Kia Cadenza (juga dikenali sebagai K7 di Korea Selatan) facelift 2020 telah pun membuat penampilan di Chicago Auto Show, dengan mengenakan beberapa peningkatan gaya dan juga kelengkapan. Terdapat dua varian iaitu Technology dan Limited.
Di depan, gril barunya lebih tenggelam ke dalam, dan dipadankan bersama bonet baru. Lampu utama LED pada model ini masih sama, tetapi mempunyai DRL baru sementara lampu LED belakangnya mendapat jalur krom penuh dari kiri hingga kanan.
Perubahan lain termasuk pada bahagian bampar dan ia tidak lagi menggunakan lampu kabus dengan bentuk petak. Di penjuru bampar hadapan terdapat jalur krom menegak dan lampu penunjuk arah, manakala rim adalah rekaan baru standard 18 inci dan boleh dinaik taraf kepada unit 19 inci.
Pada bahagian dalam terdapat skrin 4.2 inci sebagai panel instrumen sementara untuk sistem infotainmen pula ia menggunakan unit skrin sesentuh 12.3 inci. Bagi memuatkan skrin ini, keseluruhan papan pemuka ini telah direka semula, dengan corong pendingin hawa dijadikan lebih kecil dan diletakkan rendah, manakala pengawal sistem audio pula berada di atas butang penukar suhu.
Kelengkapan lain yang terdapat pada model ini adalah termasuk lampu suasana pelbagai warna, tiga pengecas USB tambahan (satu di depan, dua di belakang), pengecas tanpa wayar 10-watt, sistem masuk tanpa kunci dengan pemula enjin kawalan jauh dan dua pilihan warna balutan kulit Nappa (Saddle Brown dan Grey).
Bahagian teknologi bantuan pemandu Drive Suite turut dinaik taraf dengan kini mempunyai sistem Forward Collision Warning, Forward Collision-Avoidance Assist dengan pengesan pejalan kaki/basikal, Smart Cruise Control dengan Stop & Go dan High Beam Assist secara standard. Ia kemudiannya ditambah dengan Lane Following Assist, Blind Spot Collision Avoidance Assist – Rear dengan Lane Change Assist, Highway Driving Assist, Smart Cruise Control, dan Safe Exit Assist.
Penggeraknya tidak berubah, dan masih menggunakan enjin 3.3 liter bersama padanan transmisi automatik Sportmatic lapan kelajuan, untuk menghasilkan 290 hp dan 343 Nm tork yang disampaikan kepada roda hadapan. Ciri NVH turut dijadikan lebih baik dengan cross member belakang yang diperkuat dan resonator pada roda.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.