PANDU UJI: Lexus RX 300 Luxury 2019 – SUV mewah kini dengan tambahan ciri Lexus Safety System +

PANDU UJI: Lexus RX 300 Luxury 2019 – SUV mewah kini dengan tambahan ciri <em>Lexus Safety System +</em>

Hampir tengah malam, dan saya baru ingin memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur ke Lumut. Biasanya, saya akan cuba untuk tidak memandu lewat malam dan tiba dini hari. Melainkan dalam beberapa keadaan, situasi seperti itu tidak dapat dielakkan. Dalam kes ini, keesokan paginya perlu meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang pula.

Mujur malam itu, yang akan menemani perjalanan ialah Lexus RX 300 Luxury terbaru. Ia sedikit sebanyak memberikan semacam satu “jaminan” yang perjalanan akan baik-baik sahaja. Banyak faktor mengapa saya selagi boleh akan mengelak perjalanan lewat malam dan awal pagi seperti ini. Paling utamanya berkaitan keselamatan. Maksud saya, antaranya ialah keadaan kenderaan yang digunakan.

Hal-hal sekecil tayar bocor di lokasi jalan lama saja sudah boleh mengundang perkara-perkara lain terjadi. Inikan pula masalah-masalah lain, yang tentunya meletakkan kita sedikit sukar untuk mendapatkan bantuan dengan pantas. Jika anda fikir kereta baru langsung tidak akan pernah memberikan anda masalah, anda silap. Kedua, perjalanan yang selalu ditempuh seperti itu cukup mudah menimbulkan rasa bosan. Untungnya, kita sudah boleh mengagak suasana dan selok-belok jalan kerana sudah biasa berulang-alik.

PANDU UJI: Lexus RX 300 Luxury 2019 – SUV mewah kini dengan tambahan ciri <em>Lexus Safety System +</em>

Dengan hanya satu beg, saya masuk dan duduk untuk beberapa ketika di tempat duduk pemandu, memerhatikan ketelitian dan kekemasan rekaletak yang ditampilkan oleh Lexus pada SUV mewah ini. Oleh kerana akan memandu seorang diri, saya cucukkan sebuah thumbdrive berisi muzik dan lagu-lagu yang sebahagiannya berat dan bingit, seperti selalu-selalu, untuk mengelakkan rasa mengantuk.

Jika anda jenis orang yang memeluk teknologi terbaru dengan erat, tak perlu bawa thumbdrive sebenarnya. Sistem pada RX ini siap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto; boleh dengar Spotify saja kalau mahu. Saya tiada masalah untuk mendengar muzik dari fail atau format digital, namun itu saya lakukan dalam cara manual – dengan pilihan dari album ke album yang diingini sahaja, serta tanpa perlu bergantung kepada kakuatan sambungan internet dan sebagainya.

Sementara kita sedang menyentuh soal audio, dan sebelum saya terlupa; di dalam kereta-kereta lain, sejumlah fail muzik di dalam thumbdrive yang sama ini ada waktunya tidak dapat dibaca, dan sistem hanya akan melangkau album-album yang terkesan. Namun, sepanjang pengalaman bersama RX 300 ini, hal ini tidak pernah menjadi masalah; semua jenis dan format fail audio yang ada di dalam storan saya itu boleh dimainkan tanpa sebarang masalah.

PANDU UJI: Lexus RX 300 Luxury 2019 – SUV mewah kini dengan tambahan ciri <em>Lexus Safety System +</em>

Sistem audio yang ada pada SUV ini bukan sahaja mampu memainkan format audio biasa seperti MP3 atau ACC, malahan juga format audio beresolusi tinggi seperti WAV, FLAC, ALAC, OGG Vorbis yang jarang-jarang digunakan oleh orang kebanyakan juga boleh dibaca tanpa masalah. Sesuai dengan tahap penawarannya sebagai sebuah SUV mewah, hal-hal seperti sistem audio ini juga menjadi satu kelebihan yang menyenangkan.

Seingat saya, beberapa waktu saya luangkan dalam keadaan begini sebelum memulakan perjalanan malam itu. Dari tempat duduk pemandu, saya membelek, menyelongkar, menyentuh dan mengkagumi setiap inci ruang dan permukaan yang ada pada Lexus RX 300 ini. Sekurang-kurangnya, layanan Lexus terhadap sisi keterperincian serta terhadap perkara-perkara yang kecil (termasuklah karpet pengalas lantai yang disediakan) memang berada pada tahap tersendiri. Ia bukanlah sebuah jenama yang saja-saja diangkat untuk menjadi sayap mewah bagi Toyota. Semuanya bersebab.

