PANDU UJI: Subaru Forester 2.0i-S tidak kurang hebatnya – mekanikal tetap mantap, imej biasa-biasa

PANDU UJI: Subaru Forester 2.0i-S tidak kurang hebatnya – mekanikal tetap mantap, imej biasa-biasa

Walau Subaru Forester tidaklah begitu popular seperti mana pesaingnya di bawah kategori SUV segmen-C termasuk Honda CR-V dan Mazda CX-5, namun kelibatnya kian kerap dilihat di jalan raya. Semakin ramai yang menerima kehadiran Forester generasi kelima yang baru dilancarkan pada Ogos lalu sebagai salah satu model SUV yang wajar diletakkan dalam senarai pilihan.

Subaru Forester 2019 dibarisi tiga varian iaitu 2.0i-L, 2.0i-S dan model spesifikasi tertinggi 2.0i-S ES yang dilengkapi sistem bantuan pemanda dan keselamatan EyeSight. Apakah elemen utama yang dipertaruhkan menerusi barisan Forester 2019? Menurut Subaru, dengan binaan Subaru Global Platform, casis Forester 2019 ini direka semula untuk mengurangkan geseran serta bunyi bising dan kawalan pula lebih maksimum.

Jadi, untuk mengetahui sejauh mana keistimewaan yang diterjemahkan menerusi Forester 2019, kami berpeluang memandu uji varian pertengahan 2.0i-S beberapa minggu yang lalu. Manakala varian tertinggi yang dilengkapi EyeSight yang menjadi taruhan utama Forester 2019 sedang diuji oleh rakan kami, Hazril Hafiz, termasuk menempuh laluan off-road. Kena tunggu laporan penuhnya.

PANDU UJI: Subaru Forester 2.0i-S tidak kurang hebatnya – mekanikal tetap mantap, imej biasa-biasa

Walau bagaimana pun, tanpa EyeSight, ia tidaklah membuatkan varian 2.0i-S ini kurang ‘rasa’ dalam pengendaliannya. Daripada segi mekanikalnya, ketiga-tiga varian didatangkan dengan enjin yang sama seperti sebelum ini iaitu unit petrol FB20 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder dengan suntikan terus bahan api.

Enjin boxer ini mampu meledakkan kuasa sehingga 156 PS pada 6,000 rpm dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm, dengan pacuannya disalurkan ke semua roda menerusi transmisi Lineartronic CVT dengan tujuh-kelajuan untuk mod manual dan sistem Symmetrical All-Wheel Drive.

Memang tidak kedekut dalam memuntahkan kuasa seperti mana yang dikehendaki, enjin ini mampu memberikan prestasi tanpa sepenuh kerahan atau pun paksaan terhadap pedal pendikit. Walau bagaimana pun, ia bukanlah SUV yang sangat pantas. Contohnya, jika anda ingin memotong kenderaan lain di hadapan, pastikan anda tidak membuat tindakan yang drastik dan mendadak.

PANDU UJI: Subaru Forester 2.0i-S tidak kurang hebatnya – mekanikal tetap mantap, imej biasa-biasa

Namun demikian, saya amat menyenangi trasmisi yang diberikan kerana ia memang cukup lancar dalam operasinya. Walau pun tiada perubahan talaan untuk transmisi, bagi saya, gabungan enjin dan transmisinya memang berpadanan dan mampu memberikan kerjasama yang cukup baik.

Jarak kelegaan tanah (ground clearance) bagi Forester lebih kurang 220 mm, boleh dikatakan agak bagus untuk sebuah SUV seangkatannya. Kalau setakat nak meredah air termasuk banjir yang tidak dalam, kira bolehlah. Tapi ada sedikit kelemahan, bila melalui jalan berbonggol atau pun berlubang, kesan hentakannya agak terasa. Tapi bila memandu dalam keadaan laju di laluan yang beralun, kurang rasa olengan badannya, tidak seperti model terdahulu.

