PANDU UJI: Mercedes-Benz GLC 300 4Matic Coupe AMG Line – pesona yang tidak perlu disangkal

PANDU UJI: Mercedes-Benz GLC 300 4Matic Coupe AMG Line – pesona yang tidak perlu disangkal

Di pasaran Malaysia, memang banyak juga pilihan SUV crossover mewah yang memiliki prestasi luar biasa. Ada juga yang berharga hampir atau lebih sejuta Ringgit. Kalau dah terlebih mampu, duit bukanlah masalahnya untuk mendapatkan apa yang diingini.

Tapi mungkin yang sudah memiliki beberapa barisan kereta mewah dan berprestasi, mahu menambahkan koleksi dengan memilih SUV crossover di bawah bajet RM450k, kami boleh sarankan Mercedes-Benz GLC 300 Coupe AMG Line. Pertama kali melihat SUV ini dilancarkan pada Mac lalu dalam acara Festival Hungry For Adventure anjuran Mercedes-Benz Malaysia (MBM), hati ini memang cukup tertarik dengannya.

Setelah beberapa bulan berada di pasaran, barulah penulis berpeluang memandu uji SUV crossover unit pemasangan tempatan (CKD) yang dipasang di kilang MBM di Pekan, Pahang. Ini bukan pertama kali penulis mengendalikan jentera sedan mahu pun SUV dengan enjin 2.0 liter turbo empat-silinder, tapi dengan SUV crossover seperti GLC 300 Coupe AMG Line ini, terasa ada sedikit kelainannya. Mungkin kerana bancuhannya yang berbeza daripada sudut mekanikal, membuatkan pengendalian GLC 300 Coupe ini agak mengasyikkan.

PANDU UJI: Mercedes-Benz GLC 300 4Matic Coupe AMG Line – pesona yang tidak perlu disangkal

Jantungnya mampu meledakkan kuasa sehingga 245 hp pada 5,500 rpm dan tork mencecah 370 Nm dari 1,300 hingga 4,000 rpm. Tidak kira sama ada dalam kelajuan perlahan kemudian mendadak mengerah kudrat, enjinnya memang tidak malas meledakkan kuasa. Pastinya dengan kerjasama transmisi automatik 9G-TRONIC 9-kelajuan dengan pacuan semua-roda 4MATIC® memberikan prestasi yang lebih lancar dan optimum. Penukaran gear juga berlangsung dengan lancar dan responsif, termasuk dalam kelajuan rendah.

Sekaligus membantu jentera ini untuk memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat dan kelajuan maksimum yang boleh dicapai ialah 236 km/j. Bancuhan mekanikal yang digandingkan bersama ini memang banyak membantu menambahkan keseronokan dalam pengendalian jentera ini.

Untuk merancakkan lagi mood pemanduan, sistem Dynamic Select turut didatangkan dengan menawarkan lima mod operasi (Eco, Comfort, Sport, Sport+ dan Individual) dan juga suspensi talaan AMG Sport Suspension yang 15 mm lebih rendah bagi memberikan impak sporty dalam pengendaliannya. Jadi, pemilihan mod operasi ini bergantung pada corak pemanduan dan pengendalian yang anda ingini. Kalau nak chill saja, mod operasi Eco dan Comfort sudah memadai, malah ia cukup sesuai untuk perjalanan jarak jauh kerana ia mengurangkan kepenatan dalam pemanduan.

Kalau inginkan pengendalian yang lebih agresif, pastinya Sport dan Sport+ pilihan terbaik. Manakala kalau inginkan larasan stereng Sport tetapi Comfort bagi throttle dan suspensi, pilih saja mod Individual. Di mana mod ini merupakan mod operasi ikut penyesuaian pemandu sendiri.

Mungkin ada yang kurang faham konsep pemanduan mengikut mod operasi yang ditawarkan menerusi sistem Dynamic Select. Setiap pilihan mod mempengarusi throttle input, penukaran gear, ketinggian dan ketegaran suspensi dan juga kuasa stereng.

Sifat pengendalian yang paling penulis gemari menerusi SUV crossover ini ialah makin laju jentera dipandu, sterengnya lebih terasa berat, dan padu. Membuatkan kawalan jentera lebih tepat biar pun sedang membuas.

PANDU UJI: Mercedes-Benz GLC 300 4Matic Coupe AMG Line – pesona yang tidak perlu disangkal

Disebabkan karakter sport menjadi taruhan mekanikal, maka suspensinya terasa agak keras tapi cukup membantu memberikan pemanduan yang amat memuaskan. Mungkin ia terasa kurang selesa (terutamanya bagi penumpang) berbanding GLC standard tetapi daripada sudut pengendalian, ia lebih menyeronokkan.

Penjimatan bahan api pula dianggarkan sekitar 7.5L per 100 km. Itu pun kalau anda memilih mod operasi sederhana seperti Eco dan Comfort. Tapi kalau tiga mod ke atas yang lebih ‘ganas’, sudah pasti ia agak mempengaruhi penggunaan bahan api yang lebih tinggi. Ini perkara normal. Manakan tidak, ngauman enjin sudah pasti menagih kaki untuk menekan pedal minyak untuk meningkatkan kelajuan.

