PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa dengan menerima anugerah Prince Michael International Road Safety Award berikutan kejayaan syarikat ini melaksanakan pelbagai inisiatif keselamatan jalan raya pada tahun 2019. Sekaligus menjadi syarikat lebuhraya Asia pertama yang menerima pengiktirafan tersebut. Malahan PLUS merupakan salah satu daripada 23 penerima anugerah daripada 70 pencalonan yang bermutu tinggi dari seluruh dunia.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail menerima anugerah tersebut daripada Putera Michael, Kent di The Savoy, London sebagai mengiktiraf kejayaan PLUS melaksanakan pelbagai inisiatif keselamatan di sepanjang 1,134.1 kilometer lebuh rayanya di Semenanjung Malaysia.

“Anugerah ini telah membuktikan bahawa PLUS diiktiraf sebagai lebuh raya bertaraf dunia yang mematuhi ciri-ciri keselamatan yang tinggi di peringkat antarabangsa. Ini mengesahkan bahawa PLUS ialah sebuah organisasi yang mengutamakan dan memberi penekanan terhadap aspek keselamatan,” kata Datuk Azman.

Sebagai syarikat pengendali lebuh raya terbesar di Malaysia yang memberi perkhidmatan kepada lebih 1.7 juta pelanggan setiap hari termasuk 3,000 pekerja lebuh raya, PLUS telah mengambil pendekatan 3E yang merangkumi aspek Kejuruteraan (Engineering), Penguatkuasaan (Enforcement) dan Pendidikan (Education) dalam menguruskan keselamatan di semua lebuhrayanya sejak suku pertama tahun 2017.

Melalui inisiatif kejuruteraannya, PLUS telah memastikan ke semua lebuhraya kendaliannya mencapai 3-bintang dalam Standard Penilaian iRAP.

Keselamatan di lebuh raya PLUS dipertingkatkan lagi menerusi kerjasama rapat dengan agensi Penguatkuasaan dari jabatan pengangkutan jalan raya, polis trafik, perkhidmatan kecemasan seperti pasukan bomba dan ambulans termasuk penyedia perkhidmatan tundaan kendaraan.

Putera Michael dari Kent merupakan pendokong utama keselamatan jalan raya yang menyokong Misi Sedekad (Decade of Action) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, iaitu sebuah program antarabangsa yang berwawasan tinggi dan telah menyelamatkan berjuta-juta nyawa dan menggalakkan amalan keselamatan yang baik.

Sejak 1987, anugerah tersebut telah memberi pengiktirafan kepada mereka yang telah meningkatkan keselamatan jalan raya di seluruh Britain. Kini, Prince Michael International Road Safety Awards mengiktiraf pencapaian dan inovasi yang luar biasa di seluruh dunia setiap tahun di mana inisiatif keselamatan jalan raya yang paling cemerlang diberikan pengiktirafan.