Disember lalu, sebuah laporan berita memberi petunjuk bahawa kemungkinan kereta pemasangan tempatan akan naik harga bermula tahun ini kesan daripada langkah penstrukturan semula kadar duti kenderaan oleh kerajaan.

Nampaknya ini semakin menjadi kenyataan, berdasarkan apa yang termaktub di dalam Excise (Determination of Value of Locally Manufactured Goods for the Purpose of Levying Excise Duty) Regulations 2019, yang disediakan oleh kementerian kewangan dan telah digazetkan pada 31 Disember 2019, sekiranya perkara berkenaan ditafsir dengan betul.

Terma di bawah peraturan baru ini, yang secara teknikalnya telah berkuatkuasa, kenderaan pemasangan tempatan (CKD) akan dikenakan lebih banyak cukai. Ini adalah disebabkan kaedah pengiraan nilai pasaran terbuka (open market value, OMV) bagi kenderaan telah berubah.

Apa sebenarnya OMV? Ia adalah nilai akhir pasaran yang ditetapkan bagi kenderaan CKD yang siap dari kilang, sebelum kerajaan mengenakan duti eksais ke atasnya. Terdapat beberapa komponen yang menentukan OMV, dan ini termasuk kos bagi pek CKD, kos pengilangan dan komponen serta caj pemasangan dan pentadbiran.

Ini berbeza daripada kenderaan import sepenuhnya (CBU), dengan penetapan harganya berdasarkan Cost, Insurance and Freight (CIF), yang mana duti import dan eksais dikenakan. Duti eksais berada di antara 60% hingga 105% (tidak kira untuk kenderaan CKD atau CBU), dikira berdasarkan kenderaan dan kapasiti enjinnya. Sementara duti import pula boleh mencecah 30%, bergantung dari mana kenderaan itu dikilangkan. Kenderaan dari negara-negara ASEAN tidak dikenakan duti import.

Gazet berkenaan menambah komponen-komponen baru ke dalam pengiraan OMV. Di bawah peraturan baru ini, nilai yang dimasukkan untuk mengenalpasti duti-duti terlibat akan mengambil kira bukan hanya keuntungan dan perbelanjaan umum yang terlibat di dalam pengilangan sesebuah kenderaan, tetapi juga jualannya.

Menurut sumber yang rapat dengan perkara ini, cara baru mengira OMV, yang memperkenalkan duti ke atas jualan barangan menimbulkan persoalan-persoalan baru dan menyebabkan kekeliruan kepada OEM dan pengedar-pengedar.

Sebelum ini, OMV hanya mengambil kira kos pengilangan barang, tetapi bahagian “jualan” berkenaan kini turut merangkumi perkara-perkara lain seperti kejuruteraan, kerja-kerja pembangunan, kerja seni, kerja rekaan, pelan dan lakaran, bayaran royalti dan yuran lesen (paten, tanda dagang, hakcipta).

Klausa 4.2 (d) meluaskan lagi perkara ini dengan memasukkan “kos-kos langsung dan tidak langsung yang dikenakan di dalam pengilangan dan jualan barangan yang boleh dikenakan duti.” Perkara ini, menurut sumber tadi, adalah “menakutkan”, kerana Kementerian Kewangan/Kastam tidak melibatkankan industri automotif ketika perbincangan yang dilakukan sebelum gazet ini dikeluarkan.

Kemasukan “kos pejabat” (berbanding hanya “kos kilang” sebelum ini) berpotensi untuk meluaskan skop dengan agak ketara memandangkan ia akan mengambil kira kos-kos jualan dan pemasaran sesebuah model diperingkat pengedar. Dengan duti eksais (yang kadarnya masih tidak berubah) di “levi” ke atas OMV kenderaan, kenaikan harga asas akan turut memberi kesan kepada duti eksais yang boleh dicaj – dan harga akhir kenderaan juga – akan meningkat sama.

Sumber yang sama juga berkata, kaedah pengiraan nilai sebelum ini – selepas dikilangkan – adalah pendekatan yang lebih adil. Mengenakan levi terhadap sesebuah produk sepatutnya hanya itu; levi ke atas produk. Timbul juga persoalan berkaitan cukai berganda yang dikenakan, memandangkan syarikat-syarikat kenderaan membayar cukai pendapatan korporat ke atas keuntungan mereka juga, sama seperti perniagaan lain.

Perkara lain yang berkait pula ialah kenderaan-kenderaan import sepenuhnya atau CBU akan terus dicukai dengan cara yang sama – ke atas kenderaan itu sendiri dan tiada tambahan lain – yang cenderung menyebabkan ketaksamaan berlaku. “Ini tidak adil bagi mereka yang telah melabur di dalam operasi CKD di negara ini,” ujar sumber berkenaan.

