Pada hujung bulan lalu, Kia Stinger dikesan berada di Malaysia walau pun sebahagian besar badannya ditutupi balutan penyamaran. Hari ini tanda tanya mengenai kehadiran model tersebut di sini terjawab juga apabila akaun Instagram milik Kia Malaysia dan juga SM Nasarudin iaitu Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza Group of Companies telah memaparkan foto Stinger yang dipertontonkan di Konvensyen Pengedar Kia Asia 2017 yang sedang berlangsung di Sabah.

Walau pun tiada butiran lanjut mengenainya, namun kami menjangkakan Kia Malaysia amat menaruh harapan yang tinggi untuk membawa masuk jentera prestasi ini seperti mana yang pernah dinyatakan pada Februari lalu. Malah ketika Paultan.org mengikuti rombongan Kia Malaysia ke Melbourne, Australia, bagi memandu uji model Kia Rio pada bulan yang sama, Dato’ Samson Anand George, CEO Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings, yang turut serta dalam sesi lawatan tersebut sempat memberitahu kami, pihaknya amat berminat untuk membawa masuk Stinger ke pasaran Malaysia pada tahun hadapan.

“Kia telah menjalani pelbagai revolusi drastik sejak sedekad ini, malahan barisan model baharunya dengan rekaan yang cukup bergaya dan selari dengan arus model masa kini, dilihat mampu membawa jenama ini lebih ke hadapan,” ujarnya.

Mengadaptasi imej yang diambil dari model konsep Kia GT yang pernah diperkenalkan di Frankfurt Motor Show 2011, Stinger turut mengekalkan DNA reka bentuknya dengan berberapa perincian dirombak semula. Bahagian hadapannya nampak lebih garang dengan gril “hidung harimau’ yang menjadi signatur model baharu Kia, malahan diapit dengan sepasang lampu berbentuk tirus.

Untuk penjana kuasanya pula, Stinger didatangkan dengan dua enjin berbeza iaitu enjin 2.0 liter empat-slinder turbo berkuasa 255 hp pada takat 6,200 rpm serta tork maksima 353 Nm bermula 1,400 hingga 4,000 rpm. Serta enjin yang lebih berkuasa iaitu 3.3 liter turbo-berkembar V6 Lambda II dengan output 365 hp pada takat 6,000 rpm dan juga tork maksima 510 Nm bermula 1,300 hingga 4,500 rpm. Kia mensasarkan model dengan enjin V6 bakal memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 5.1 saat dan kelajuan maksima 269km/j.

Kedua-dua enjin ini hanya akan dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik dari Optima K9, bersama pedal penukar gear serta torque converter jenis Centrifugal Pendulum Absorber (CPA) pertama dari Kia untuk mengurangkan getaran kilasan pada sistem transmisi.

GALERI: Kia Stinger yang dipamerkan di Australia Open 2017 Februari lalu