Peraturan eksais duti baru yang dikuat kuasakan oleh kerajaan berpotensi untuk untuk memberikan kesan besar kepada harga kenderaan pemasangan tempatan (CKD). Ia adalah satu topik yang hangat sekarang – peningkatan harga dijangka boleh mencecah 15% – dan Perodua cuba menenangkan pelanggan dengan mengatakan ia akan cuba mengurangkan impak peraturan baru ini terhadap harga kenderaan mereka.
Semasa sesi sidang media prestasi sepanjang tahun 2019 hari ini, presiden dan CEO Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata pengeluar kenderaan tempatan itu telah mengikuti segala keperluan yang ditetapkan oleh kerajaan berkenaan isu ini dan dalam tempoh masa terdekat tiada perubahan harga akan dilihat.
“Kami telah mengikuti semua peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan berkenaan segala kira-kira. Kami masih menilai apa kesannya kepada kami, tapi yang pasti, dalam masa beberapa bulan akan datang, tiada impak kepada industri dan kami tidak akan menaikkan harga kenderaan kami,” kata Zainal.
Beliau turut menambah, jualan sepanjang tempoh ini dijangka stabil kerana mereka berhasrat untuk mengurangkan sebarang peningkatan harga kerana peraturan baru ini. “Buat masa ini kami cuba untuk meminimakan kesan dan seboleh mungkin mengelak daripada mengenakan impak tersebut kepada pelanggan. Berdasarkan pemahaman dan prinsip ini, kami rasa jumlah jualan akan kekal stabil.”
Berkenaan penglibatan dalam industri, Zainal memberitahu Perodua tidak terlibat dalam merangka peraturan ini. “Kami memang selalu bekerja sama dengan kerajaan, terutamanya berkenaan perkara yang berkaitan dengan pembangunan industri automotif tempatan. Tapi, untuk duti eksais ini secara spesifik, tiada rundingan dibuat dengan kami. Sebab itulah kami sekarang sedang berbincang dengan beberapa ahli MAA untuk cuba menilai apa kesan daripadanya.”
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.