Dan lebih menarik, bagi saya sendiri, ruang dalaman ini lebih penting untuk ditumpahkan segala usaha oleh pengeluar berbanding rekaan luaran kerana satu sebab; sebagai pemandu atau penumpang, kita akan lebih banyak meluangkan masa untuk berada dan “berurusan” atau bahkan memandang apa yang ada di dalam kabin kereta berbanding rekaan luarnya.

Jangan salah faham, bukanlah maksud saya rekaan luaran sesebuah kenderaan tidak penting, tetapi hal yang sebaliknya yang lebih kerap kita hadap ialah ruang kabin dalaman itu sendiri. Maka, dengan setiap ketelitian yang ditampilkan di dalam, ia secara langsung akan menjadikan pengalaman kita dengan sesebuah kenderaan itu (apatah lagi untuk kereta sendiri) sangat berlainan dan membentuk pandangan seseorang dalam kadar yang lebih banyak.

Dalam kes RX 300 ini, hampir semua perkara yang diletakkan pada ruang kabin seperti telah difikir habis. Tangan saya tak lekang daripada kerap menjalar pada permukaan kulit yang menghiasi banyak tempat dalam SUV ini, terutama pada perehat lengan di tengah, balutan pada kerusi dan juga stereng. Menarik untuk selalu diingatkan tentang betapa halusnya perhatian yang diberikan oleh Lexus terhadap SUV ini, disepanjang masa ketika anda berada di dalamnya.

Satu lagi sentuhan menarik yang masih dikekalkan pada kawasan papan pemukanya (tampil dengan garis-garis ringkas dan kemasan krom yang agak minimalis) ialah jam analog yang terletak di antara bukaan corong pendingin hawa tengah. Memang ini bukanlah lagi satu keperluan – orang lebih banyak melihat waktu melalui jam di telefon pintar misalnya – tetapi sentuhan-sentuhan elegan seperti inilah yang walau tanpa disedari, memberikan kelainan dan semacam satu pernyataan tersendiri bagi RX.

Lexus RX 300 terbaru ini merupakan versi facelift terbaru bagi model berkenaan, diperkenalkan untuk pasaran Malaysia pada September 2019. Untuk itu, reka bentuk luarannya secara umum masih sama seperti model sebelumnya, tetapi kemasan dan kelengkapan menyaksikan banyak pertambahan dan peningkatan.

Memperhatikan rekaan luaran, RX 300 terbaru ini lebih banyak memanfaatkan garis-garis dan bucu tajam di dalam penampilannya. Saya fikir pendekatan ini akan membuatkan sesiapa saja yang memandang sama ada akan jatuh suka atau sebaliknya. Bagi saya sendiri, imej garis tajam berkenaan akan lebih “masuk” dengan imej misalnya pada varian F-Sport mungkin, yang menjadi satu daripada tiga varian yang ditawarkan ketika ini.

Apa pun, rekaan luarannya saya rasakan memang nampak agak garang bagi sebuah SUV mewah. Perhatikan tampilan pada lampu yang tirus dari jenis projektor LED 3-beam dengan ketinggian larasan automatik. Ini dituruti oleh garis bentuk pada gril yang juga luas dan tajam, menjadikan pandangan wajah hadapan RX 300 ini sangat tersendiri.

PANDU UJI: Lexus RX 300 Luxury 2019 – SUV mewah kini dengan tambahan ciri <em>Lexus Safety System +</em>

Pandangan bahagian belakangnya pula saya rasakan lebih santai dan matang berbanding wajah depan, walaupun masih membawa sentuhan ketajaman yang sama seperti di depan, tetapi hanya terhad kepada rekaan lampu belakangnya sahaja. Ringkasnya, rekaan RX 300 ini akan lebih menarik perhatian mereka yang cenderung menggemari rekaan bersegi berbanding yang lebih menghargai rekaan bentuk yang lebih beralun atau “bulat”. Selera begini memang sukar untuk dipenuhi selengkapnya.

Untuk memandu RX bagi perjalanan empat jam misalnya, ia boleh jadi sangat menyenangkan atau pun sebaliknya, bergantung kepada jangkaan anda. Tetapi, untuk mereka yang memang dengan sedar memilih sebuah SUV berbanding jenis kenderaan lain, apatah lagi dari kelompok SUV mewah seperti ini, pertimbangan paling utama tentulah bukan disandarkan kepada prestasi dan dinamik pemanduan semata-mata. Bagi saya, ketika ingin merasakan pengalaman memandu SUV, ia sangat jelas bahawa yang sepatutnya dinikmati adalah ketenangan dan kebersahajaan pemanduan, bukannya ketergesaan.

