Pengedar rasmi jenama Toyota di Malaysia, UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini mengumumkan bahawa versi terbaharu untuk kembar MPV mewah mereka, Toyota Alphard dan Toyota Vellfire diperkenalkan secara rasmi dan sudah mula boleh ditempah di semua jaringan pengedar mereka diseluruh negara.

Kedua-dua versi berkenaan dijual pada harga lebih tinggi dari sebelum ini, tetapi menerima pelbagai peningkatan dari segi kelengkapan. Vellfire masih ditawarkan dalam satu varian iaitu standard dijual pada harga anggaran RM383,000 (RM21,000 lebih mahal), manakala Alphard juga masih kekal dengan dua varian dimana versi standard dijual pada harga anggaran bermula RM RM465,000.

UMWT belum lagi mendedahkan harga untuk varian tertinggi Alphard Executive Lounge – versi ini pernah digugurkan dari barisan model, tetapi nampaknya ia kembali ditawarkan kepada pelanggan di Malaysia.

Kesemua unit Alphard dan Vellfire untuk pasaran Malaysia adalah diimport sepenuhnya dari Jepun (CBU). Warna White Pearl C, Graphite Metallic dan Black ditawarkan untuk kesemua model, tetapi warna Luxury White Pearl CS GF hanya ditawarkan untuk kedua-dua varian Alphard, dan Burning Black CS GF pula hanya eksklusif untuk Vellfire.

Dengan harga lebih mahal untuk setiap varian, model tingkat taraf ini diberikan peningkatan dari segi aspek Safe-T dan Connectivi-T, selari dengan Strategi Pengalaman Jenama 360-darjah Baru, menurut UMWT.

Antara penambahan sistem berkenaan termasuk Sistem Brek Sokongan Parkir, Sistem Infotainmen AVX dengan skrin 9-inci bersama sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, Perakam Video Digital (DVR) depan dan belakang, Sistem Telematik Kenderaan (VTS) dan juga Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).

Dengan ciri Sistem Brek Sokongan Parkir yang disertakan pada model 2020 ini, pemandu boleh memanfaatkan sistem letak kenderaan pintar untuk mengesan objek di kawasan sekitar kenderaan ketika dalam proses meletak kenderaan. Sekiranya ada objek dikesan, brek akan ditekan secara automatik dan kuasa enjin akan dihadkan supaya perlanggaran boleh dielak. Sekiranya perlanggaran tetap berlaku, tindakan sistem berkenaan dapat mengurangkan kerosakan.

Manakala Sistem Telematik Kenderaan (VTS) pada Vellfire dan Alphard ini merupakan ciri sambungan yang menggunakan GPS/GSM untuk mengesan lokasi kenderaan pada setiap masa. Ia dapat membantu pencarian kenderaan oleh pihak polis sekiranya ia dicuri. Ciri ini juga meninjau dan merakam kelajuan kenderaan dan keadaan operasi lain yang dihadapi oleh kenderaan, dengan data akan dihantar melalui emel kepada pengguna yang diinginkan.

Juga, Alphard dan Vellfire terbaharu ini menerima pakej sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS) yang terdiri dari Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Amaran Penukaran Lorong (LDA), Bantuan Pengesanan Lorong (LTA) dan Cruise Control Dinamik (DRCC) yang berfungsi dalam semua kelajuan.

Tiada sebarang perubahan kosmetik pada bahagian luaran dan dalaman pada Alphard dan Vellfire ini, begitu juga pada sistem mekanikalnya. Untuk Vellfire, ia dijana oleh enjin 2AR-FE 2.5 liter Dual VVT-i, menghasilkan 180 PS pada 6,000 rpm dan 235 Nm tork pada 4,100 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT.

Manakala Alphard pula masih diberikan unit janakuasa dari versi facelift 2018, menampilkan 2GR-FKE 3.5 liter V6 dengan sistem suntikan terus D-4S dan VVT-iW, berkuasa 300 PS pada 6,600 rpm dan tork maksima 361 Nm bermula 4,600 hingga 4,700 rpm, bersama transmisi automatik Direct Shift lapan kelajuan.

GALERI: Toyota Vellfire 2.5 2018

GALERI: Toyota Alphard 3.5 2018

GALERI: Toyota Alphard 3.5 Executive Lounge 2018