Pada pertengahan Januari lalu, Kia telah memperkenalkan kereta sport empat-pintu terbaharunya yang diberi nama Kia Stinger 2018 di North America International Auto Show, Detroit. Stinger hadir dengan rekaan yang memukau, malahan diyakini mampu menarik perhatian peminat automotif yang menggemari kenderaan sebegini.

Masih dalam proses pra-produksi, pada hujung minggu lalu, sempena dengan acara akhir Australia Open 2017 yang berlangsung di Melbourne, Australia, Kia yang bertindak sebagai salah satu penaja utama turut mempamerkan Stinger untuk tatapan umum. Malah kami yang turut diundang menghadiri perlawanan akhir antara Roger Federer dan Rafael Nadal, selepas memandu uji Kia Rio 2017, sempat melihat Stinger di hadapan mata. Memang ia cukup menarik hati.

Mengadaptasi imej yang diambil dari model konsep Kia GT yang pernah diperkenalkan di Frankfurt Motor Show 2011, Stinger turut mengekalkan DNA reka bentuknya dengan berberapa perincian dirombak semula. Bahagian hadapannya nampak lebih garang dengan gril “hidung harimau’ yang menjadi signatur model baharu Kia, malahan diapit dengan sepasang lampu berbentuk tirus.

Selain itu, menyerlahkan lagi sifat sporty Stinger, ia turut menampilkan liang kemasukan udara pada bampar hadapan. Pada bahagian sisinya, rekaan Stinger masih mengekalkan tiang-C yang landai seperti Optima. Stinger turut diolah bagaikan sebuah kereta sport enjin hadapan pacuan roda-belakang (FR) sebenar dengan menampilkan bonet hadapan yang panjang.

Ia turut ditampilkan dengan liang udara pada fender hadapan yang berfungsi mengalirkan udara dari liang udara hadapan, sekali gus memberikan kesan aerodinamik yang lebih baik. Bukan itu sahaja, Stinger turut dipadankan dengan pilihan rim bersaiz 18- dan 19-inci, dan sistem brek dari Brembo secara standard.

Melewati bahagian belakangnya pula, ternyata imej yang diperagakan diadaptasi dari model konsep Kia GT. Dengan lampu belakang yang disambung kedua-duanya, serta dilanjurkan dengan jalur lampu pada bahagian sisi. Walau bagaimana pun, bagi model produksi ini, ia turut ditampilkan dengan diffuser belakang yang lebih kompleks, selain dua tip ekzos berkembar.

Berbanding pesaing-pesaingnya termasuk BMW 4 Series Gran Coupe, Audi A4, Lexus IS dan Infiniti Q59, Stinger direka lebih panjang dan lebih lebar iaitu dengan ukuran 4,831 mm panjang dan juga 1,869 mm lebar. Jarak roda Stinger juga diukur lebih panjang dari Lexus GS serta Mercedes-Benz CLS dengan dimensi 2,905 mm.

Manakala bahagian casisnya pula dibina dengan 55% keluli berkekuatan-tinggi yang lebih maju, memberikan pengendalian dan pemanduan yang lebih baik serta mengurangkan NVH. Sistem suspensi Topang McPherson diberikan pada bahagian hadapan dan juga sistem multi-link di bahagian belakang. Malah buat pertama kalinya, Kia turut memperkenalkan penyerap hentak boleh laras elektronik iaitu Dynamic Stability Damping Control.

Penyerap hentak berkenaan memberikan lima mod talaan berbeza untuk Stinger, membolehkan pemandu memilih untuk menggunakan mod Eco, Sport, Comfort, Smart atau Personal. Kereta sport empat-pintu ini juga diberikan sistem stereng elektrik yang diletakkan pada rak, bagi memberikan respon stereng yang lebih baik serta mengurangkan gegaran yang tidak diperlukan.

