Volvo XC40 akhirnya dipertontonkan secara rasmi di Milan. SUV kompak ini adalah model XC paling kecil pernah dihasilkan oleh pengeluar dari Sweden ini, dan ia diletakkan di antara XC60 dan XC90. Platform yang digunakan adalah Compact Modular Architecture (CMA), dan platform ini juga akan digunakan untuk semua kenderaan 40 Series termasuk yang menggunakan kuasa elektrik.

Kenderaan ini berukuran 4,425 mm panjang, 1,851 mm lebar, 1,658 mm tinggi dan jarak roda 2,702 mm. Jika dari belakang, ia kelihatan sport kerana jarak antara roda adalah lebih lebar iaitu 1,626 mm, manakala di hadapan cuma 1,601 mm.

XC40 membawa banyak tanda rekaan daripada model konsep 40.1 yang ditunjukkan pada tahun lepas, dan bagi model produksi ini, bahagian grilnya boleh jadi berlainan mengikut varian, serta juga bumbung dan rim yang boleh dipilih mengikut warna dan saiz yang dimahukan. Spoiler bumbung datang secara standard.

Masuk ke bahagian dalam, banyak elemen daripada model XC yang lebih besar digunakan, termasuk sistem informasi dan hiburan dengan skrin sesentuh Sensus Connect sembilan inci dan panel instrumen digital 12.3 inci. Kemasan hiasan yang boleh didapati dalam warna Urban Grid Aluminium atau Cutting Edge Aluminium mengasingkan bahagian atas dan bawah papan pemuka, dan kemasan sama turut digunakan pada panel pintu. Bagi menambahkan rasa premium, ia mempunyai lampu suasana.

Menurut Volvo, XC40 disesuaikan untuk kegunaan di bandar, dan menawarkan banyak fungsi yang bersesuaian seperti tempat simpanan. Sebagai contoh, pembesar suara yang biasanya terletak di tepi pintu dialihkan ke papan pemuka, supaya ruang tersebut lebih besar dan boleh digunakan untuk meletakkan barangan seperti komputer riba, iPad atau botol air.

Pada bahagian perehat tangan di tengah pula, ruangnya cukup besar untuk memuatkan kotak tisu. Anda masih mendapat tempat meletak cawan biasa pada konsol tengah, dan hadapan sedikit, terdapat tempat meletakkan telefon bimbit, bersama keupayaan mengecas tanpa wayar. Untuk bahagian but, ruang yang disediakan berkapasiti 432 liter.

Senarai kelengkapan lain yang ada pada XC40 adalah termasuk sistem pendingin hawa dua zon dengan penapis udara CleanZone, balutan kulit, tempat duduk larasan elektrik, sistem audio prestasi tinggi (Harman Kardon Premium Sound disediakan sebagai pilihan) dan servis aplikasi Volvo On Call.

Di bawah bonet XC40 terdapat enjin empat silinder 2.0 liter yang boleh didapati dalam pilihan sama ada D4 turbodiesel 190 hp dan 400 Nm atau T5 Drive-E petrol dengan kuasa 247 hp dan 350 Nm tork. Dua enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik Geartronic lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda (pilihan pacuan dua roda hadapan akan diberikan nanti).

Pada masa hadapan, beberapa pilihan enjin lain akan ditawarkan termasuk hibrid dan elektrik. Antara kemungkinannya adalah enjin plug-in hybrid T5 Twin Engine yang pernah ditunjukkan di Sweden dua tahun lalu. Volvo turut menambah bahawa XC40 akan ditawarkan dengan pilihan enjin tiga silinder pada masa hadapan, berkemungkinan unit 1.5 liter yang digunakan pada T5 Twin Engine.

Pada aspek keselamatan, XC40 dilengkapi dengan antaranya sistem Volvo Cars’ Pilot Assist, City Safety, Run-off Road Protection and Mitigation, Cross Traffic Alert dengan sokongan brek dan kamera 360 darjah.

Volvo juga memperkenalkan servis langganan ‘Care by Volvo’ baru untuk XC40. Melalui servis ini, pelanggan hanya perlu melakukan pesanan secara atas talian, dan terus boleh mendapat kereta baru mereka tanpa perlu risau tentang bayaran muka, insurans, cukai, yuran servis dan perkara lain.

Mereka hanya perlu membayar satu yuran standard (harga sama bagi seluruh negara Eropah) bulanan, seperti yuran langganan servis atas talian seperti Spotify contohnya. Selepas 24 bulan, pelanggan juga boleh memilih untuk mendapatkan kereta Volvo baru. Servis ini turut disokong dengan servis digital lain seperti pengisian minyak, pembersihan dan pengambilan dan penghantaran.

XC40 adalah model pertama yang ditawarkan dengan servis ini, dan ia akan boleh digunakan untuk pelanggan di Sweden, United Kingdom, Jerman, Itali, Norway, Poland dan Amerika Syarikat. Pasaran lain pula akan ditawarkan pada masa hadapan.