amaran Pelanggaran Hadapan, Smart Cruise Control with Stop & Go, Bantuan Kekal Laluan, Amaran Titik Buta bersama Amaran Lintasan Trafik belakang.

Perincian lain yang turut diberikan termasuk paparan head-up berwarna dengan larasan ketinggian (turut memaparkan info navigasi dan titk buta), pengecas telefon pintar tanpa wayar serta penutup pintu tailgate belakang berkuasa.

Model asas diberikan sistem audio dengan skrin sesentuh haptic tujuh-inci bersama enam pembesar suara, manakala model V6 dibekalkan dengan sembilan pembesar suara dan juga unit amplifier tambahan. Pilihan sistem audio Harman Kardon 720-watt bersama 15 pembesar suara dan subwoofer yang diletakkan pada tempat duduk hadapan turut ditawarkan.

Selain dari Eropah dan Amerika, Stinger turut akan menembusi pasaran Australia bermula Oktober ini, dijual pada harga bermula AUD$48,990 (RM166,182) hingga AUD$59,990 (RM203,496). Awal tahun ini ketika editor kami, Izwaashura Sadali ke Melbourne, Australia untuk menguji Kia Rio 2017, Dato’ Samson Anand George, CEO Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings memberitahu kami bahawa pihaknya amat berminat untuk membawa masuk Stinger ke pasaran Malaysia tahun hadapan.

Kemudian pada April lalu pula, sebuah Kia Stinger yang diselindungkan dengan kit penyamaran dijumpai di Malaysia berkemungkinan sedang diuji untuk pasaran tempatan. Sebulan selepas itu, kereta berkenaan dipamerkan sepenuhnya tanpa penyamaran di Sabah sempena Konvensyen Pengedar Kia Asia 2017. Jika benar Stinger akan di jual di Malaysia, julat harga jualannya di Australia mungkin sedikit sebanyak memberikan petunjuk berapa harga anggaran kereta ini pada pasaran kita.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required