Honda CR-V, walaupun dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda dan tayar yang besar, ada yang sanggup buat SUV ini masuk ke laluan off-road sebenar? Di Tokyo Auto Salon 2020, kami jumpa satu CR-V yang kelihatan begitu lasak diberi nama Honda CR-V Black Edition Custom Concept yang dihasilkan oleh Honda Modulo bersama penala yang sinonim dengan jenama Eropah, The Check Shop.
Untuk pengetahuan anda, CR-V Black Edition ini adalah salah satu varian SUV segmen-C ini untuk pasaran ‘mat saleh’ seperti Eropah (generasi sebelum ini) dan Kanada, serta mungkin ini sebagai preview untuk Black Edition ini masuk ke pasaran Jepun.
Ini juga mungkin sebabnya The Check Shop dipilih untuk melaksanakan tugas bagi mengubahsuai Black Edition tersebut. Ia diberikan rupa yang jauh lebih lasak dari CR-V standard dan kelihatan seperti bersedia untuk masuk ke hutan bila-bila masa.
Pada bahagian luaran, yang paling menyerlah sudah tentu set rim dan tayar yang dipadankan pada CR-V ini. The Check Shop memilih rim off-road dengan perisa Eropah, Agio berdiameter 17-inci dengan kemasan hitam, dibalut dengan tayar Toyo Open Country bersaiz 265/65R17.
Dengan tayar yang lebih besar ini, pengubahsuaian lain turut perlu dilakukan. CR-V ini diberikan set overfender yang lebih besar pada kesemua ruang roda, dan badannya ditinggikan lagi menerusi suspensi JRZ RSPro3 dengan 3 larasan yang boleh dibuat.
Bumbung CR-V ini turut dilengkapi dengan kotak storan tambahan dari Hapro, ditampung oleh rak bumbung dari Kohlenstoff. Akhir sekali, pencahayaan waktu malam yang lebih terang akan dibantu dengan bar-bar lampu LED tambahan yang diletakkan pada bampar hadapan dan juga pada bahagian bumbung.
Berdasarkan tuil gear normal yang kelihatan pada sebelah dalam, Black Edition yang dibawa ke Tokyo ini berkemungkinan dari versi janakuasa sama dengan pasaran Malaysia iaitu enjin 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 193 PS/243 Nm digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.
Macam mana? Ada pemilik CR-V yang nak buat kereta mereka macam ni?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.