Acara meraikan budaya ubahsuai kereta tahunan di Malaysia – Retro Havoc (RH) – kembali lagi tahun ini. Sebagai menghargai pengunjung untuk pengajurannya yang sudah masuk tahun ke-tujuh ini dan juga bersempena tibanya tahun “Wawasan 2020”, Retro Havoc mengumumkan bahawa sebuah Proton Saga generasi pertama bakal di bawa pulang oleh seorang pengunjung bertuah pada akhir acara tersebut nanti.
Secara spesifiknya, Saga berkenaan adalah dari versi Megavalve 12V 1.5 liter keluaran tahun 1991. RH tidak akan memberikan Saga yang telah pun berusia 30-tahun ini seadanya kepada pemenang bertuah nanti, kerana sama seperti hadiah Toyota Starlet KP61 Retro Havoc 2019, ia terlebih dahulu akan menjalani proses restorasi.
Saga ini tidak akan diberikan ubahsuai ekstrem, tetapi akan diberikan penampilan hampir ‘standard kilang’ setelah ianya siap. Sehingga kini, semua karat pada badannya telah dibuang, dan dicat semula dengan cat 2K berkualiti tinggi dari Alesco, seakan warna biru pada Saga generasi pertama milik Sultan Johor dengan nombor pendaftaran ‘Proton 1’.
Ruang enjin dibersihkan dan turut dicat semula dengan warna emas, bersama enjin asal 4G15 Megavalve yang turut diperkemaskan semula. Bahagian dalaman juga mendapat sentuhan semula di mana papan pemuka dan panel-panel termasuk tombol gear dan roda stereng telah diwarnakan biru, juga seakan Saga asal dengan enjin Orion keluaran tahun 1985.
Menurut pengasas RH Rosli Mohamad Said, kereta ini sudahpun 90 peratus siap. Selepas ini sistem suspensi asal akan ditukar menggunakan set lengkap suspensi boleh laras sepenuhnya jenama tempatan iaitu Ftuned, bersama rim dari R3 (sama seperti Satria Neo R3) lengkap dengan satu set tayar baharu bagi melengkapkan rupa sebuah jentera dengan tema ‘Malaysia Domestic Market’ (MDM).
Juga seperti tahun lalu, pengunjung akan dikenakan tiket sebanyak RM10 untuk masuk ke acara Retro Havoc dan secara langsung akan melayakkan mereka untuk menyertai cabutan bertuah ini. RH 2020 akan berlangsung pada hari Sabtu, 28 Mac 2020 – lokasi sebenar belum lagi ditetapkan, tetapi apa yang pasti Kuala Lumpur/Lembah Klang masih lagi akan menjadi tuan rumah untuk acara tahun ini.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.