Stinger yang dipamerkan di Melbourne ini walau bagaimana pun tidak mempamerkan bahagian kabinnya dengan cermin tingkap yang gelap dan pintu pula berkunci. Jadi kami tidak berpeluang untuk mengintai rekaan dalamannya. Namun difahamkan, ia menampilkan panel meter analog berwarna dan turut memberikan informasi seperti daya-G semasa mengambil selekoh, rekod masa sepusingan di dalam litar dan juga suhu minyak enjin. Ia juga menampilkan roda stereng kulit tiga-jejari serta tempat duduk dengan opsyen balutan kulit Nappa.

Selain itu, skrin infotaimen haptic tujuh-inci direka bersendirian di tengah papan pemuka, dan di bawahnya diberikan tiga liang penghawa dingin bahagian tengah berbentuk bulat. Tombol penukar gear berbentuk petak seperti tombol gear Mercedes-AMG A45 diberikan, diletakkan di atas konsol tengah yang direka agak tinggi.

Stinger diberikan enam-pembesar suara dihubungkan kepada sistem infotaimen UVO secara standard, manakala model varian lebih tinggi dilengkapi sembilan-pembesar suara serta unit amplifier berasingan. Kia turut menawarkan sistem bunyi Harmann Kardon 720 W dengan 15-pembesar suara sebagai ciri opsyenal. Selain itu, model ini turut diberikan paparan head-up dan pad pengecas telefon pintar tanpa wayar dikonsol tengah.

Untuk keselamatan, Stinger dilengkapi dengan Bantuan Pelanggaran Hadapan (FCA) bersama brek kecemasan automatik, Bantuan Kekal Laluan (LKA), Advanced Smart Cruise Control (ASCC), Pengesan Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), dan juga sistem Amaran Perhatian Pemandu (DAA) yang buat pertama kali diperkenalkan oleh Kia.

Untuk penjana kuasanya pula, Stinger didatangkan dengan dua enjin berbeza iaitu enjin 2.0 liter empat-slinder turbo berkuasa 255 hp pada takat 6,200 rpm serta tork maksima 353 Nm bermula 1,400 hingga 4,000 rpm. Serta enjin yang lebih berkuasa iaitu 3.3 liter turbo-berkembar V6 Lambda II dengan output 365 hp pada takat 6,000 rpm dan juga tork maksima 510 Nm bermula 1,300 hingga 4,500 rpm. Kia mensasarkan model dengan enjin V6 bakal memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 5.1 saat dan kelajuan maksima 269km/j.

Kedua-dua enjin ini hanya akan dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik dari Optima K9, bersama pedal penukar gear serta torque converter jenis Centrifugal Pendulum Absorber (CPA) pertama dari Kia untuk mengurangkan getaran kilasan pada sistem transmisi. Pelanggan juga diberikan pilihan sama ada model pacuan belakang sepenuhnya dengan LSD mekanikal dibekalkan secara standard, atau model pacuan-semua roda dengan agihan tork lebih ke bahagian belakang bersama sistem Dynamic Torque Vectoring Control yang beroperasi bersama sistem brek.

Menurut Dato’ Samson Anand George, CEO Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings, yang turut serta dalam sesi lawatan tersebut sempat memberitahu kami, pihaknya amat berminat untuk membawa masuk Stinger ke pasaran Malaysia tahun hadapan.

“Kia telah menjalani pelbagai revolusi drastik sejak sedekad ini, malahan barisan model baharunya dengan rekaan yang cukup bergaya dan selari dengan arus model masa kini, dilihat mampu membawa jenama ini lebih ke hadapan.

Pengenalan Stinger ke pasaran global sangat kena pada masanya, iaitu pada ketika prestasi Kia kian meningkat, malah setanding dengan jenama global yang lain. Malahan, kami juga berminat untuk membawa masuk Stinger ke pasaran Malaysia kerana kami pasti ada permintaan terhadapnya,” ujar Dato’ Samson.

GALERI: Foto rasmi Kia Stinger 2018