Kita beralih pula pada rekaan luarannya. Olahan gaya sporty, sofistikated, mewah dan elegan menjadikan GLC 300 Coupe AMG Line cukup mempersona. Bahagian hadapannya mirip dengan sedan model baharu Mercedes-Benz yang lain. Malah tidak terlihat ia sebenarnya SUV crossover. Kit luaran AMG Line termasuk gril radiator berlian dengan kemasan krom untuk pin, pakej Night dan apron yang bergaya memantapkan pandangan hadapannya.

Padanan lampu utama LED Interlligent Light System dengan Adaptive Highbeam Assist Plus bersama lampu nyalaan siang LED memberikan pencahayaan yang sewajarnya.

Memerhatikan bahagian tepi hinggalah ke belakang, barulah terserlah sifat SUV crossover. Padanan roda aloi bersaiz 20-inci dengan dibaluti tayar Michelin Latitude Sport 3 Run Flats (255/45R 20 di hadapan, 285/40R 20 di belakang) menambahkan gaya sporty. Tingkap belakangnya kelihatan panjang tetapi ke dalam. Beltline untuk belakangnya pula dibikin cukup tinggi.

Lampu kombinasi LED berbentuk melunjur dengan jaluran krom di atasnya, ditambah dengan spoiler belakang membuatkan bahagian tersebut nampak lebih lembut berbanding wajah hadapannya yang agak agresif.

PANDU UJI: Mercedes-Benz GLC 300 4Matic Coupe AMG Line – pesona yang tidak perlu disangkal

Memasuki bahagian kabin, sudah pasti aura elegan, sporty dan kemewahan diterapkan menerusi ciri-ciri yang ada. Ini termasuklah kulit upholstery Artico, pedal sport AMG, kemasan black piano lacquer atau light longitudinal-grain aluminium. Susun atur bahagian papan pemuka juga tidak begitu futuristik, malah sifatnya masih banyak persamaan dengan model-model baharu Mercedes-Benz yang lain. Alat kawalannya juga mudah dicapai dan diaplikasikan.

Selain itu, ia turut menampilkan roda stereng sport AMG dengan butang kawalan untuk audio dan Akses Bebas Tangan, tempat duduk larasan kuasa (dengan sokongan belakang dan fungsi memori untuk penumpang hadapan), bumbung matahari panoramik, COMAND Online, pencahayaan ambien dengan tiga pilihan warna mengikut mood.

Untuk keselesaan yang lebih jitu, kawalan suhu automatik dwi-zon untuk bahagian hadapan dan zon tunggal untuk penumpang di belakang turut ditampilkan. Bagi hiburan, sistem audio dengan skrin paparan tujuh-inci turut diberikan bersama sistem bunyi Burmester.

Untuk bahagian penumpang belakang, turut diberi keselesaan yang optimum, termasuklah dengan ruang kaki dan ruang kepala yang boleh dikatakan luas.

GLC 300 Coupe AMG Line ini berdimensi 4,732 mm bagi panjang, selebar 1,890 mm, setinggi 1,602 mm dan jarak rodanya pula 2,873 mm. Kalau dibandingkan dengan pesaing paling rapat iaitu BMW X4 xDrive30i M Sport pula memiliki kelebihan +20 mm bagi panjang (4,752 mm), kelebaran 1,918 mm (lebih 28 mm), berketinggian lebih 19 mm (1,621 mm) dan jarak rodanya pula 2,864 iaitu kurang 9 mm. Manakala bagi ruang butnya pula, GLC 300 Coupe AMG Line berkapasiti 500 liter (dengan keadaan tempat duduk belakang normal), berbanding 525 liter pada X4.

Untuk sistem bantuan pemandu dan keselamatan, GLC 300 Coupe AMG Line memiliki ciri yang sama dengan GLC X253, termasuk pakej Lane Tracking, yang merangkumi Blind Spot Assist dan Active Lane Keeping Assist. Lain-lain ciri yang turut ditampilkan termasuk Collision Prevention Assist Plus dan Attention Assist. Selain itu, ia dilengkapi dengan tujuh beg udara, kawalan kestabilan, ABS/EBD dan cagak ISOFIX.

PANDU UJI: Mercedes-Benz GLC 300 4Matic Coupe AMG Line – pesona yang tidak perlu disangkal

Disebabkan ia unit CKD, maka harga yang ditawarkan menjangkau RM399,888 (atas jalan, tanpa insurans), iaitu lebih murah berbanding adiknya GLC 250 (RM445,888) yang merupakan model import sepenuhnya (CBU).

Walau bagaimana pun, harga bagi X4 xDrive30i M Sport pula mencecah RM364,800 (atas jalan, tanpa insurans) iaitu RM35,088 lebih murah berbanding GLC 300 Coupe AMG Line. Kalau ikut penawaran harga, SUV crossover buatan Mercedes-Benz ini memang lebih mahal, tapi kalau dibandingkan dengan pengendalian X4, memang sedap lagi memandu GLC 300 Coupe AMG Line ini.

Dan jika harga bukanlah ukuran, pasti kita mahukan jentera yang lebih sedap dipandu dan juga imej yang lebih menarik bukan? Jadi, mana satu pilihan yang lebih berbaloi?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required