Paling menyeronokkan memandu Forester ni, bila dapat layan selekoh. Selain kesan olengan yang kurang dirasa, sistem AWD dan Penvektoran Tork Aktif memang banyak membantu dalam pengendalian. Biarpun dengan kelajuan yang sedikit tinggi, setiap kali melalui selekoh, pengendalianya terasa agak sempurna. Jentera ini terasa berat dan melekap elok merentasi selekoh.

Mengenai NVH pula, ia telah banyak ditambah baik demi keselesaan yang lebih optimum. Ketika memacu laju di lebuhraya, bunyi bising luaran seakan disekat daripada memasuki kabin. Hanya sedikit desiran tayar dan bunyi angin saja menyerap masuk kabin bila jentera dipacu laju.

Varian pertengahan dan tertinggi juga disertakan dengan Special X-Mode iaitu versi yang dipertingkatkan dari X-Mode biasa ditampilkan dengan mod ‘Snow/Dirt’ dan ‘Deep Snow/Mud’, yang tidak lagi memerlukan suis manual untuk mematikan kawalan cengkaman.

Walau bagaimana pun, saya lebih banyak memandunya di lebuh raya dan jalan raya biasa, tidak begitu berkesempatan untuk menguji sistem Special X-Mode yang disertakan. Cuma sewaktu sesi fotografi, barulah berkesempatan mencuba sistem ini, di laluan berbukit bertanah merah dan berbatu. Tidak sukar untuk menggunakan Special X-Mode ini yang dial operasinya terletak di konsol tengah. Ia banyak membantu dalam pengendalian mengikut situasi.

Sewaktu menurun bukit, sistem ini yang mengawal sendiri pergerakan enjin tanpa perlu kita menekan pedal pendikit tetapi jika kaki menekan pedal brek, secara automatik, sistem ini akan ‘off’. Jadi, biarkan dia buat kerja dia sendiri dan serahkan sepenuh kepercayaan padanya untuk beroperasi dan membantu pengendalian jentera. Dan sistem ini cukup sesuai ketika melenjan laluan off road. Cukup menyeronokkan.

PANDU UJI: Subaru Forester 2.0i-S tidak kurang hebatnya – mekanikal tetap mantap, imej biasa-biasa

Namun jika Special X-Mode ini tidak dihidupkan, Forester sukar dikawal apatah lagi jika melalui jalan yang berbatu, malah kurang daya cengkamannya. Hidupkan balik butang Special X-Mode, lantas jentera kembali dikawal dengan mudah. Malah dengan Special X-Mode, ia mampu mengaktifkan lima perbezaan pengendalian termasuk mengehadkan kegelinciran roda.

Ada satu lagi mod yang boleh meningkatkan adrenalin iaitu mod Sport yang merupakan sebahagian daripada sistem Subaru Intelligent Drive. Terutamanya bila memandu di lebuh raya yang tidak sibuk dengan trafik, tanpa mod ini pun, boleh mencapai 11.8 saat bagi pecutan 0-100 km/j dan kelajuan maksimumnya sekitar 192 km/j. Jadi dengan mod Sport, lagi mudah untuk mencapai kelajuan yang dikehendaki kerana enjin akan bertukar karakter menjadi lebih agresif.

Selain Penvektoran Tork Aktif, kit keselamatan standard yang ditampilkan untuk kesemua varian termasuklah Sistem Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), bantuan brek, ABS, EBD, penahan kenderaan auto, pengesan undur, isyarat berhenti kecemasan, cagak Isofix dan tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan bahagian lutut pemandu).

Forester 2019 ini adalah unit CBU yang dipasang di Tan Chong Subaru Automative (Thailand). Mengalami sedikit perubahan untuk imej luarannya, kesemua varian didatangkan dengan active grille shutter dan lampu utama LED automatik, tetapi hanya varian 2.0i-S dan 2.0i-S ES didatangkan dengan fungsi respon stereng dan pelarasan auto, serta lampu nyalaan siang LED. Malahan kedua-dua varian ini juga menerima lampu kabus LED dan roda aloi 18-inci dengan tayar profil 225/55.