Untuk badan sebesar RX, enjin 2.0 liter yang melengkapinya mungkin ada yang merasakannya agak kecil. Dengan sistem desakan kuasa atau turbo twin-scroll Dual-VVT-iW, enjin ini menghasilkan 235 hp pada 4,800 hingga 5,600 rpm dan 350 Nm tork dari 1,650 rpm hingga 4,000 rpm. Ia digandingkan pula dengan sistem transmisi automatik enam-kelajuan.

Ini menjadikan penyaluran kuasa pada RX sebenarnya tidaklah terasa kurang walau sedikit pun. Cuma, penyampaiannya terasa agak linear atau mendatar, sesuai dengan talaan untuk memberikan lebih keselesaan berbanding tujahan mengejut yang tidak begitu diperlukan oleh gaya pemanduan sesebuah SUV pada umumnya.

Menempuh gelita malam juga tidak menjadi masalah, terutama dari sudut penglihatan dari tempat duduk pemandu. Penataan cahaya lampu LED yang ada cukup berkesan dan pintar. Tumpukan perhatian pada jalanraya, kuatkan volume radio dan nikmati ketegapan badan yang stabil yang diberikan RX 300, pemanduan dirasakan sangat mudah. Kita akan bertambah yakin dengan satu lagi tambahan terbaru yan diberikan kepada RX 2019 ini – Lexus Safety System +.

Tentang penglihatan waktu malam yang saya maksudkan, ia turut disumbangkan oleh ciri Bladescan Type Adaptive High-Beam System (AHS), teknologi yang membantu capahan cahaya yang lebih meluas serta dalam masa yang sama tidak menyilaukan pada jalur penglihatan tertentu, misalnya kepada pemandu kenderaan dari arah bertentangan. Semua ini dilakukan secara automatik.

Tiga lagi teknologi yang terangkum di dalam pakej keselematan berkenaan ialah sistem pra-perlanggaran (PCS), bantuan pengesanan lorong (LTA) dan kawalan melayar radar dinamik (DRCC) dengan fungsi Stop & Go. Semua ini merupakan pertambahan terbaru yang tiada pada RX sebelumnya, sekaligus menjadi naik taraf yang bermakna bagi kenderaan untuk keluarga seperti RX ini. Dalam cuaca hujan atau jalan basah, ciri pacuan semua roda (AWD) padanya akan membolehkan SUV ini lebih mencengkam jalan.

Barangkali seperti yang sepatutnya, penumpanglah yang akan lebih menikmati keselesaan kabin dan perjalanan ketika bersama RX ini. Dengan dimensi 4,890 mm panjang, 1,895 mm lebar, 1,720 mm tinggi serta jarak antara roda 2,790 mm, RX memiliki saiz yang luas, selayaknya sebuah SUV untuk menampung kepelbagaian penggunaan. Ruang barangan yang tersedia pula ialah 521 liter dengan semua tempat duduk dalam keadaan tegak.

Banyak lagi ciri-ciri “convinient” yang disertakan pada RX terbaru ini. Sebagai contoh, tempat duduk belakang melalui satu suis sahaja, pad sesentuh intuitif untuk mengendalikan sistem infotainmen, bukaan pintu ruang barangan menggunakan gerak kaki sahaja dan juga peninjau sekeliling panoramik untuk memudahkan pemandu.

PANDU UJI: Lexus RX 300 Luxury 2019 – SUV mewah kini dengan tambahan ciri <em>Lexus Safety System +</em>

Lexus RX 300 Luxury ini dijual pada harga RM424,888 (tanpa insurans) dan merupakan penarawan varian pertengahan di antara versi Premium yang paling asas, serta F-Sport yang paling tinggi. Jadi, untuk siapa Lexus RX 300 ini ditujukan?

Saya fikir agak jelas jawapannya. Kerana SUV mewah dalam lingkungan harga sekitar RM400 ada banyak saingannya, Lexus kekal dengan keyakinan mereka untuk memberikan kehalusan dari segala aspek pembuatan dan kejuruteraan melalui model RX 300. Maksud saya, ia ditujukan kepada mereka yang lebih menghargai hal-hal kecil yang dipersembahkan dengan penuh ketelitian. Jika adrenalin dan prestasi yang anda cari, itu tidak akan diperoleh dengan begitu memuaskan daripada RX 300 ini.

Sebaliknya, jika anda menginginkan kelainan dalam maksud kejuruteraan serta kehalusan buatan cara Jepun, Lexus RX 300 ini akan mempamerkan kelebihannya untuk anda rangkul dan nikmati. Jika anda inginkan perincian lanjut Lexus RX 2019, layari juga CarBase.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required