Setelah berberapa siri teaser didedahkan, kini kereta sport empat-pintu dari Korea iaitu Kia GT telah didedahkan berserta nama rasminya – Kia Stinger 2018.

Walaupun hanya hadir sebagai model produksi sebenar enam tahun lalu setelah diperkenalkan sebagai model konsep pada Frankfurt Motor Show 2011, Stinger masih mengekalkan DNA reka bentuknya dengan berberapa perincian dirombak semula. Muka Stinger menampilkan gril hadapan “hidung harimau”, diapit sepasang lampu hadapan tirus, tetapi liang kemasukan udara pada bampar yang direka ‘tertusuk’ terus ke lampu utama pada model konsep tidak diteruskan pada model produksi ini.

Pada bahagian sisi, rekaan Stinger masih mengekalkan tiang-C landai seperti Optima serta menampilkan bonet hadapan yang panjang, memberikan bayangan badan sebuah kereta sport enjin hadapan pacuan roda belakang (FR) sebenar. Ia turut diberikan liang udara pada fender hadapan – berfungsi mengalirkan udara dari liang udara hadapan, memberikan kesan aerodinamik yang lebih baik.

Bahagian bahu kereta ini juga kelihatan lebih teguh dengan trek keseluruhan pada bahagian hadapan dan belakang yang direka sangat lebar. Profil sisi Stinger juga memperlihatkan ia diberikan pilihan rim bersaiz 18- dan 19-inci, dan turut diberikan sistem brek dari Brembo secara standard.

2018 Stinger

Beralih bahagian belakang, rekaan dari model konsep juga jelas diadaptsikan pada Stinger. Ia diberikan lampu belakang yang direka bersambung antara kedua-duanya, serta dilanjutkan lagi dengan jalur lampu yang dipanjang bahagian sisi. Namun model produksi diberikan rekaan diffuser belakang yang lebih kompleks, yang turut diberikan dua tip ekzos berkembar.

Jika dilihat dari maklumat atas kertas, dimensi Stinger adalah lebih panjang dan lebih lebar dari pesaing-pesaingnya seperti BMW 4 Series Gran Coupe, Audi A4, Lexus IS serta Infiniti Q50, dengan ukuran 4,831 mm panjang dan juga 1,869 mm lebar. Jarak roda Stinger juga diukur lebih panjang dari Lexus GS serta Mercedes-Benz CLS dengan ukuran 2,905 mm.

Casis Stinger dibina dengan 55% keluli berkekuatan-tinggi yang lebih maju, memberikan pengendalian dan pemanduan yang lebih baik serta mengurangkan NVH. Sistem suspensi Topang McPherson diberikan pada bahagian hadapan dan juga sistem multi-link di bahagian belakang. Kia turut memperkenal penyerap hentak boleh laras elektronik buat pertama kali menerusi Stinger, di gelar Dynamic Stability Damping Control.

Penyerap hentak berkenaan memberikan lima mod talaan berbeza untuk Stinger, membolehkan pemandu memilih untuk menggunakan mod Eco, Sport, Comfort, Smart atau Personal. Kereta sport empat pintu ini juga diberikan sistem stereng elektrik yang diletakkan pada rak, bagi memberikan respon stereng yang lebih baik serta mengurangkan gegaran yang tidak diperlukan.

Masuk ke dalam kabin pula, pemandu akan disapa dengan panel meter analog berwarna dan turut memberikan informasi seperti daya-G semasa mengambil selekoh, rekod masa sepusingan di dalam litar dan juga suhu minyak enjin. Ia juga diberikan roda stereng kulit tiga-jejari serta tempat duduk dengan opsyen balutan kulit Nappa.

Skrin infotaimen haptic tujuh-inci direka bersendirian di tengah papan pemuka, dan di bawahnya diberikan tiga liang penghawa dingin bahagian tengah berbentuk bulat. Tombol penukar gear berbentuk petak seperti tombol gear Mercedes-AMG A45 diberikan, diletakkan di atas konsol tengah yang direka agak tinggi.

Stinger diberikan enam-pembesar suara dihubungkan kepada sistem infotaimen UVO secara standard, manakala model varian lebih tinggi dilengkapi sembilan-pembesar suara serta unit amplifier berasingan. Kia turut menawarkan sistem bunyi Harmann Kardon 720 W dengan 15-pembesar suara sebagai ciri opsyenal. Selain itu, model ini turut diberikan paparan head-up dan pad pengecas telefon pintar tanpa wayar dikonsol tengah.

Untuk keselamatan, Stinger dilengkapi dengan Bantuan Pelanggaran Hadapan (FCA) bersama brek kecemasan automatik, Bantuan Kekal Laluan (LKA), Advanced Smart Cruise Control (ASCC), Pengesan Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), dan juga sistem Amaran Perhatian Pemandu (DAA) yang buat pertama kali diperkenalkan oleh Kia.

Stinger ditawarkan dengan dua enjin berbeza iaitu enjin 2.0 liter empat-slinder turbo berkuasa 255 hp pada takat 6,200 rpm serta tork maksima 353 Nm bermula 1,400 hingga 4,000 rpm, dan juga enjin V6 3.3 liter turbo berkembar Lambda II berkuasa 365 hp pada takat 6,000 rpm dan juga tork maksima 510 Nm bermula 1,300 hingga 4,500 rpm. Kia mensasarkan model dengan enjin V6 bakal memberikan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 5.1 saat dan kelajuan maksima 269km/j.

Kedua-dua enjin ini hanya akan dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik dari Optima K9, bersama pedal penukar gear serta torque converter jenis Centrifugal Pendulum Absorber (CPA) pertama dari Kia untuk mengurangkan getaran kilasan pada sistem transmisi. Pelanggan juga diberikan pilihan sama ada untuk membeli model pacuan belakang sepenuhnya dengan LSD mekanikal dibekalkan secara standard, atau model pacuan-semua roda dengan agihan tork lebih ke bahagian belakang bersama sistem Dynamic Torque Vectoring Control yang beroperasi bersama sistem brek.