Kalau diikutkan pandangan mata, imej luarannya tidaklah begitu menguja, tidak seperti pesaingnya CR-V dan CX-5. Imej ala abang-abang masih menguasai rekaannya, nampak lebih matang dan kurang sporty berbanding CR-V. Daripada sudut rekaan, ternyata Forester ketinggalan sedikit kebelakang berbanding model pesaingnya itu.

Menjengah kabinnya, rekaannya juga agak ringkas, tetapi lebih teratur dan kemas. Bentangan papan pemukanya tidak disaratkan dengan ciri futuristik tetapi masih menampakkan sifat elegan. Ini termasuklah dengan kehadiran sistem infotainment dengan skrin lapan-inci, kawalan suhu dwi-zon dan paparan kluster instrumen.

PANDU UJI: Subaru Forester 2.0i-S tidak kurang hebatnya – mekanikal tetap mantap, imej biasa-biasa

Selain itu, ia turut ditampilkan dengan roda stereng pelbagai-fungsi, pedal penukar gear, kawalan kelajuan, kemasukan tanpa kunci dan butang pust/start, brek parkir elektronik, akses kod PIN, tempat duduk hadapan larasan kuasa dengan lapan-hala, sistem navigasi, ketersambungan telefon pintar, radio, Bluetooth serta balutan kulit untuk tempat duduknya. Itu semua ciri standard untuk semua varian. Walau bagaimana pun, varian 2.0i-S dan 2.0i-S ES turut diberikan ciri spesifik iaitu pedal aluminium dan liftgate berkuasa, selain Special X-Mode.

Terdapat juga beberapa ruang storan termasuk untuk penyimpanan barangan bersaiz kecil dan juga pemegang cawan termasuk di sebelah tuil gear. Malah terdapat juga ruang storan di tengah bahagian perehat tangan. Juga terdapat dua port pengecasan USB yang diletakkan di corong pendingin hawa belakang dan poket storan di belakang tempat duduk hadapan. Namun untuk Forester 2019 pasaran Malaysia, masih tidak dilengkapi dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto untuk sistem infotainment.

SUV lima tempat-duduk ini turut mempunyai jarak roda yang lebih panjang berbanding model terdahulu iaitu pertambahan 30 mm menjadi 2,670 mm, manakala panjangnya berukuran 4,625 mm. Begitu juga dengan kelebarannya yang ditambah sebanyak 19 mm, kini menjadi 1,815 mm, sekaligus memberikan ruang dalaman yang lebih luas untuk penumpang belakang.

Ruang but secara maksimum boleh mencapai sehingga 2,155 liter (520 liter dengan kedudukan tempat duduk normal) dengan tempat duduk belakang dengan nisbah 60:40 dibaringkan (meningkat sehingga 40 liter) dan maksimum bagi bukaan tailgate lebih lebar sebanyak 135 mm.

Forester 2019 ini memang cukup sesuai untuk kegunaan seisi keluarga. Malah ia juga sesuai untuk kegunaan lasak mahu pun bertemakan gaya hidup pilihan. Hanya Forester dalam segmennya yang menawarkan AWD secara standard untuk semua varian.

Penjana kuasanya tidak kurang hebatnya, masih terserlah kemantapannya. Rekaan luaran dan dalaman bersifat sederhana. Aspek keselamatan dan bantuan pemanduannya cukuplah untuk sebuah jentera SUV (biarpun EyeSight tidak disertakan untuk varian pertengahan ini). Harganya pula bermula RM149,788 dengan waranti komprehensif selama lima-tahun atau 100,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu). Jadi, bolehlah mempertimbangkannya sebagai SUV pilihan anda, selain model CR-V dan juga CX-5.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required