Kerajaan ketika ini sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk menstruktur semula duti import ke atas kenderaan, dengan kedua-dua Kementerian Kewangan dan juga Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) terlibat di dalam perbincangan berkenaan.

Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, seperti dilaporkan oleh The Malaysian Insight. Lim menjelaskan, jawatankuasa gabungan yang terdiri daripada pegawai-pegawai kedua-dua kementerian berkenaan serta dipengerusikan oleh oleh dua menteri yang bertanggungjawab itu kini sedang mengkaji perkara itu.

“Duti eksais sebelum ini berada di bawah bidang kuasa MITI, tetapi sekarang kita tubuhkan jawatankuasa bersama untuk melihat bukan hanya terhadap pelaburan tetapi juga ke atas duti dan cukai. Apa pun, perlu tunggu pengumuman bersama yang akan dibuat nanti,” jelas Lim.

Belum ada apa-apa perincian lanjut tentang cara atau kaedah penstrukturan semula duti dan cukai berkenaan setakat ini; tidak diketahui juga adakan perkembangan ini nanti akan menjurus kepada penurunan harga kenderaan – terlalu awal untuk membuat andaian.

Tahun lalu, MITI memaklumkan akan meninjau ke arah penurunan duti eksais bagi kenderaan sebagai satu langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan harga kenderaan. Kementeriaan itu menyatakan, walaupun langkah itu akan mengurangkan pendapatan kerajaan, perkara itu akan diimbangi dengan cara pengumpulan cukai yang lebih diperkemas daripada jumlah jualan kenderaan yang bertambah.

Timbalan Menteri MITI, Ong Kian Ming berkata ketika itu, secara keseluruhannya, langkah berkenaan akan memberi manfaat kepada pengguna, pemain industri serta kerajaan sendiri. “Sudah tentu, ada isu kos-manfaat yang terlibat dalam maksud anda akan mendapat lebih banyak pengurangan cukai dan duti eksais. Kerajaan akan mengumpulkan kurang cukai/duti bagi seunit kenderaan. Tetapi, apa juga pendapatan yang hilang untuk kementerian kewangan itu boleh diraih semula atau diimbangkan dengan jumlah jualan yang bertambah kerana harga kenderaan menjadi lebih murah,” ujar beliau.

Pengeluar boleh menjual lebih banyak kenderaan, pengguna dapat manfaat dari segi penurunan harga kenderaan dan kementerian kewangan juga akan mendapat kelebihan pengumpulan cukai daripada peningkatan jumlah jualan itu. Ini yang kita ingin cuba capai bagi semua model kenderaan,” tambah beliau.

Selain daripada cukai jualan dan servis sebanyak 10%, semua kenderaan yang dijual turut dikenakan duti import dan duti eksais. Duti eksais dikenakan sebanyak 60% hingga 105%, dikira berdasarkan kenderaan dan kapasiti enjinnya, manakala duti import pula boleh mencecah sehingga 30%, bergantung kepada negara ia dikeluarkan. Bagaimanapun, kenderaan yang dipasang di negara ASEAN dan Jepun tidak dikenakan duti import.