Agak jelas, langkah ini bertujuan untuk meraih lebih banyak pendapatan daripada perniagaan penjualan kenderaan, tetapi dengan penstrukturan semula duti ini, harga kos kenderaan akan menjadi lebih tinggi, dan sudah tentu pengeluar akan memindahkan beban berkenaan kepada pengguna. Ditanya mengenai anggaran kadar yang mungkin berlaku, sumber berkenaan menjelaskan; “Untuk kereta CKD, angka kasar kenaikan harga berkemungkinan sekitar 12%-15% jika mengikut pengiraan baru bagi OMV ini.”

Melihat kepada gambaran yang lebih besar daripada kesan secara langsung itu – iaitu pendapatan tambahan untuk kerajaan dan kemungkinan harga kenderaan yang lebih tinggi – akan ada kesan sampingan lain, selain daripada ia bukanlah keputusan popular untuk khalayak umum.

“Harga yang lebih mahal akan menyebabkan jumlah jualan/pengeluaran yang lebih rendah bagi pengeluar di Malaysia, yang mana akan memberi kesan pula kepada aspek peluang pekerjaan sekiranya mereka memutuskan untuk mengecilkan operasi,” tambah sumber yang sama.

“Sekiranya itu berlaku, kerajaan akan mengutip kurang cukai koporat, dan Malaysia akan kehilangan pelaburannya kepada negara-negara jiran. Tidak akan ada pendapatan tambahan untuk kerajaan,” tambah beliau, yang menyuarakan keraguan terhadap keberkesanan keseluruhan langkah ini dan membayangkannya sebagai situasi yang merugikan kepada pengguna (sebab harga kenderaan lebih tinggi) dan juga pengeluar (jumlah jualan/pengeluaran berkurangan).

Semua ini adalah bertentangan dengan hasrat yang disuarakan oleh MITI tahun lalu, ketika memaklumkan kementerian berkenaan sedang mempertimbangkan pengurangan di dalam duti eksais sebagai satu langkah untuk mengurangkan harga kenderaan. Timbalan Menteri MITI, Ong Kian Ming pernah mengatakan, walaupun dengan pengurangan duti eksais akan bermaksud mengurangkan pendapatan kerajaan, itu akan diimbangkan dengan kutipan keseluruhan disebabkan jumlah jualan kenderaan yang meningkat.

Dengan semua ini, termasuk ketidak-tentuan perubahan dasar-dasar berkaitan (Dasar Automotif Kebangsaan masih ditangguhkan entah berapa banyak kali), syarikat pengeluar kenderaan di Malaysia seperti akan berdepan dengan kesukaran untuk merancang operasi mereka, terutama yang melibatkan pemasangan tempatan. Bagaimana mereka ingin merancang pelaburan sekiranya tiada penetapan yang kukuh dan meyakinkan, dan boleh berubah bila-bila masa tanpa makluman awal terlebih dahulu?

Khabar angin juga kedengaran beberapa jenama telah mempertimbangkan untuk menarik balik pelaburan yang berpotensi sebelum ini, misalnya untuk menaiktaraf kilang CKD, sekiranya ini berlaku. Membawa masuk dan menjual kenderaan CBU kelihatan seperti satu jalan yang lebih mudah, walaupun kenyataannya bukan begitu kerana Approved Permit (AP) untuk kenderaan import tidak boleh melebihi 10% daripada keseluruhan jumlah industri (TIV) bagi kenderaan CKD.

Para pemerhati sebelum ini menyatakan yang struktur cukai telah dinilai semula kerana pengeluar kenderaan CKD “sangat diketahui” kerap mengisytiharkan nilai yang lebih rendah bagi kandungan dari luar negara pada kenderaan yang dikeluarkan dan “berjaya terlepas dengan keuntungan yang besar”. Pemerhati industri yang lain pula menyatakan, kenaikan harga kenderaan akan memberi manfaat kepada jenama tempatan disebabkan harga jualan mereka yang rendah, walaupun ia juga akan mengurangkan pelaburan langsung asing ke dalam industri.

Dalam perkembangan baru berkenaan isu ini, pada 22 Januari 2020, Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad memaklumkan bahawa tiada sebarang kenaikan harga bagi kereta pemasangan CKD akan dilakukan sehingga 31 Dis 2020 kerana apa juga kenaikan bagi harga atas jalan bagi model-model yang terkesan dengan kaedah pengiraan baru OMV ini akan diserapkan atau dikecualikan sepenuhnya oleh kerajaan.